Proses bersalin adalah satu pengalaman penuh emosi dan mencabar bagi kebanyakan wanita. Setiap orang mempunyai panduan dan cara melahirkan anak yang berbeza-beza.
Oleh itu, boleh dikatakan setiap wanita mempunyai pengalaman bersalin yang unik, sama ada melalui kelahiran normal atau pembedahan caesarean.
Proses bersalin bermula apabila tubuh wanita bersedia untuk membawa bayi ke dunia. Terdapat beberapa tahap dalam proses bersalin iaitu kontraksi, pembukaan serviks dan akhirnya kelahiran cahaya mata.
Bagaimanapun, benarkah proses bersalin akan menjadi semakin mudah apabila ibu melahirkan anak kedua, ketiga dan seterusnya?
Dalam artikel kali ini, kami akan berikan penjelasan mengapa perkara tersebut mungkin benar bagi sesetengah ibu.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Benarkah cara melahirkan anak jadi mudah pada kelahiran kedua?
Bagi sesetengah wanita, mereka mungkin merasakan masa ketika melahirkan anak semakin pendek apabila melahirkan anak kedua dan seterusnya. Bagaimanapun, ia bergantung kepada fasa bersalin.
Fasa pertama adalah paling lama. Ia bermula ketika ibu mengalami simptom bersalin sehingga bukaan mencecah 6 sentimeter.
Selalunya, fasa ini akan berlarutan selama 12 hingga 19 jam untuk ibu yang baru pertama kali bersalin dan ibu yang pernah bersalin.
Bagaimanapun, pada fasa kedua bersalin, ibu yang pernah melahirkan anak selalunya akan melaluinya dalam tempoh masa yang lebih pendek.
Fasa kedua kelahiran ini turut dikenali sebagai fasa aktif.
Ibu baharu selalunya perlu meneran selama 60 hingga 90 minit tanpa epidural. Namun, bagi wanita yang pernah melahirkan anak, mereka mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 minit sahaja.
Mungkin pengalaman pada kelahiran sebelum membuatkan ibu yang pernah bersalin lebih arif mengenai cara melahirkan anak yang betul.
Malah, kajian mendapati, wanita berusia 30 hingga 40 tahun yang pernah melahirkan anak juga mempunyai masa kelahiran terpantas berbanding wanita lain.
Bagaimanapun, setiap kelahiran adalah berbeza. Kadangkala, bayi pertama mungkin bersaiz lebih besar berbanding bayi kedua.
Faktor ini juga boleh mempengaruhi kaedah kelahiran dan masa untuk melahirkan anak.
Tanda-tanda ibu bakal bersalin
- Kontraksi yang kerap dan konsisten
- Pecah air ketuban
- Sakit punggung yang berterusan
- Keluar lendir berdarah
- Serviks mula membuka dan menipis
- Pergerakan bayi berkurangan
- Alami cirit-birit atau kerap membuang air kecil
- Kejang di bahagian bawah perut
Cara melahirkan anak, normal atau caesarean?
Cara melahirkan anak biasanya berbeza mengikut keadaan ibu dan bayi.
Sudah tentulah, kaedah bersalin secara normal atau semula jadi adalah pilihan utama bagi kebanyakan ibu.
Proses bersalin terdiri daripada tiga tahap: tahap awal di mana kontraksi bermula, tahap aktif ketika serviks mencapai bukaan penuh dan tahap ketiga iaitu kelahiran bayi serta pengeluaran uri.
Ibu boleh memilih untuk melahirkan tanpa bantuan ubat atau dengan epidural untuk mengurangkan kesakitan.
Pada waktu ini, sokongan daripada suami, jururawat dan doktor amat penting agar ibu tenang dan bersedia untuk melahirkan anak.
Selain itu, terdapat juga kaedah kelahiran melalui pembedahan caesarean.
Pembedahan biasanya dilakukan apabila terdapat risiko tertentu, seperti kedudukan bayi yang tidak normal, komplikasi kesihatan pada ibu atau bayi atau dalam kes-kes kecemasan.
Pembedahan tersebut melibatkan pemotongan di bahagian perut dan rahim untuk mengeluarkan bayi dengan selamat.
Namun, proses pemulihan selepas caesarean mungkin memerlukan lebih masa berbanding bersalin secara normal.
Kedua-dua kaedah ini mempunyai kelebihan dan cabarannya sendiri.
Oleh itu, ibu dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor bagi memilih cara melahirkan yang paling sesuai dan selamat bagi situasi kelahiran yang sedang dialami.
Panduan melahirkan anak bagi ibu baharu
Melahirkan anak adalah pengalaman yang mencabar. Bagaimanapun, terdapat beberapa tip yang dapat membantu ibu melalui proses ini dengan lebih mudah.
Pertama, persiapan mental dan fizikal adalah sangat penting. Ibu digalakkan untuk belajar eknik pernafasan yang betul untuk mengurangkan rasa cemas semasa proses bersalin.
Selain itu, ibu juga boleh lakukan senaman ringan seperti berjalan atau regangan untuk membantu memudahkan proses bersalin.
Dalam pada itu, pastikan ibu tahu apakah cara melahirkan anak serta tanda-tanda awal bersalin supaya dapat melakukan persediaan awal.
Sokongan dari suami atau ahli keluarga juga dapat membantu ibu merasa lebih tenang dan bersedia menghadapi setiap fasa kelahiran.
Dengan sokongan daripada orang sekeliling, ibu dapat menghadapi proses melahirkan anak dengan lebih tenang dan yakin.
[embed-health-tool-ovulation]