home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Selain Datang Bulan, Ada 4 Perubahan Pada Tubuh Anak Gadis Masa Akil Baligh, Sedia!

Selain Datang Bulan, Ada 4 Perubahan Pada Tubuh Anak Gadis Masa Akil Baligh, Sedia!

Ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang menginjak ke usia remaja pasti rasa risau atau berdebar ketika anak gadisnya ingin melalui fasa akil baligh.

Fasa ini merupakan sebahagian daripada proses hidup dan berlaku kepada lelaki dan juga perempuan.

Melihat anak kecil anda menjadi remaja mungkin akan menimbulkan rasa risau di dalam hati anda sebagai ibu bapa.

Sebagai ibu yang cakna, anda haruslah kekal berada di samping anak anda ketika mereka melalui proses akil baligh.

Jangan malu untuk menerangkan kepada mereka tentang perubahan besar yang bakal berlaku secara fizikal dan juga mental mereka.

Semua perubahan ini hendaklah dijelaskan dengan baik agar mereka dapat belajar cara yang terbaik untuk membawa diri ketika mencecah akil baligh.

Bila akil baligh akan berlaku terhadap kanak-kanak perempuan?

akil baligh

Proses akil baligh boleh berlaku pada bila-bila masa. Untuk kanak-kanak perempuan, mereka selalunya mencapai akil baligh ketika umur mereka 8-13 tahun.

Bergantung kepada umur mereka ketika proses akil baligh bermula, kanak-kanak perempuan mungkin akan datang bulan ketika umur mereka 9-16 tahun.

Antara tanda awal akil baligh ialah pembesaran payudara. Pada masa yang sama, mereka juga akan mula tumbuh bulu pada bahagian kemaluan. Selain itu, ada juga yang akan mempunyai bulu yang lebih lebat pada kawasan kaki dan lengan mereka.

Kanak-kanak perempuan dikatakan telah mencapai fasa seterusnya apabila payudara mereka telahpun membesar dengan sepenuhnya.

Selalunya, 2 tahun selepas akil baligh bermula, wanita akan mula mendapat haid atau period pertama mereka.

Mereka juga akan membesar hingga ketinggian yang tertentu, seiring dengan perubahan pada bentuk tubuh badan mereka.

Sebagai seorang ibu, anda perlulah peka dengan semua perubahan fizikal yang berlaku kepada anak perempuan anda ketika ini. Antara perubahan yang anda boleh jangkakan ialah:

1. Perubahan bentuk badan

Payudara wanita akan tumbuh dengan perlahan-lahan ketika wanita tersebut mencapai akil baligh. Pada awalnya, payudara mungkin akan tumbuh sebesar duit syiling.

Selain itu, payudara yang tumbuh secara tidak seimbang merupakan sesuatu yang normal.

Sama jugalah jika anak anda sering mengadu sakit pada bahagian payudara mereka. Rasa sakit ini merupakan sesuatu yang normal dan lama-kelamaan akan pulih dengan sendirinya.

2. Bulu pada kawasan badan

akil baligh

Bulu yang lebih kasar akan mula tumbuh pada kawasan bawah lengan, kemaluan dan juga kaki. Ada juga dalam kalangan gadis yang akan tumbuh bulu terlebih dahulu sebelum pembesaran payudara.

Mungkin inilah masa yang terbaik untuk mengajar anak anda cara yang betul untuk menggunakan alat pencukur.

Pastikan mereka tahu cara untuk gunakannya dengan betul untuk elakkan sebarang kecederaan dan iritasi pada bahagian kulit.

3. Keputihan

Kanak-kanak perempuan yang meningkat remaja akan mengalami keputihan yang bermula 6 -12 bulan sebelum datang bulan. Keputihan merupakan sesuatu yang normal disebabkan oleh peningkatan hormon estrogen di dalam badan.

4. Badan semakin tinggi dan peha semakin besar

Kebanyakan perempuan akan membesar dan alami perubahan fizikal lebih awal daripada lelaki. Setelah gadis tersebut datang haid, tumbesarannya akan menjadi perlahan.

Selalunya, wanita akan membesar 1 atau 2 inci lebih tinggi daripada tinggi asal ketika mereka mula datang haid. Namun, ketinggian yang lebih daripada itu agak jarang berlaku.

Peha mereka juga akan jadi semakin lebar dan pinggang pula semakin ramping.

Perubahan lain semasa datang bulan

akil baligh

Ada anak gadis yang rasa gembira ketika mereka mengalami perubahan dari segi bentuk badan. Mereka rasa gembira kerana merasakan diri mereka sudah meningkat dewasa.

Namun, ada juga yang rasa malu dah perlukan bimbingan tambahan daripada ibu bapa mereka.

Satu perkara yang mungkin mengganggu anak gadis remaja anda ialah jerawat. Jerawat merupakan sesuatu yang amat lazim dalam kalangan remaja.

Selalunya, jerawat berlaku disebabkan oleh pori yang tersumbat. Hormon yang dirembeskan ketika akil baligh akan membuatkan kulit mengeluarkan sejenis minyak yang dikenali sebagai sebum.

Pada waktu ini, anda boleh memperkenalkan produk penjagaan wajah kepada anak anda. Namun, produk kecantikan bukanlah krim ajaib, ia tidak boleh menghilangkan jerawat pada wajah jika dipakai secara keterlaluan.

Jika anak anda mempunyai jerawat yang teruk, anda mungkin perlu membawanya berjumpa dengan doktor ataupun ahli dermatologi yang bertauliah.

Selain itu, anak anda juga mungkin akan mula mengalami mood swing ataupun perubahan emosi.

Walau bagaimanapun, gangguan emosi atau perasaan yang tidak tetap ini akan hilang dengan perlahan-lahan dan mungkin hanya akan mengganggu ketika hampir datang bulan.

Bila ibu bapa patut bercakap mengenai akil baligh?

Sebagai ibu bapa, anda haruslah bersiap sedia untuk bercakap mengenai perubahan-perubahan ini secara terbuka bersama anak anda.

Pastikan anda bersedia untuk menjawab segala persoalan anak perempuan anda mengenai akil baligh, terutamanya mengenai perubahan fizikal.

Elakkan daripada menjelaskan semuanya kepada anak anda sekali gus. Anak anda mungkin akan rasa terkejut dan tidak selesa.

Jika boleh, jelaskan secara perlahan-lahan dan berperingkat mengikut umur dan kematangan anak anda. Selain itu, pastikan anda menjawab semua soalan anak anda dengan jujur.

Jika anda rasa tidak selesa untuk bercakap tentang perkara ini dengan anak anda, cuba dapatkan pertolongan daripada pasangan anda ataupun ahli keluarga lain yang terdekat.

health-tool-icon

Kalkulator BMI

Guna kalkulator ini untuk mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan semak tahap kesihatan berat badan anda. Anda juga boleh menyemak BMI anak.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Family Planning. n.d. CHANGES AT PUBERTY. Accessed November 4, 2020. https://www.familyplanning.org.nz/advice/understand-your-body/changes-at-puberty.
  2. Healthychildren.org. n.d. Physical Development in Girls: What to Expect During Puberty. Accessed November 4, 2020. https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/gradeschool/puberty/Pages/Physical-Development-Girls-What-to-Expect.aspx.
  3. Kids Health. 2015. Understanding Puberty. June. Accessed November 4, 2020. https://kidshealth.org/en/parents/understanding-puberty.html.
  4. NHS. 2018. Girls and puberty Q&A. August 2. Accessed November 4, 2020. https://www.nhs.uk/live-well/sexual-health/girls-and-puberty-faqs/.
  5. —. 2018. Stages of puberty: what happens to boys and girls. November 16. Accessed November 4, 2020. https://www.nhs.uk/live-well/sexual-health/stages-of-puberty-what-happens-to-boys-and-girls/.
  6. Raising Children Network. 2020. Physical changes in puberty: girls and boys. July 1. Accessed November 4, 2020. https://raisingchildren.net.au/pre-teens/development/puberty-sexual-development/physical-changes-in-puberty.
  7. Standford Children’s Health. n.d. Puberty: Teen Girl. Accessed November 4, 2020. https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=puberty-adolescent-female-90-P01635.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 24/03/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman