Mabuk kehamilan
Mungkin anda anggap gejala morning sickness atau mabuk kehamilan adalah perkara biasa untuk ibu hamil. Namun, awas jika anda mengalaminya berlarutan sehingga trimester kedua ataupun ketiga. Gejala mabuk hamil yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi dan membahayakan ibu dan bayi.
Bagi mengurangkan masalah ini, anda boleh mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit secara kerap. Elakkan juga makan makanan yang berminyak dan pedas serta minum banyak air untuk mengurangkan muntah. Berjumpa dengan doktor bagi mengetahui suplemen yang boleh anda ambil untuk mengurangkan rasa loya dan muntah yang teruk.
UTI
Ibu hamil amat mudah mendapat Urinary Tract Infections (UTI) atau kencing kotor. Masalah ini berlaku kerana perubahan hormon dan urethra (saluran yang membawa air kencing dari pundi kencing ke luar) yang pendek. Tanda-tanda ibu hamil mengalami UTI adalah:
- Sakit atau rasa perit semasa kencing
- Demam, letih atau seram sejuk
- Kerap berulang-alik ke tandas untuk membuang air kecil
- Tidak puas kencing
- Sakit di bahagian bawah abdomen
- Air kencing berbau atau kelihatan berwarna merah
- Loya dan sakit belakang
Jika kencing kotor tidak dirawat, ibu berkemungkinan akan mengalami masalah jangkitan kuman pada buah pinggang. Lebih serius lagi, jangkitan kuman tersebut boleh merebak ke seluruh aliran darah sehingga boleh menyebabkan kematian. Bayi dalam kandungan turut berdepan dengan risiko kelahiran awal dan kurang berat badan.
Jika anda mengalami UTI, amalkan minum air yang banyak iaitu 6 hingga 8 gelas sehari, menjaga kebersihan bahagian intim dan mengurangkan makanan serta minuman manis. Pengambilan vitamin C, beta-karotene dan zink juga boleh membantu masalah kencing kotor.
Anemia
Anemia ialah keadaan di mana seseorang itu kekurangan sel darah merah. Wanita hamil yang kekurangan zat besi, folat, Vitamin B12, infeksi dan talasemia mungkin akan mengalami anemia. Tanda-tandanya adalah anda akan rasa cepat letih dan lemah. Anemia jika dibiarkan boleh merisikokan kandungan, di mana bayi mungkin dilahirkan kecil dan lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin (EDD).