backup og meta

Baru Trimester Pertama, Tapi Ibu Sudah Mula Sakit Pinggang? Cuba Petua Ini

Baru Trimester Pertama, Tapi Ibu Sudah Mula Sakit Pinggang? Cuba Petua Ini

Kerap alami masalah sakit pinggang ketika hamil trimester 1? Adakah ia keadaan yang normal atau disebabkan oleh masalah kesihatan?

Dalam artikel ini Hello Doktor akan menjelaskan punca sakit pinggang semasa awal kehamilan dan cara untuk mengatasinya. Semoga bermanfaat.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Punca sakit pinggang ketika hamil trimester 1

Antara masalah yang sering dialami oleh kebanyakan wanita semasa mengandung adalah sakit belakang badan atau sakit pinggang.

Terdapat pelbagai faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang yang terjadi ini. Bagi sesetengah wanita, ia merupakan tanda awal kehamilan

Jika anda antara wanita yang mengalami masalah sakit pinggang ketika hamil trimester 1, faktor berikut mungkin puncanya.

Peningkatan hormon 

Semasa kehamilan, tubuh anda mengeluarkan hormon yang membantu ligamen dan sendi di pelvis untuk melembut dan melonggar. Ia penting untuk proses kelahiran bayi nanti.

Pun begitu, hormon tersebut tidak hanya berfungsi pada pelvis. Ia bergerak ke seluruh tubuh dan menjejaskan semua sendi anda. 

Pada trimester pertama kehamilan, kelembutan dan kelonggaran ini secara langsung memberi kesan kepada belakang badan. 

sakit pinggang ketika hamil trimester 1

Tekanan, antara punca sakit pinggang ketika hamil trimester 1 

Tekanan boleh menjadi penyumbang kepada sakit belakang – sama ada sedang hamil atau tidak. Ini kerana tekanan meningkatkan kesakitan dan kekejangan otot, terutamanya pada bahagian yang lemah.

Trimester kedua dan ketiga

Selain daripada rasa sakit pinggang semasa awal kehamilan , keadaan ini juga boleh berlarutan sehingga trimester yang seterusnya. 

Faktor-faktor lain turut menyumbang bagi memburukkan lagi masalah sakit belakang tersebut, seperti:

Peralihan pusat graviti

Apabila perut semakin membesar, pusat graviti akan ‘berubah’ ke hadapan. Ini membawa kepada perubahan postur yang boleh menjejaskan cara anda duduk, berdiri, bergerak dan tidur. 

Postur yang tidak baik, berdiri terlalu lama dan membongkok boleh mencetuskan atau memburukkan lagi sakit belakang.

[embed-health-tool-due-date]

Pertambahan berat

Belakang badan juga perlu menyokong berat bayi yang semakin meningkat. Keadaan tersebut sekali gus boleh menegangkan otot. Ditambah dengan masalah postur yang tidak baik, masalah sakit belakang sememangnya akan tercetus.

Wanita hamil yang mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami sakit pinggang sebelum hamil berisiko lebih besar untuk sakit belakang sepanjang kehamilan nanti.

sakit pinggang ketika hamil trimester 1

Merawat sakit pinggang ketika hamil trimester 1

Anda tidak boleh menyingkirkan masalah sakit belakang ini 100%, tetapi beberapa petua ini boleh membantu mengurangkan kesakitan.

Postur berdiri dan berjalan

Membongkok akan memberikan tekanan kepada tulang belakang. Jadi cuba pastikan belakang badan anda lurus apabila berjalan atau berdiri. 

Postur tidur

Cuba tidur mengiring atas tilam yang kukuh. Selain itu, letakkan juga bantal di antara lutut dan perut untuk mengurangkan ketegangan belakang badan anda.

Paling penting, pastikan semasa tidur kepala anda berada di atas bantal dan bukannya bahu.

Postur duduk, atasi sakit pinggang ketika hamil trimester 1  

Cuba duduk dengan badan lurus dan bahu disandarkan ke belakang. Semasa duduk, letakkan bantal kecil atau tuala digulungkan pada belakang untuk menggalakkan anda duduk tegak.

Pastikan kaki mencecah lantai. Manakala pinggul dan lutut berada pada sudut 90°.

Baca juga:

Pemilihan kasut

Pakai kasut rata dan selesa dengan sokongan lengkungan yang baik.

Pek haba atau botol air panas

Letakkan pada bahagian yang menyakitkan bagi membantu mengurangkan kesakitan semasa kehamilan. 

Pastikan pek haba tidak terlalu panas dan jangan biarkan ia di belakang badan untuk tempoh melebihi 10 minit. 

Amalan ini dapat menggalakkan pengeluaran endorphin – penahan sakit semula jadi tubuh.

Senaman relaksasi, bantu atasi sakit pinggang semasa awal kehamilan 

Pernafasan mendalam dan teknik relaksasi lain boleh membantu melegakan sakit pinggang yang disebabkan oleh ketegangan otot berkaitan tekanan belakang badan.

Senaman fizikal

Aktiviti seperti berjalan, berenang dan kelas regangan adalah cara untuk mengurangkan sakit belakang semasa kehamilan. Ia dapat mengurangkan kekejangan otot, antara punca sakit pinggang. 

sakit pinggang ketika hamil trimester 1

Berdiri lama penyebab sakit pinggang ketika hamil trimester 1 

Sekiranya dalam pekerjaan anda perlu berdiri, pastikan kerap menukar kedudukan, seperti meletakkan sebelah kaki di atas bangku atau kotak dan menukar kaki setiap 5 minit atau lebih.

Pastikan juga tempat kerja anda berada pada ketinggian yang selesa dan menghalang diri daripada membongkok.

Tip lain yang boleh dicuba:

  • Jika anda perlu mengambil sesuatu, ingat untuk mencangkung dan bukannya membongkok
  • Elakkan mengangkat barang berat
  • Apabila perut  membesar, pertimbangkan untuk memakai tali pinggang sokongan untuk membantu mengurangkan tekanan di belakang
  • Pek ais juga boleh melegakan sakit belakang
  • Banyakkan berehat

Jika sakit belakang semakin bertambah, berunding dengan doktor untuk mendapatkan ubat bagi merawat keradangan. Jangan mengambil sebarang ubat tanpa kebenaran doktor.

Pemeriksaan doktor mengenai sakit pinggang semasa awal kehamilan

Sakit belakang adalah normal pada fasa kehamilan. Namun dalam beberapa kes, ia boleh menjadi masalah serius seperti kelahiran pramatang atau jangkitan saluran kencing.

Sekiranya sakit pinggang yang disertai demam, sensasi terbakar semasa kencing atau pendarahan faraj, hubungi doktor segera.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Back Pain During Pregnancy. https://americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/pregnancy-health-wellness/back-pain-during-pregnancy/, Accessed on Feb 12, 2022
  2. Back pain during pregnancy: 7 tips for relief. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/in-depth/pregnancy/art-20046080, Accessed on Feb 12, 2022
  3. Back Pain During Pregnancy. https://www.acog.org/womens-health/faqs/back-pain-during-pregnancy, Accessed on Feb 12, 2022
  4. Pregnancy Discomforts: Back Pain, Round Ligament Pain, Nausea. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/5186-pregnancy-having-a-healthy-pregnancy, Accessed on Feb 12, 2022
  5. Backache in pregnancy. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/backache-in-pregnancy, Accessed on Feb 12, 2022 

 

Versi Terbaru

24/05/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

Banyak Sangat Pantang Larang Ibu Hamil? Jangan Pening-pening! 3 Benda Ini BUKAN MITOS!

Ini Yang Akan Berlaku Pada Janin Anda Sepanjang Minggu 1 hingga 12 Kehamilan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan