Keguguran adalah perkara yang paling menyedihkan buat wanita. Namun amat penting untuk mengetahui cara menguruskan emosi selepas keguguran.
Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia, Hello Doktor akan kongsi tip untuk menjaga kesihatan mental ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini
Kehilangan yang tidak terungkap
Pertama sekali, kami di Hello Doktor bersimpati dengan kehilangan dialami yang membawa anda ke artikel ini. Ketahuilah, apa yang terjadi ini bukanlah salah anda.
Ya, amat penting untuk ibu mengambil masa selepas keguguran bagi proses penyembuhan, bukan sahaja dari aspek fizikal, bahkan emosi.
Kesan emosi biasanya mengambil masa lebih lama untuk sembuh berbanding pemulihan fizikal. Untuk memulihkan mental adalah pengalaman berbeza bagi setiap individu.
Membiarkan diri bersedih di atas kehilangan boleh membantu ibu untuk menerima apa yang berlaku dari masa ke masa.
Cara menguruskan emosi selepas keguguran
Keguguran adalah tragedi yang menyayat hati. Ia bukanlah sesuatu perkara asing untuk wanita yang mengalami situasi tersebut, mempunyai emosi seperti kemarahan, kekecewaan dan rasa bersalah.
Ada wanita yang berasa takut atau bimbang sekiranya keguguran akan berulang jika mereka hamil kembali. Ia juga boleh menyebabkan keretakan dalam perhubungan dan ada kalanya sehingga mengakibatkan perpisahan.
Disebabkan itu, tidak kiralah seawal mana keguguran berlaku dalam tempoh kehamilan, ia tidak boleh dipandang ringan.
Berikut beberapa perkara perlu dititikberatkan semasa memulihkan mental bagi wanita yang mengalami keguguran:
Benarkan diri bersedih, antara cara menguruskan emosi selepas keguguran
Kesedihan biasanya dilihat sebagai emosi negatif tetapi ia tidak bermakna anda harus menghindarinya terus.
Sekiranya berasa ingin menangis atau hanya mahu bersedih selepas kehilangan, lakukanlah dengan apa cara sekalipun.
Anda tidak sepatutnya memaksa diri untuk menjadi ‘okay’ terutamanya jika langsung tidak merasakan sebegitu.
Jika ia mengambil masa bertahun sekali pun, tidak mengapa. Itu adalah sebahagian proses kesedihan dan tidak boleh dielakkan.
Berikan tubuh & minda masa untuk sembuh
Pepatah mengatakan “Biarlah masa menentukan segalanya”. Tidak dinafikan masa adalah ubat yang terbaik dalam semua perkara, termasuklah buat mereka yang mengalami keguguran.
Tubuh memerlukan masa untuk kembali normal, begitu juga dengan kesihatan minda dan emosi anda. Usah tergesa-gesa untuk berasa ‘lebih baik’.
Cuba tunggu beberapa bulan sebelum memulakan pekerjaan atau berpindah ke rumah baharu mahupun melakukan perubahan besar dalam kehidupan.
Cara mengawal emosi negatif dengan meluahkan kepada individu dipercayai & disayangi
Ada kalanya, bercerita mengenai pengalaman traumatik dapat membantu anda menanganinya dengan lebih baik.
Dalam kes keguguran, ia membantu untuk meluahkan apa yang dirasai kepada pasangan, rakan baik mahupun ahli keluarga.
Ia bukan sekadar cara menguruskan emosi atau melegakannya, tetapi turut membantu anda memproses kesedihan dengan lebih baik dan untuk bangkit daripada bersedih dengan apa yang terjadi.
Sekiranya belum bersedia untuk bercakap mengenainya, tuliskan apa dirasai atau yang anda fikirkan.
Memperingati pemergian bayi, antara cara menguruskan emosi selepas keguguran
Melakukan peringatan tentang kehilangan dialami mungkin tampak berlawanan dengan keadaan yang seharusnya. Tetapi mengekalkan ingatan kepada bayi boleh membantu anda meredai pemergiannya.
Anda boleh adakan majlis kecil yang dihadiri beberapa rakan dan orang tersayang, mahupun menulis surat buat bayi untuk menyatakan apa yang anda rasai.
Ia tidak semestinya sesuatu yang hebat, memadai hanya anda dan pasangan tidak mendatangkan masalah.
Manakala bagi mereka yang beragama Islam, lebih digalakkan untuk melakukan majlis tahlil buat bayi anda.
Jangan lupa untuk menjaga diri
Anda telah melalui kehilangan traumatik tetapi hidup harus diteruskan.
Sebaiknya cuba untuk patuhi jadual tidur yang tetap, menjaga pemakanan dengan baik dan mengekalkan berat badan seimbang.
[embed-health-tool-bmr]
Jangan lupa untuk melakukan sesuatu yang aktif setiap hari, berehat, mengehadkan pengambilan kafein, menghindari alkohol dan elakkan merokok.
Cara menguruskan emosi selepas keguguran #Dapatkan bantuan profesional
Akhir sekali, usah teragak-agak untuk mendapatkan bantuan ahli terapi, kaunselor atau doktor bertauliah.
Kesedihan serta kehilangan mempengaruhi individu dengan cara berbeza. Ada yang mungkin menghadapi masa sukar untuk menanganinya dan mungkin memerlukan bantuan profesional.
Kesimpulannya
Kehilangan bayi dalam kandungan kerana keguguran boleh memudaratkan. Namun anda tidak keseorangan. Cuba untuk kekal positif dan fokus tentang masa depan.
Bersedia untuk hamil kembali? Ia dilema bagi ramai wanita yang mengalami keguguran apabila mereka ingin mencuba lagi.
Secara amnya, haid pertama berlaku antara 4-6 minggu selepas keguguran. Ia biasanya selamat untuk hamil selepas 1 kitaran haid normal.
[embed-health-tool-ovulation]
Sebaiknya, tunggulah sehingga anda bersedia secara fizikal dan mental sebelum mengandung kembali.
Ketakutan akan mengalami kehilangan kehamilan lain adalah perkara biasa buat mereka yang pernah keguguran. Realitinya, kebanyakan wanita yang pernah mengalami kehilangan ini akan mempunyai kehamilan sihat pada masa akan datang.
Walau apa pun, berundinglah dengan doktor jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai keadaan diri.