
Keguguran adalah satu berita yang memilukan bagi mana-mana pasangan. Namun adakah ia boleh menjejaskan hubungan seksual antara pasangan suami isteri? Kalau ya, berapa lama akan terjejas?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Hubungan seksual selepas keguguran
Soalan paling kerap ditanya bagi wanita keguguran adalah “Berapa lama masa yang diperlukan sebelum dapat kembali melakukan hubungan seksual bersama pasangan?”
Ini kerana sehingga 20% kehamilan berakhir dengan keguguran manakala 1 daripada 100 kelahiran mati (stillbirth). Secara mudahnya, tiada jawapan standard bila waktu yang sesuai untuk melakukan hubungan intim.
Kebiasaannya, doktor akan memberi nasihat kepada wanita yang keguguran menunggu sehingga mereka benar-benar bersedia untuk melakukan hubungan intim.
Walau bagaimanapun, tempoh kesediaan wanita dan pasangan akan bergantung kepada beberapa faktor fizikal dan emosi.
Menurut Ketua Bahagian Endokrinologi Reproduktif dan Ketidaksuburan merangkap Profesor Obstetrik dan Ginekologi di Columbia University Irving Medical Center, Dr Zev Williams, “Dari perspektif perubatan dan praktikal, perkara utama adalah untuk memastikan kehamilan telah berlalu sepenuhnya.
“Selain itu, adalah penting untuk memastikan bahagian serviks telah tertutup dan tiada peningkatan risiko untuk menyebabkan jangkitan. Ia bergantung kepada waktu keguguran itu berlaku dalam tempoh kehamilan serta berapa cepat badan wanita itu pulih.”
Bagaimana emosi terjejas?
Perkara paling penting adalah melibatkan emosi wanita yang kehilangan kandungan.
Ini kerana seseorang wanita itu mungkin berasa keberatan untuk melakukan hubungan seksual di samping masih bersedih atas kehilangan yang berlaku.
Masalah kehilangan yang berlaku juga boleh mengubah hubungan seseorang wanita itu dengan badannya dan pemikirannya mengenai seks kepada pasangan juga mungkin berubah. Ia sesuatu yang sukar difahami.
Pakar OB-GYN di Cedars Sinai Medical Center di Los Angeles, Dr Jessica Shneider berkata, “Tiada garis panduan dengan pesakit tentang jangkaan untuk kembali melakukan hubungan intim selepas keguguran. Malahan perkara mengenai seks tersebut tidak akan diutarakan, melainkan jika pesakit yang ingin memperkatakan tentangnya.”
Beliau turut memberitahu terdapat kajian tentang tahap selamat untuk kembali hamil selepas keguguran tetapi ia tidak membincangkan mengenai fungsi atau kepuasan seksual.
Hakikatnya, kedua-dua perkara itu boleh berubah dan akan berubah.
Badan tidak bersedia untuk hubungan seksual
Dr Zev memberitahu, selepas keguguran, sistem serviks akan terbuka (dilates) untuk membiarkan tisu janin keluar. Bergantung kepada tempoh kehamilan sewaktu anda gugur, proses penutupan serviks akan mengambil masa daripada beberapa minggu hingga ke beberapa bulan.
Pakar ginekologi anda boleh melakukan pemeriksaan serviks melalui ujian fizikal. Walau bagaimanapun, jika ujian kehamilan anda menunjukkan positif tetapi ujian ultrasound adalah sebaliknya – dianggap 75% keguguran – anda tidak perlu menunggu untuk melakukan hubungan intim.
Perlu ke berpantang?
Dalam adat berpantang di Malaysia, wanita yang keguguran perlu melalui tempoh berpantang sama seperti melahirkan anak. Tempoh ideal bagi wanita yang gugur pada trimester pertama adalah selama 30 hari.
Sepanjang tempoh tersebut, hubungan intim perlu dielakkan untuk membolehkan proses pemulihan berjalan lancar. Tempoh berpantang yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya 2 minggu selepas disahkan keguguran, sama seperti tempoh cuti sakit yang diberikan pihak hospital.
Sekiranya berlaku demam teruk atau berlakunya pendarahan berpanjangan bersama lelehan faraj yang berbau, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rundingan doktor.
Dalam tempoh berpantang, emosi seorang wanita amat sensitif dan perlu dijaga. Disebabkan itu, anda perlu berada dalam suasana yang tenang, positif serta mendapat sokongan penuh daripada individu sekeliling, khususnya suami.
Bila boleh hamil semula?
Kembali melakukan hubungan intim dan mencuba untuk hamil semula adalah 1 topik yang sensitif, sama ada dari segi perubatan dan emosi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan tempoh 6 bulan sebelum mencuba hamil kembali.
Walau bagaimanapun, melakukan hubungan intim dalam tempoh yang segera selepas keguguran tidak akan memberikan kesan negatif kepada kehamilan pada masa hadapan. Malahan ia dikatakan akan meningkatkan peratusan untuk segera hamil.
Sekiranya anda ingin kembali hamil, waktu paling selamat untuk mencuba adalah selepas 3 kali kitaran haid. Ia adalah untuk memastikan rahim anda benar-benar sembuh dan bersedia untuk kehamilan baru.
Pastikan diri bersedia
Jika anda masih keliru, perkara paling penting adalah untuk memastikan diri anda bersedia fizikal dan mental. Melakukan hubungan intim selepas keguguran atau bersalin adalah 1 perkara yang sama.
Ini kerana kedua-dua situasi itu memerlukan anda bersedia untuk segala kemungkinan. Pastikan anda tidak berada dalam keadaan tertekan.
Lakukan hubungan seksual bersama pasangan apabila anda benar-benar menginginkannya bukan kerana anda mahu memenuhi keinginan pasangan semata-mata.
Manakala sebagai suami pula, jika isteri anda baru keguguran, fahamilah keadaan isteri anda yang sedang sakit dan bersedih. Janganlah memikirkan kehendak nafsu anda semata-mata.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
- Ibu Hamil Ada Fibroid? Ini Rawatan Yang Akan Dilakukan, Bagi Elak Keguguran!
- Benarkah Bekerja Pada Waktu Malam Boleh Jadi Punca Keguguran Janin? Ini Kata Kajian!
- Ini Sebabnya Kenapa Perlu Cuci Rahim Selepas Gugur, Ibu Lepas Keguguran Kena Tahu!
- BERHENTI Percaya Nanas Punca Keguguran! Ini 3 Kebaikannya Buat Kehamilan Yang Anda Tak Tahu
- Fizikal & Emosi Terjejas Lepas Keguguran, Suami Pula Ajak ‘Bersama’ – Apa Patut Dibuat?