Kehamilan adalah tempoh penuh dengan perubahan dan tidak semua perubahan itu memberikan keselesaan. Antara isu yang sering dialami tetapi jarang dibincangkan secara terbuka adalah dyspareunia, iaitu rasa sakit selepas bersama.
Dyspareunia semasa hamil adalah masalah yang biasa dan boleh ditangani jika difahami dengan betul. Ikuti huraiannya dalam artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Dyspareunia, sakit selepas bersama
Bagi sesetengah wanita, hubungan seksual semasa hamil boleh menjadi pengalaman yang menyenangkan dan mengukuhkan hubungan suami isteri.
Namun, adakalanya ia boleh menjadi tidak selesa, menyakitkan, malah membimbangkan. Kesakitan ini boleh berlaku atas pelbagai sebab — daripada perubahan hormon, tekanan fizikal, hingga kepada kebimbangan emosi dan psikologi.
Kesakitan ini boleh berlaku dalam apa-apa peringkat kehidupan – termasuk semasa baligh, selepas bersalin, ketika fasa menopaus, atau akibat masalah kesihatan tertentu – ia juga kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil.

Punca dyspareunia, sakit selepas bersama ketika hamil
Berikut antara faktor penyumbang kepada rasa sakit selepas seks ketika mengandung:
1. Perubahan hormon
Semasa hamil, paras hormon estrogen dan progesteron meningkat dengan ketara yang boleh menyebabkan perubahan pada tisu faraj, termasuk kekeringan faraj.
Keadaan itu boleh menyebabkan rasa pedih atau tidak selesa semasa hubungan seksual, terutama pada trimester pertama atau ketiga.
2. Pertambahan aliran darah ke kawasan pelvik
Tubuh akan meningkatkan aliran darah ke kawasan rahim dan faraj untuk menyokong perkembangan bayi.
Aliran darah ke kawasan pelvik meningkat semasa hamil, menjadikan tisu faraj lebih sensitif. Ini boleh menyebabkan rasa berdenyut, tekanan atau ketidakselesaan semasa hubungan seks.
3. Perubahan posisi rahim dan organ dalaman
Rahim yang membesar akan menekan organ-organ sekeliling termasuk pundi kencing dan rektum. Ini boleh menyebabkan ketegangan otot pelvik dan menjadikan sesetengah posisi seks tidak selesa atau menyakitkan, punca sakit selepas seks ketika mengandung.
4. Kontraksi ligamen dan ketegangan otot

Tumbesaran janin memaksa badan menyesuaikan diri, termasuk ligamen dan otot-otot di kawasan pelvis dan abdomen.
Ketegangan ini boleh menyebabkan rasa tidak selesa semasa pergerakan tertentu, termasuk ketika melakukan hubungan seksual khususnya pada trimester kedua dan ketiga.
Sakit selepas bersama ketika hamil #5. Faktor emosi, psikologi
Kebimbangan terhadap keselamatan bayi, perubahan imej tubuh, keletihan serta tekanan emosi boleh menurunkan keinginan seksual (libido). Keadaan itu sekali gus menyebabkan ketegangan otot faraj semasa hubungan intim, sekali gus mencetuskan rasa sakit.
6. Jangkitan atau masalah kesihatan lain
Bukan semua kesakitan semasa hubungan seksual berpunca daripada perubahan biasa dalam kehamilan.
Kadangkala, rasa sakit selepas seks ketika mengandung juga boleh berpunca daripada jangkitan seperti jangkitan saluran kencing (UTI), keputihan yang tidak normal atau masalah lain seperti endometriosis atau fibroid. Ini memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
Cegah rasa sakit selepas bersama
Anda tidak perlu menahan sakit semasa atau selepas melakukan hubungan intim ketika hamil. Untuk membantu mengurangkan kesakitan, rasa sensitif dan ketidakselesaan, pertimbangkan beberapa cadangan berikut:
- Komunikasi dengan pasangan: Berbincang secara terbuka dengan pasangan tentang rasa sakit dan ketidakselesaan yang dialami agar mereka memahami keadaan anda.
- Tukar posisi seksual: Cuba posisi yang lebih selesa dan tidak memberi tekanan pada bahagian perut atau pelvik.

- Pelincir faraj: Gunakan pelincir berasaskan air untuk mengurangkan kekeringan dan geseran semasa seks, sekali gus mengurangkan risiko kesakitan.
- Rehat dan persediaan mental: Pastikan anda dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa sebelum melakukan hubungan intim.
- Berjumpa doktor: Jika kesakitan berterusan, terlalu kuat, atau disertai dengan pendarahan, segeralah berjumpa dengan pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.
Kesimpulan
Dyspareunia, rasa sakit semasa atau sakit selepas bersama ketika hamil bukanlah sesuatu yang luar biasa dan boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor fizikal dan emosi.
Apa yang penting ialah mengenal pasti puncanya dan mencari pendekatan yang sesuai untuk mengatasinya.
Hubungan seksual semasa mengandung adalah selamat dalam kebanyakan kes, selagi tidak memberi kesan kepada keadaan kesihatan.
Dapatkan nasihat daripada doktor jika ada sebarang keraguan atau kesakitan yang luar biasa agar kesihatan ibu dan bayi sentiasa terpelihara.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]