backup og meta

Adakah Anak Bersedia Dengan Kelahiran Adik Baru? Ibu Ayah, Ini Cara Elak Anak Terasa Hati

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/06/2021

    Adakah Anak Bersedia Dengan Kelahiran Adik Baru? Ibu Ayah, Ini Cara Elak Anak Terasa Hati

    Kelahiran bayi adalah perkara yang menggembirakan hati mana-mana ibu bapa. Tetapi adakah anak anda bersedia menerima kehadiran adik beradik baharu?

    Untuk lebih banyak info tentang tip keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Kehadiran adik beradik baharu

    Pastinya wujud rasa gementar untuk berdepan reaksi anak-anak lebih tua terhadap bayi yang baru lahir, kan?

    Maka bertimpa-timpalah persoalan muncul di benak fikiran.

    Bagaimana harus memberitahu pada anak yang lebih tua bahawa mereka akan mempunyai adik?

    Adakah mereka akan cemburu?

    Apakah yang boleh anda lakukan agar mereka menerima kehadiran adik baharu?

    Untuk mana-mana ibu bapa sekali pun, kehadiran adik beradik yang baharu adalah satu langkah besar.

    Ini terutamanya jika si abang atau kakak masih kecil. Mereka mungkin akan berasa diri dipinggirkan dan diketepikan daripada menjadi tumpuan. 

    Kebanyakan kanak-kanak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran adik baharu di dalam keluarganya.

    Usah khuatir wahai ibu dan ayah, biasanya apabila bayi sudah berusia sekitar 14 bulan (setahun 2 bulan), hubungan positif antara adik-beradik akan mula berkembang.

    kelahiran bayi

    Masa sesuai umumkan kelahiran bayi

    Sekiranya kalian sedang melakukan persediaan untuk menerima kehadiran bayi, menentukan masa dan perkara yang perlu dikongsikan dengan anak-anak berkaitan si adik adalah bergantung pada ibu bapa.

    Usia anak-anak juga memainkan peranan penting.

    Sebaiknya, anda disarankan untuk memperkenalkan idea mengenai kehadiran adik pada awal kehamilan.

    Jika tidak, sekurang-kurangnya 3 atau 4 bulan sebelum bayi dilahirkan.

    Anda boleh cuba untuk berborak mengenai bayi secara umum. Kemudian bincangkan tentang kehadiran adik beradik baharu.

    Manakala anak yang lebih berusia mungkin akan bertanyakan kepada anda daripada mana bayi berasal, bagaimana mereka boleh berada di dalam perut dan cara bayi akan keluar. 

    Apabila berbual dengan anak-anak mengenai seks, lakukan penjelasan mudah dan bersesuaian dengan usia. Ia adalah pilihan terbaik.

    Umumnya, terdapat banyak buku berkaitan kehamilan dan kelahiran bayi yang mungkin boleh membantu anda.

    Persiapkan anak untuk kehadiran adik beradik baharu

    Persediaan untuk anak boleh dibahagikan kepada 3 bahagian utama, iaitu:

    Sebelum kelahiran bayi

    Anak anda perlu berasakan perubahan ini adalah seluruh keluarga. Anda boleh lakukan:

    • Bercerita dengan anak mengenai bayi. Lihat gambar dan terangkan bagaimana keluarga berkembang
    • Tunjukkan gambar mereka semasa kecil
    • Biarkan mereka menyentuh perut anda untuk rasakan pergerakan bayi yang menendang daripada dalam. Jika membawa mereka semasa pemeriksaan pranatal, biarkan mereka untuk mendengar sama degupan bayi
    • Libatkan mereka dalam persiapan adik baharu
    • Tanyakan kepada mereka apakah perkara yang mereka paling nantikan selepas bayi dilahirkan
    • Sekiranya ada kebimbangan dalam hati anak, bincangkan dengan mereka mengenainya. Berikan mereka pelukan dan kasih-sayang
    • Fokuskan kepada kebaikan jika mempunyai adik beradik baharu untuk disayangi

    adik beradik

    Anda mungkin boleh memberikan idea kepada anak bagaimana rasanya memiliki bayi baharu.

    Bawalah anak berjumpa rakan atau ahli keluarga yang baru melahirkan bayi. 

    Ini membolehkan mereka sedar bayi gemar tidur dan memerlukan penjagaan – dan bukannya rakan sepermainan yang lasak!

    Sekiranya anda ingin memulakan latihan tandas atau peralihan bilik tidur, lakukan sebelum bayi lahir.

    Jika tidak, hentikan daripada melakukan sebarang perubahan sehingga bayi sedikit besar.

    Semasa proses bersalin

    Berikut adalah beberapa idea untuk membantu anak-anak berada dalam keadaan baik sekiranya ibu akan ke hospital untuk melahirkan bayi:

    • Biarkan anak mengetahui siapa yang akan menjaga mereka di saat ketiadaan ibu. Sebaiknya pilihlah pengasuh atau penjaga yang mereka kenali dan selesa untuk bersama
    • Letakkan gambar keluarga dalam bilik tidur anak agar mereka sentiasa berasakan anda ada bersama
    • Aturkan rutin harian anak seperti biasa, jika boleh. Ini dapat membantu mereka berasa lebih selamat
    • Sentiasa berhubung dengan anak yang lain semasa berada di hospital. Jika keadaan ibu dan bayi sihat, izinkan anak untuk melawat di hospital
    • Jika anak yang lebih dewasa datang menziarah, buatkan mereka rasa disayangi dan istimewa. Ucapkan betapa anda rindukan mereka

    Membawa adik beradik baharu pulang

    Idea berikut dapat membantu anda menguruskan perkara semasa membawa pulang bayi buat pertama kalinya:

    • Yakinkan kepada anak-anak – terutamanya jika mereka masih kecil – dengan pelukan penuh kasih-sayang sebelum memperkenalkan bayi untuk pertama kalinya 
    • Sekiranya ada ahli keluarga yang membawa hadiah untuk bayi, cadangkan untuk mereka turut membawa sesuatu untuk anak-anak yang lain
    • Anda juga boleh menyediakan hadiah kecil dan jadikan ia seperti pemberian si adik untuk abang atau kakaknya
    • Memberikan patung kecil kepada anak juga mungkin idea yang boleh dicuba. Ia membuatkan mereka berasa seperti mempunyai bayi mereka sendiri

    adik beradik

    Kehadiran adik beradik baharu pastinya akan mengubah keluarga anda.

    Semasa anak yang lebih tua sedang berusaha menyesuaikan diri, sentiasa berikan keyakinan bahawa kasih-sayang dan perhatian anda pada mereka tidak akan pernah berubah.

    Dalam masa sama, jelaskan kepada anak mengenai peranan dan tanggungjawab penting mereka dalam keluarga sebagai abang mahupun kakak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan