Bayangkan seorang pelajar yang setiap hari datang ke sekolah dengan perasaan resah, takut untuk berjumpa rakan sebaya kerana bimbang akan menjadi mangsa buli. Isu buli memang semakin nyata di sekolah di seluruh Malaysia, tidak kira sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Sebagai ibu bapa, guru, ataupun anggota masyarakat, memahami punca, jenis, kesan serta langkah mencegah buli adalah kunci untuk melindungi generasi muda dari krisis emosi dan sosial yang berpanjangan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.
Apa itu buli?
Buli ialah perbuatan agresif yang dilakukan berulang kali dari seseorang atau sekumpulan pelajar terhadap mereka yang dianggap lemah. Buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk:
- Buli verbal: Ejekan, penghinaan, ugutan lisan
- Buli fizikal: Memukul, menolak, menendang
- Buli sosial: Mengecualikan seseorang dari kumpulan, menyebarkan khabar angin
- Buli siber: Menghina atau mengugut melalui media sosial, aplikasi chat atau permainan dalam talian
Jenis jenis buli di sekolah
Di Malaysia, empat bentuk buli paling lazim ialah fizikal, verbal, sosial, siber.
- Fizikal: Memukul, menendang, menolak sering berlaku di kawasan blind spot seperti tandas atau koridor
- Verbal: Ejekan, panggilan nama hodoh, ugutan secara terbuka di depan rakan-rakan atau secara privasi
- Sosial: Blacklist dalam kumpulan WhatsApp, mengecualikan dari aktiviti kelas
- Siber:Sokongan teknologi membolehkan buli berlaku 24 jam seperti penyebaran gambar tidak senonoh, kata-kata kesat, hingga membawa kepada mesej berantai untuk memalukan
Kesan buli di sekolah terhadap pelajar

Kesan emosi dan psikologi
Mangsa buli lazimnya mengalami tekanan emosi yang ketara termasuklah rasa sedih yang berlarutan, kebimbangan melampau dan rendah diri luar biasa.
Dalam satu kajian di sekolah menengah Batu Pahat, hampir separuh daripada pelajar yang pernah dibuli menzahirkan gejala kemurungan atau keresahan walaupun beberapa bulan selepas insiden berlaku. Tidak cukup dengan itu, mereka mungkin:
- Rasa cemas sebelum ke sekolah
- Mengasingkan diri daripada rakan-rakan
- Mudah menangis atau memberontak di rumah
Kesan akademik
Buli jelas menjejaskan prestasi pelajar di sekolah. Ramai pelajar yang jadi mangsa buli sukar menumpukan perhatian, kerap ponteng kelas, hingga menyebabkan pencapaian akademik mereka merosot.
Untuk itu, sekolah perlu mengambil tindakan tegas dan bukan hanya menasihati. Di dalam sekolah perlu melaksanakan polisi antibuli dan sokongan emosi kepada mangsa. Barulah persekitaran pembelajaran yang selamat dapat diwujudkan bagi semua pelajar.

Langkah-langkah untuk mengatasi buli di sekolah
Peranan guru dan kakitangan sekolah
Guru dan kakitangan sekolah adalah barisan pertama dalam memerangi buli. Mereka harus:
- Mendapat latihan khas untuk mengenal pasti tanda-tanda buli
- Cepat bertindak apabila ada laporan, tanpa prejudis
- Menggalakkan suasana kelas yang terbuka, selamat dan menyokong
Guru digesa sentiasa memantau kawasan berisiko tinggi seperti tandas dan kantin. Komunikasi yang berkesan dengan pelajar amat penting untuk membina kepercayaan, agar mereka berani berkongsi masalah tanpa rasa takut.
Kerjasama dengan ibu bapa dan komuniti

Ibu bapa perlu diberikan pendidikan agar tahu tanda-tanda awal buli contohnya anak sering mengadu sakit perut pagi Isnin, atau kelihatan sedih selepas pulang sekolah.
Pihak sekolah boleh menganjurkan seminar atau kempen antibuli bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak polis komuniti.