Kehamilan berisiko tinggi dialami ibu mengandung mungkin berpunca daripada masalah kesihatan yang dihidapi sebelum, semasa atau selepas melahirkan anak.
Ini yang perlu anda ketahui mengenai keadaan kehamilan ini jika merancang untuk hamil.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu kehamilan berisiko tinggi?
Kehamilan berisiko tinggi adalah kehamilan yang mempunyai kemungkinan tinggi untuk berlaku komplikasi kepada kandungan dan juga ibu.
Komplikasi itu boleh berlaku bukan sahaja dalam masa kehamilan, tetapi juga tempoh selepas dan sebelum itu.
Adakalanya, punca yang mendasari masalah kehamilan berisiko ini adalah kesan daripada keadaan perubatan sedia ada sebelum anda hamil.
Dalam sesetengah kes lain, masalah kesihatan itu muncul semasa mengandung sama ada kepada anda mahupun bayi dalam kandungan menyebabkan kehamilan menjadi berisiko tinggi.
9 masalah kesihatan punca kehamilan berisiko tinggi
Di bawah ada dikongsikan senarai keadaan menunjukkan masalah paling umum yang boleh menyebabkan kehamilan berisiko tinggi terjadi.
Pun begitu, harus diingatkan tidak semua wanita dengan keadaan berikut mengalami risiko semasa hamil.
- Mengandung pada lewat usia
Risiko untuk mengalami keadaan kehamilan ini lebih tinggi bagi ibu yang berusia lebih daripada 35 tahun.
- Pilihan gaya hidup
Tabiat merokok, pengambilan minuman beralkohol dan penggunaan ubat haram cenderung membahayakan kandungan.
- Diabetes
Sekiranya seorang wanita itu menghidap diabetes sebelum hamil, mereka akan dirujuk kepada pakar perubatan ibu-janin (maternal-fetal medicine specialist).
Ia bertujuan untuk memantau keadaan dan menentukan ubat yang bersesuaian.
- Preeklampsia
Merupakan keadaan kesihatan yang khusus untuk kehamilan.
Ia merupakan keadaan di mana ibu mengandung mempunyai tekanan darah tinggi bersama kandungan protein dalam air kencing dan edema (pembengkakan kulit).
Bagi sesetengah wanita dengan preeklampsia, wujud kelainan pada hati atau platelet.
- Hipertensi
Jika seorang wanita itu mengalami hipertensi sebelum kehamilan, pakar perubatan ibu-janin akan memantau tumbesaran bayi dan mungkin akan berunding seandainya timbul masalah.
- Kehamilan berganda
Mengandung kembar atau lebih daripada itu akan meningkatkan komplikasi kehamilan berisiko tinggi yang lebih besar.
Wanita dengan kehamilan berganda lebih cenderung mengalami preeklampsia atau kelahiran pramatang.
- Penyakit kelamin (STD)
Secara amnya, pakar obstetrik dapat merawat penyakit kelamin yang mungkin berlaku semasa kehamilan atau jika terdapat STD sedia ada seperti herpes.
Dalam kes-kes tertentu, rundingan dengan pakar perubatan ibu-janin mungkin akan diperlukan.
- Obesiti
Wanita dengan masalah kesihatan obesiti mempunyai risiko besar menghidapi diabetes, darah tinggi dan preeklampsia semasa kehamilan.
- Komplikasi kehamilan
Pelbagai komplikasi yang timbul semasa berbadan dua boleh menimbulkan isu kehamilan yang berisiko.
Contohnya seperti kedudukan plasenta yang tidak normal, tumbesaran janin terbantut (fetal growth restriction) dan kepekaan rhesus (Rh).
Kepekaan Rh adalah keadaan serius yang berpotensi berlaku apabila kumpulan darah ibu mengandung adalah Rh negatif dan kumpulan darah bayi ialah Rh positif.
Adakah semua kehamilan mendatang turut berisiko tinggi?
Mengalami 1 kehamilan yang berisiko tinggi tidak bermaksud semua kandungan mendatang juga dianggap berisiko.
Seorang ibu hamil mungkin mengalami komplikasi janin dalam 1 kehamilan yang tidak terjadi pada kehamilan lain, serta masalah kesihatan tertentu yang berubah dari masa ke masa.
Perhatian!
Sentiasa berjaga-jaga
Ini boleh membantu untuk mengetahui bagaimana keadaan kesihatan anda mungkin mempengaruhi kelahiran dan proses bersalin.
Lakukan pemeriksaan dengan segera jika anda mengalami situasi seperti:
- Pendarahan faraj atau keputihan berair
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit atau kekejangan di bahagian bawah perut
- Aktiviti janin menurun
- Sakit atau sensasi terbakar semasa membuang air kecil
- Perubahan penglihatan, termasuk penglihatan kabur
- Pembengkakan secara tiba-tiba atau teruk di muka, tangan atau jari
- Demam atau menggigil
- Muntah atau loya berterusan
- Pening
- Pemikiran membahayakan diri sendiri atau bayi anda
[embed-health-tool-due-date]