Selamat ke jika ada ibu hamil yang mengambil pil atau ubat gugurkan kandungan? Dalam perkongsian artikel ini ada penjelasannya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu ubat gugurkan kandungan?
Ubat gugur kandungan atau pil gugurkan kandungan yang biasa digunakan adalah daripada gabungan mifepristone dan misoprostol. Anda juga boleh menggunakan misoprostol sahaja untuk menggugurkan kandungan.
Ubat gugur jenis ini biasanya akan diberikan doktor di pusat kesihatan bersama dengan arahan terperinci mengenai masa, tempoh, cara pengambilan ubat yang betul serta kesannya.
Cara pengambilan ubat gugurkan kandungan
Pertama, anda akan diberikan pil gugur yang dipanggil mifepristone. Kehamilan memerlukan hormon progesteron untuk membesar secara normal.
Mifepristone pula berfungsi untuk menyekat progesteron badan dan menghentikan kehamilan daripada berkembang.
Kemudian anda mengambil ubat gugur kedua, misoprostol, sama ada serta-merta atau dalam tempoh 48 jam.
Selepas mengambil ubat kedua, anda akan berasa sangat sakit dan kekejangan. Anda akan mengalami pendarahan yang banyak dan melihat bekuan darah serta tisu keluar dari faraj.
Ia seperti mengalami haid yang sangat berat dan kejang, dan prosesnya hampir sama dengan keguguran awal.
Tempoh ini akan berlanjutan antara 3 hingga 5 jam dengan pendarahan yang lebih banyak berbanding semasa haid. Ini adalah tanda ubat-ubatan tersebut berkesan.
Anda juga mungkin mengalami loya dan muntah, demam, menggigil, cirit-birit, dan sakit kepala.
Untuk mengurangkan kesakitan yang dialami, anda boleh mengambil ubat penahan sakit seperti ibuprofen atau acetaminophen. Jangan ambil aspirin!
Jangkakan untuk mengalami pendarahan ringan sehingga 4 minggu selepas mengambil pil gugur. Untuk sepanjang tempoh ini, pakailah tuala wanita.
Elakkan juga sebarang hubungan seks melibatkan penetrasi faraj dalam tempoh seminggu selepas pengguguran perubatan. Pastikan anda menggunakan kontraseptif sebelum melakukan sebarang aktiviti seksual selepas itu.
Anda akan kembali mengalami pendarahan haid seperti biasa dalam tempoh 4 hingga 8 minggu.
Jika anda tidak mengalami sebarang pendarahan dalam masa 24 jam selepas mengambil misoprostol, lakukan pemeriksaan dengan doktor.
Siapa tidak patut mengambil ubat yang boleh gugurkan kandungan?
Anda tidak sepatutnya mengambil pil gugur jika:
- Kandungan berusia lebih 9 minggu – kiraan bermula pada haid terakhir
- Mempunyai gangguan pembekuan darah atau kegagalan adrenal
- Mempunyai IUD – ia mesti dikeluarkan terlebih dahulu
- Alah kepada ubat-ubatan yang digunakan untuk menggugurkan kandungan
- Mengambil ubat yang tidak boleh digunakan bersama dengan pil pengguguran
- Tidak mempunyai akses kepada doktor atau bilik kecemasan berhampiran
Keberkesanan pil pengguguran
Secara amnya, pengambilan ubat gugurkan kandungan adalah sangat berkesan untuk menamatkan kehamilan.
Jika anda mengambil mifepristone dan misoprostol, ia bergantung pada tempoh kehamilan dan berapa banyak dos ubat yang diambil:
- Untuk usia kehamilan 8 minggu atau kurang, ia berfungsi kira-kira 94-98%
- Pada 8-9 minggu kehamilan, ia berfungsi kira-kira 94-96%
- Pada 9-10 minggu kehamilan, ia berfungsi kira-kira 91-93%
- Jika anda mengambil dos tambahan misoprostol, ia berfungsi kira-kira 99%
- Pada 10-11 minggu kehamilan, ia berfungsi kira-kira 87%
- Jika anda mengambil dos tambahan misoprostol, ia berfungsi kira-kira 98%
Risiko mengambil ubat gugurkan kandungan
Walaupun pengambilan ubat yang boleh gugurkan kandungan adalah selamat, tetapi terdapat beberapa risiko yang boleh terjadi, namun boleh dirawat dengan mudah:
- Pengguguran yang tidak lengkap adalah apabila sebahagian daripada kehamilan tidak keluar. Anda perlu melakukan proses pengguguran lengkap di klinik
- Pendarahan yang banyak
- Jangkitan
- Darah beku dalam rahim
Dalam kebanyakan kes, ia tidak menjejaskan peluang kembali hamil melainkan anda mengalami komplikasi yang serius.
Pemeriksaan doktor
Masalah serius mesti dirawat dengan segera untuk keselamatan diri. Lakukan pemeriksaan doktor segera jika:
- Pendarahan banyak – menggunakan lebih 2 tuala wanita untuk setiap 2 jam
- Pendarahan darah beku selama 2 jam atau lebih atau jika bekuan darah lebih besar daripada sebiji lemon
- Terdapat tanda-tanda anda masih mengandung
Anda juga harus berjumpa doktor jika anda mempunyai tanda-tanda jangkitan:
- Sakit teruk di perut atau belakang
- Demam melebihi 38° atau mengalami demam selama 24 jam
- Muntah atau cirit-birit lebih daripada 24 jam selepas mengambil pil
- Keputihan berbau busuk
Kesimpulan
[embed-health-tool-due-date]