Setiap kali bayi menendang, pasti si ibu akan berasa teruja. Tetapi bilakah individu di sekeliling terutamanya suami dapat merasakan tendangan bayi dalam kandungan?
Ini kerana setiap kali tangan individu lain diletakkan di perut, pastinya tiada pergerakan bayi dapat dirasai.
Ini penjelasannya untuk setiap bakal mama dan papa.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Bila tendangan bayi dalam kandungan dapat dirasai?
Apabila anda kerap dapat merasai tendangan serta pergerakan si manja dalam kandungan, sudah tentu persoalan yang akan mula bermain di minda adalah, “Bilakah suami dapat rasai tendangan si manja?”
Malah mungkin bakal abang atau kakaknya juga teringin untuk merasakan pergerakan adik di dalam perut ibu, betul tak?
Umumnya pergerakan pertama bayi dalam kandungan disebut sebagai quickening, adalah flutters – pergerakan kaki seakan mengipas – yang berlaku pada trimester kedua.
Menurut American Pregnancy Association, ibu hamil mungkin memerlukan 13 hingga 25 minggu untuk mula merasakan bayi bergerak dan ia bergantung kepada beberapa faktor.
Walau bagaimanapun, ia akan memakan masa lebih lama sebelum individu lain seperti suami atau anak yang lain untuk dapat merasai tendangan bayi dalam kandungan.
Dalam kebanyakan kes, anda harus menunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat berkongsi pengalaman yang mengujakan ini dengan pasangan, keluarga atau rakan.
Pun begitu, pengalaman merasai bayi menendang ini boleh berbeza daripada satu kehamilan dengan kehamilan lain.
Namun secara amnya, tendangan tersebut dapat dirasai oleh individu sekeliling anda pada akhir trimester kedua.
Bermula trimester ketiga
Menjelang awal trimester ketiga, pada sekitar minggu ke-28 hingga 32, tendangan bayi akan dapat dirasai.
Ini terutamanya jika mereka meletakkan tangan di perut pada saat tepat dan tempat yang betul.
Anda mungkin sudah dapat merasakan pergerakan dan tendangan si manja sejak beberapa minggu, tetapi bayi perlu lebih membesar sehingga pergerakannya dapat dirasakan daripada luar.
Selalunya pergerakan yang berlaku itu adalah secara sporadik. Ia akan tampak seperti si manja seakan-akan cuba bersembunyi dan hanya ingin disentuh oleh anda sahaja.
Wah, untunglah si ibu sejak daripada dalam perut sudah menjadi pilihan si manja!
Disebabkan itu insan yang anda sayangi, mungkin harus bersabar dan menunggu hingga tiba masanya.
Kenapa yang lain tidak dapat merasa bayi menendang?
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan individu lain tidak dapat merasakan bayi menendang dan bergerak.
Ini termasuklah:
Berat ibu menyukarkan untuk rasa tendangan bayi dalam kandungan
Jika berat ibu berlebihan, ia mungkin memerlukan waktu lebih lama kerana tendangan si manja harus kuat yang bermakna bayi perlu lebih besar untuk dapat dirasai tendangannya daripada luar.
Ini tidak bermakna ia tidak akan berlaku, cuma kebarangkalian untuk berlaku lebih awal, agak tipis.
Baca juga: