backup og meta

Ibu Hamil Alami Masalah Uri Di Bawah? Amalkan Tidur Posisi Ini, Selamat & Selesa!

Ibu Hamil Alami Masalah Uri Di Bawah? Amalkan Tidur Posisi Ini, Selamat & Selesa!

Sedang hamil dan mengalami masalah uri bawah atau turut dikenali plasenta previa? Keadaan tersebut memerlukan anda untuk berehat. Jom ketahui, posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa yang boleh diamalkan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Apa itu plasenta previa?

Sebelum kita mengetahui apakah posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa, ayuh kita fahami serba sedikit mengenai keadaan kedudukan uri di bawah.

Plasenta atau uri adalah satu struktur yang berkembang di dalam rahim sepanjang tempoh kehamilan berlangsung. Plasenta ini bersambung dengan bayi melalui tali pusat.

Uri berfungsi membekalkan oksigen dan nutrisi selain mengeluarkan bahan buangan daripada bayi dalam kandungan. 

Dalam kebanyakan kehamilan, plasenta akan melekat pada bahagian atas atau sisi rahim.

Manakala situasi uri bawah pula berlaku apabila plasenta menutup sebahagian atau keseluruhan serviks ibu – merupakan saluran keluar untuk rahim.

Jenis-jenis uri bawah:

  • Previa lengkap – Bukaan serviks ditutup sepenuhnya
  • Previa separa – Sebahagian daripada serviks ditutup dengan uri
  • Previa sisi – Memanjang hanya ke tepi serviks

Bagi wanita dengan isu mengandung uri bawah, anda mungkin akan mengalami pendarahan sepanjang kehamilan dan juga semasa bersalin.

Doktor biasanya akan menyarankan untuk anda mengelakkan aktiviti yang mungkin menyebabkan kontraksi seperti melakukan hubungan seks atau menggunakan tampon.

Di samping itu, anda juga akan dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan risiko pendarahan seperti berlari, mencangkung dan melompat.

Jika keadaan plasenta previa ini tidak sembuh, anda mungkin akan bersalin secara czer.

posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa
Kedudukan uri ketika hamil.

Risiko komplikasi uri di bawah

Terdapat beberapa risiko komplikasi serius yang boleh berlaku kepada wanita hamil dengan masalah plasenta previa ini, antaranya:

  • Pendarahan utama atau hemorrhage kepada ibu
  • Kejutan akibat kehilangan darah
  • Tekanan pada janin akibat kekurangan oksigen
  • Kelahiran pramatang 
  • Risiko kesihatan kepada bayi – jika dilahirkan pramatang
  • Bersalin caesarean kecemasan
  • Histerektomi (buang rahim) – jika plasenta gagal keluar daripada lapisan rahim
  • Kehilangan darah pada bayi
  • Spektrum plasenta akreta – plasenta tumbuh ke dalam atau melalui dinding rahim. Risiko pendarahan yang tinggi semasa mengandung atau semasa dan selepas bersalin
  • Kematian 

[embed-health-tool-due-date]

Rawatan semasa mengandung

Biasanya cara mengatasi plasenta previa adalah untuk meringankan gejala dan memanjangkan kehamilan, seperti:

  • Penghospitalan
  • Pemantauan rapi – menggunakan monitor janin dan kerap memeriksa tanda-tanda vital ibu seperti tekanan darah
  • Pemindahan darah untuk ibu
  • Elakkan sebarang aktiviti yang mencetuskan pengecutan rahim atau merengsakan serviks seperti hubungan seksual atau orgasme
  • Berehat di atas katil (bed rest)

Jadi apakah mungkin posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa yang digalakkan dan yang perlu dielakkan? Jom ketahui jawapannya.

Posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa

Berikut antara posisi yang disarankan buat wanita hamil dengan masalah uri di bawah:

1. Berbaring mengiring

posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa
Berbaring secara mengiring.

Wanita hamil dengan plasenta previa sangat dinasihatkan untuk tidur berbaring mengiring ke kiri. Kedudukan dipercayai dapat mengurangkan tekanan pada rahim supaya aliran darah dan nutrien untuk janin serta plasenta lebih lancar. Di samping itu, mengiring ke kiri tidak akan memberi tekanan kepada jantung.

Pastikan kedudukan kaki dan lutut anda dibengkokkan dan diletakkan bantal di antara kaki untuk keselesaan tambahan.

Kedudukan ini juga akan memberi manfaat kepada buah pinggang dengan membantu mengeluarkan sisa dan cecair daripada badan anda. Ia sekali gus akan mengurangkan bengkak pada buku lali, kaki dan tangan anda.

Bagi ibu hamil yang mengalami masalah sakit belakang, cuba letak bantal nipis untuk menampung perut.

Posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa #2. Tidur dengan sokongan

Satu lagi posisi tidur untuk wanita hamil dengan plasenta previa ialah berbaring dengan meletakkan bantal sebagai sokongan. 

Letakkan beberapa bantal di kepala dan belakang badan supaya kedudukannya seperti separuh duduk. kedudukan ini boleh membuatkan ibu hamil berasa lebih selesa.

Bukan itu sahaja, posisi separuh duduk juga boleh mengurangkan risiko mengalami pedih ulu hati pada waktu malam. 

Posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa: Kedudukan perlu dielakkan

Semasa mengandung, anda perlu mengelakkan posisi tidur tertentu yang boleh membahayakan janin. Beberapa posisi tidur yang tidak baik untuk wanita hamil dan harus dielakkan adalah:

1. Terlentang

Tidur secara menelentang merupakan posisi tidur larangan ibu hamil plasenta previa. Berbaring terlentang boleh menyebabkan masalah seperti sakit belakang, sesak nafas, masalah penghadaman, tekanan darah rendah dan buasir.

Malah, kedudukan ini boleh menyebabkan peredaran darah dan nutrien ke jantung dan janin terganggu. Sebabnya perut yang membesar akan menekan usus dan saluran darah utama.

posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa
Posisi ibu hamil tidur secara telentang.

Pantang larang uri dibawah 2. Meniarap

Posisi tidur meniarap amat tidak digalakkan buat wanita mengandung secara amnya.

Kedudukan ini boleh menyebabkan tekanan pada saluran darah utama dan risiko yang lebih tinggi untuk wanita hamil dengan plasenta previa.

Pada akhirnya, bercakap mengenai posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa ini, ia haruslah menjadi kedudukan yang dapat memberi keselesaan pada diri anda.
Sekiranya terdapat pertanyaan atau kebimbangan mengenai keadaan diri, berundinglah dengan doktor pakar sakit puan bagi mendapatkan kepastian.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Placenta previa. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/placenta-previa, Accessed on Nov 6, 2022  
  2. Placenta previa. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/placenta-previa/symptoms-causes/syc-20352768#, Accessed on Nov 6, 2022
  3. Placenta Previa. https://www.marchofdimes.org/find-support/topics/pregnancy/placenta-previa, Accessed on Nov 6, 2022
  4. Pregnancy Bed Rest. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/9757-pregnancy-bed-rest, Accessed on Nov 6, 2022
  5. Maternal blood pressure and dominant sleeping position may affect placental localization. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/24283300/, Accessed on Nov 6, 2022
  6. 5 Posisi Tidur untuk Plasenta Previa Bumil Wajib Tahu. https://www.mooimom.id/mamapedia/5-posisi-tidur-untuk-plasenta-previa-bumil-wajib-tahu, Accessed on Nov 6, 2022
  7. Best Sleeping Positions During Pregnancy. https://americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/pregnancy-health-wellness/sleeping-positions-while-pregnant/#, Accessed on Nov 6, 2022
  8. Bed Rest During Pregnancy. https://www.eehealth.org/~/media/files/edward-elmhurst/services/pregnancy-baby/bedrestduringpregnancy-edwardhospital.pdf?la=en,  Accessed on Nov 6, 2022

 

Versi Terbaru

15/11/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Bahaya Jika Kerap Muntah Masa Hamil Sampai Hilang Berat, 5 Cara Ini Boleh Bantu Atasinya

AWAS, Kandungan Overdue Ada Bahaya, Ibu Kena Lebih Alert Dengan Risiko Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 6 hari lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan