backup og meta

AWAS, Kandungan Overdue Ada Bahaya, Ibu Kena Lebih Alert Dengan Risiko Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/10/2021

    AWAS, Kandungan Overdue Ada Bahaya, Ibu Kena Lebih Alert Dengan Risiko Ini

    Biasanya tempoh kehamilan adalah antara 37 hingga 42 minggu. Namun ada risiko bahaya yang bakal ibu perlu ketahui jika hamil lebih dari 40 minggu.

    Baca lebih lanjut tentang Kehamilan di sini.

    Apabila anda melepasi tarikh jangkaan bersalin…

    Kebanyakan tempoh kehamilan adalah sekitar 37 hingga 42 minggu. Namun ada juga wanita mengandung untuk tempoh yang lebih lama daripada itu. 

    Jika anda hamil lebih dari 40 minggu, atau lebih tepat memasuki minggu ke-42 dan ke atas, kehamilan tersebut dikenali sebagai post-term atau kehamilan lewat. 

    Walaupun terdapat beberapa risiko dalam kehamilan lewat ini, namun kebanyakan bayi dapat dilahirkan secara sihat.

    Doktor dan pengamal perubatan juga boleh melakukan ujian khas bagi memeriksa tahap kesihatan bayi. Ia adalah untuk memastikan kesihatan si manja sentiasa berada dalam keadaan yang baik. 

    Bagaimana boleh terjadinya hamil lebih dari 40 minggu?

    Kebanyakan wanita yang melewati tempoh kehamilan 40 minggu, bukanlah benar-benar berada dalam kehamilan lewat. Adakalanya ia disebabkan tarikh anggaran bersalin (EDD) yang kurang tepat.

    Tambahan pula, EDD adalah tarikh jangkaan dan bukannya tarikh yang tepat untuk seorang wanita bersalin.

    Tarikh jangkaan bersalin biasanya berdasarkan:

    • Anggaran hari pertama selepas kitaran haid berakhir
    • Saiz ukuran rahim bersama hasil keputusan ujian ultrabunyi pada awal tempoh kehamilan

    Walau bagaimanapun, ia dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti:

    hamil lebih dari 40 minggu

  • Kebanyakan wanita tidak dapat mengingati dengan tepat hari terakhir kedatangan haid. Jadi keadaan tersebut akan menyukarkan ramalan tarikh jangkaan bersalin
  • Tidak semua kitaran haid mempunyai kepanjangan yang sama
  • Ada sesetengah wanita tidak melakukan ujian ultrabunyi pada awal kehamilan untuk menentukan tarikh jangkaan bersalin yang paling tepat
  • Jadi apabila sesuatu kehamilan dianggap sebagai kehamilan lewat dan seorang wanita itu hamil lebih dari 40 minggu, tiada siapa yang dapat mengetahui mengapa ia terjadi. 

    Risiko hamil lebih dari 40 minggu

    Sekiranya anda belum melahirkan anak menjelang 42 minggu tempoh kehamilan, terdapat risiko kesihatan yang lebih besar kepada anda dan bayi.

    Umumnya, plasenta adalah penghubung antara anda dan si kecil di dalam kandungan.

    Apabila anda melepasi tarikh jangkaan bersalin, plasenta mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik seperti sebelumnya.

    Keadaan ini sudah tentu akan mengurangkan jumlah oksigen dan nutrien daripada anda yang diperolehi bayi.

    Akibatnya, berkemungkinan besar bayi:

    • Tidak membesar seperti sebelumnya
    • Berlaku tanda-tanda tekanan kepada janin. Ini bermaksud degupan jantung bayi tidak bertindak balas secara normal
    • Mempunyai masa yang lebih sukar semasa kelahiran
    • Berdepan risiko kelahiran mati (stillbirth) – mati dalam kandungan. Risiko untuk terjadinya keadaan ini adalah lebih tinggi apabila seorang wanita itu hamil lebih dari 40 minggu

    Masalah lain yang mungkin berlaku adalah:

  • Jika bayi bersaiz besar, ia akan menyukarkan anda untuk bersalin secara faraj atau kelahiran normal. Anda mungkin perlu melahirkan anak dengan prosedur kelahiran caesar atau C-Sec
  • Tempoh kehamilan lewat juga boleh mengurangkan cecair amniotik (air ketuban) – air yang mengelilingi bayi. Ia sekali gus akan menyebabkan jumlah oksigen dan nutrien yang diperolehi bayi menjadi terhad
  • hamil lebih dari 40 minggu

    Sekiranya anda mengalami sebarang masalah yang disenaraikan di atas, ia akan meningkatkan risiko untuk bersalin secara pembedahan.

    Apa yang berlaku jika hamil lebih dari 40 minggu?

    Sehingga anda mencapai tempoh kehamilan 41 minggu, doktor mungkin tidak melakukan apa-apa kecuali jika wujud sebarang masalah atau komplikasi.

    Sekiranya usia kehamilan anda 41 minggu, doktor akan melakukan ujian untuk memeriksa keadaan bayi.

    Pemeriksaan tersebut merangkumi ujian profil biofizik (ultrabunyi) dan ujian bukan tekanan (non-stress test).

    • Ujian mungkin menunjukkan bahawa bayi itu aktif dan sihat, dan jumlah cairan amniotik adalah normal. Jika itu adalah keadaannya, doktor mungkin akan memutuskan untuk menunggu sehingga anda bersalin sendiri
    • Ujian ini juga dapat menunjukkan bahawa jika bayi menghadapi masalah. Sekiranya ia berlaku, doktor akan memutuskan bahawa anda perlu menjalani prosedur induce – dipaksa bersalin

    Apabila usia kandungan mencapai tempoh antara 41 dan 42 minggu, risiko untuk berlaku masalah kesihatan bagi anda dan bayi adalah tinggi. Doktor mungkin akan mencadangkan prosedur induce. 

    Walau bagaimanapun, untuk wanita hamil yang lebih berusia, khususnya berumur lebih 40 tahun, doktor akan menyarankan prosedur induce apabila melewati 39-minggu kehamilan. 

    Memahami prosedur induce

    Apabila anda tidak bersalin dengan sendiri dan berada dalam situasi hamil lebih dari 40 minggu, doktor akan memaksa anda bersalin. Prosedur tersebut akan berlangsung dengan:

    • Menggunakan ubat yang disebut oxytocin. Ubat ini boleh menyebabkan kontraksi bermula dan diberikan melalui saluran intravena (IV)
    • Memasukkan ubat supositoria ke dalam faraj. Ini akan membantu mematangkan (melembutkan) serviks dan dapat membantu memulakan proses bersalin
    • Memecahkan air ketuban (pecahkan selaput yang menahan cecair amniotik). Proses ini boleh dilakukan pada sesetengah wanita untuk membantu proses bersalin
    • Meletakkan kateter (catheter) atau tiub pada serviks untuk membantunya mula melebar (dilate) secara perlahan

    hamil lebih dari 40 minggu

    Keperluan menjalani pembedahan C-Sec

    Anda hanya perlu melalui prosedur bersalin secara pembedahan caesarean jika:

    • Proses kelahiran tidak boleh didorong oleh doktor menggunakan teknik-teknik di atas
    • Ujian kadar denyutan jantung bayi menunjukkan mereka berada dalam tekanan
    • Proses kelahiran normal terhenti sebaik ia bermula

    Teruskan bertahan!

    Tidak kira sama ada perlu menjalani prosedur induce atau bersalin secara pembedahan, anda disarankan untuk kekal berhubung dengan doktor.

    Sementara itu, lakukan yang terbaik dalam menjaga kesihatan diri dan bayi. Jangan lupa untuk menikmati tempoh kehamilan anda ini, okay? 

    [health_tool_article id=”128776″]

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan