home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Selain Muka, 4 Bahagian Tubuh Ini Juga Berisiko Jadi GELAP Ketika Hamil! Ini Cara Nak Rawat

Selain Muka, 4 Bahagian Tubuh Ini Juga Berisiko Jadi GELAP Ketika Hamil! Ini Cara Nak Rawat

Ketika sedang hamil, terdapat pelbagai perubahan yang akan berlaku pada tubuh badan seorang wanita sama ada dari aspek fizikal atau mental. Namun ada satu lagi perubahan ketika hamil yang sangat dirisaukan iaitu kulit gelap ketika hamil.

Selain itu, antara perubahan yang paling ketara adalah sudah pasti pada perut mereka yang kian menimbul dan membesar seiring perjalanan usia kandungan.

Begitu juga dengan perubahan di mana ibu hamil cenderung untuk tidak berada dalam mood yang baik akibat ketidakcelaruan hormon tubuh badan.

Baca lebih lanjut tentang Kehamilan di sini.

Kulit gelap ketika hamil, normalkah?

Sebenarnya, perubahan pada tubuh badan khususnya kulit buat seorang wanita yang sedang hamil bukanlah satu perkara yang mengejutkan.

Kondisi kulit gelap ketika hamil ini dikenali secara saintifik sebagai chloasma atau melasma dan dipercayai berlaku pada 50% ke 70% kehamilan.

Sekiranya ia berlaku kepada anda, akan ada kawasan kulit tertentu yang berubah warna menjadi lebih gelap berbanding warna kulit asal.

Kebiasaannya, tompok gelap ini akan berwarna tona gelap seperti hitam dan coklat serta biasa berlaku pada kawasan muka ibu hamil.

Disebabkan itu, kondisi ini turut dikenali sebagai topeng kehamilan (mask of pregnancy).

Pun begitu, tahukah kalian bahawa kondisi ini juga boleh terjadi pada kawasan kulit lain selain muka? Ada juga pada tempat yang sangat mengejutkan!

wajah berubah semasa hamil

Di mana topeng kehamilan boleh muncul?

Tompok-tompok berwarna gelap pada kawasan kulit yang muncul ketika hamil ini sudah pasti akan menjejaskan penampilan dan keyakinan seorang wanita.

Untuk pengetahuan anda, ia adalah disebabkan oleh hiperpigmentasi pada kulit yang akan berlaku akibat beberapa faktor lain yang akan kami bincangkan nanti.

Berikut adalah kawasan kulit yang berisiko menjadi gelap ketika hamil:

#1. Kulit muka

Pertamanya, kondisi ini sudah tentu akan terjadi pada kawasan kulit muka dan akan membuat sebahagian tempat menjadi lebih gelap berbanding asal.

Kebiasaannya, kawasan kulit muka yang akan terjejas adalah dahi, pipi, hidung, bawah mata, dan atas bibir yang akan menjejaskan kecantikan kulit wajah.

#2. Kulit leher

Kelihatan seperti daki yang penuh pada leher, kondisi ini sebenarnya bukanlah disebabkan anda tidak menjaga kebesihan diri ketika hamil.

Namun leher juga adalah salah satu kawasan kulit yang mudah terjejas sekiranya berlaku proses hiperpigmentasi kulit semasa mengandung.

ketiak hitam

#3. Ketiak

Hiperpigmentasi kulit ketika sedang hamil juga akan memberi kesan kepada kawasan kulit bawah lengan sekali gus menjadikannya lebih gelap.

Selain itu, kondisi ini juga dipercayai boleh berlaku lebih teruk akibat geseran di antara kulit serta penggunaan deodoran yang tidak sesuai.

#4. Puting

Meskipun warna puting payudara anda memang gelap secara semula jadi, namun akan wujud perubahan di mana ia lebih gelap semasa mengandung.

Ia adalah disebabkan oleh proses hiperpigmentasi kulit selain didorongi oleh aktiviti hormon estrogen dan progesteron yang aktif ketika hamil.

#5. Kulit kelangkang

Kulit bahagian kelangkang atau kawasan di antara pangkal paha juga berisiko menjadi gelap ekoran kondisi yang dinamakan sebagai topeng kehamilan ini.

Dalam pada itu, ia juga dipengaruhi oleh faktor berat badan yang cenderung meningkat lantas membuat kulit lebih banyak terjadi geseran.

Apa punca sebenar kulit gelap ketika hamil?

Baiklah, sekarang kita sudah tahu kawasan-kawasan kulit yang cenderung menjadi gelap tatkala seorang wanita itu sedang mengandung.

Puncanya juga sudah kita semua ketahui iaitu proses hiperpigmentasi akibat perubahan hormon tubuh badan seorang wanita.

kehamilan lewat

Namun ketahuilah wujud juga faktor lain yang boleh jadi pencetus antaranya:

  • Perubahan hormon – Hormon kehamilan seperti estrogen dan progesteron akan merangsang penghasilan melanin yang lebih banyak
  • Pendedahan cahaya – Cahaya matahari yang mengandungi ultra ungu (UV) juga boleh merangsang penghasilan melanin pada kulit
  • Genetik – Kajian menyatakan bahawa individu yang berkulit gelap secara genetik lebih berisiko mengalami kondisi ini berbanding mereka yang berkulit cerah

Adakah ia boleh dielak atau dirawat?

Buat mereka yang risau dengan penampilan diri semasa sedang mengandung ini, ada beberapa cara yang boleh kalian lakukan.

Pertama sekali adalah dengan mengambil vitamin B9 yang tinggi folat kerana ia boleh mengurangkan proses hiperpigmentasi daripada berlaku.

Selain itu, sila pastikan anda menggunakan pelindung matahari yang mengandungi SPF untuk mengelakkan pendedahan terhadap cahaya.

Akhir sekali, gunakan sahaja alat solek dan kosmetik bagi menutup kawasan kulit yang gelap ketika ingin keluar dari rumah! Mudah bukan? Selamat mencuba!

health-tool-icon

Kalkulator Tarikh Bersalin

Gunakan kalkulator ini untuk menentukan tarikh akhir anda. Walau bagaimanapun, ini hanyalah anggaran semata-mata! Kebanyakan wanita akan melahirkan anak dalam masa seminggu sebelum atau selepas tarikh ini.

Panjang Kitaran

28 hari

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. https://www.health.harvard.edu/a_to_z/melasma-chloasma-a-to-z
  2. https://www.health.harvard.edu/womens-health/unmasking-the-causes-and-treatments-of-melasma
  3. https://patient.info/doctor/melasma-chloasma-pro
  4. https://dermnetnz.org/topics/melasma/
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 28/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan