Tular satu isu baru-baru ini apabila ada pihak mengatakan bahawa penggunaan jarum epidural semasa bersalin adalah cheat code. Jom ketahui kelebihan dan komplikasi yang boleh dialami jika memilih untuk menggunakan suntikan epidural ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Jarum epidural untuk apa?
Proses kelahiran bayi merupakan antara pengalaman paling menyakitkan yang perlu dilalui oleh ibu hamil. Seiring kemajuan teknologi, kini terdapat banyak pilihan yang boleh membantu mengatasi kesakitan itu. Salah satunya dengan penggunaan suntikan epidural.
Dianggarkan lebih 70-75 peratus wanita yang melahirkan anak memilih menggunakan epidural untuk melegakan kesakitan semasa bersalin.
Tetapi jarum epidural untuk apa sebenarnya ya?
Umumnya, epidural adalah prosedur melibatkan suntikan ubat – sama ada anestetik atau steroid – ke dalam ruang sekeliling saraf tulang belakang yang dikenali sebagai ruang epidural (epidural space).
Suntikan epidural untuk bersalin normal ini bermatlamat untuk memberikan kelegaan daripada kesakitan atau kebas sepenuhnya pada satu bahagian badan, seperti kaki atau perut.
Proses suntikan jarum epidural
Epidural biasanya dilakukan di dalam bilik bersalin. Ia bukanlah satu proses yang menyakitkan. Namun anda mungkin akan berasa tidak selesa kerana kulit terasa kebas sebelum blok epidural dimasukkan.

Memulakan prosedur ini, jarum bius epidural digunakan untuk memasukkan tiub plastik halus – disebut kateter epidural – ke tulang belakang anda, berhampiran saraf. Ia akan membolehkan aliran ubat secara perlahan-lahan masuk ke bahagian bawah badan.
Suntikan anestetik epidural akan menghentikan penghantaran isyarat sakit daripada bergerak dari tulang belakang ke otak anda. Tetapi bagaimana caranya?
Saraf tunjang berfungsi menghubungkan saraf di seluruh badan ke otak. Jadi apabila anda berasa sakit semasa melahirkan bayi, anestetik epidural akan menghalang isyarat sakit tersebut daripada sampai ke otak.
Jumlah kesakitan yang tidak akan dirasai adalah bergantung kepada faktor ini:
- Jenis ubat anestetik yang digunakan
- Kepekatan ubat bius
- Dos ubat bius digunakan
Selain banyak diaplikasikan semasa bersalin, jarum bius epidural juga menjadi pilihan digunakan untuk pembedahan tertentu dan punca khusus sakit belakang kronik.
[embed-health-tool-due-date]
Tempoh kesan cucuk epidural bertindak balas
Biasanya, tindak balas epidural ini akan mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum ubat mula memberi kesan – bergantung pada jenis anestetik yang digunakan.
Perkara penting yang perlu bakal ibu fahami adalah kesan cucuk epidural ini akan bertahan selama anda berada di dalam bilik bersalin. Ini bermakna, ubat akan dimasukkan secara berterusan sehingga tiba waktu melahirkan anak.

Kelebihan memilih jarum epidural
Antara kelebihan memilih untuk menggunakan suntikan epidural semasa bersalin termasuklah:
- Kesan cucuk epidural ini dapat mengurangkan kesakitan yang dirasai semasa bersalin
- Selamat untuk digunakan
- Boleh mendapatkan epidural pada bila-bila masa semasa bersalin
- Anda masih boleh bergerak di atas katil dan meneran apabila perlu
- Jika berdepan situasi tempoh bersalin yang lama, epidural membantu anda tidur dan memulihkan tenaga
- Sekiranya perlu menjalani kelahiran caesarean, anda boleh berjaga semasa proses tersebut. Malah pasangan anda juga boleh menemani
- Epidural juga membantu menurunkan tahap hormon tekanan. Ini membantu menurunkan kadar tekanan darah dan kadar denyutan jantung – biasanya akan meningkat kerana kesakitan semasa bersalin
Satu lagi kebaikan mendapatkan suntikan jarum bius epidural adalah bahagian bawah badan anda telah sedia kebas. Jadi ia amat membantu jika doktor perlu melakukan pembedahan kecemasan C-Sec tanpa menunggu ubat bertindak balas.
Pembedahan kecemasan C-Sec akan dilakukan jika bayi kekurangan oksigen. Keadaan tersebut boleh mengakibatkan kerosakan otak, cerebral palsy atau kecederaan kelahiran yang lain.

Risiko jika memilih jarum epidural?
Epidural biasanya selamat, tetapi terdapat risiko kesan sampingan dan komplikasi tertentu. Antara kesan cucuk epidural seperti:
- Kehilangan deria rasa pada kaki selama beberapa jam
- Mungkin melambatkan tahap kedua bersalin
- Anda mungkin tidak dapat meneran dan perlukan bantuan untuk melahirkan anak. Doktor mungkin perlu menggunakan forsep atau vakum
Selain itu, kesan lain yang boleh terjadi termasuklah:
- Tekanan darah rendah, yang boleh membuatkan anda berasa pening
- Sakit kepala yang teruk disebabkan kebocoran cecair tulang belakang
- Jangkitan daripada prosedur epidural, seperti abses epidural, osteomyelitis atau meningitis
- Tindak balas negatif terhadap ubat-ubatan seperti ruam atau panas badan (hot flashes)
- Pendarahan jika saluran darah rosak secara tidak sengaja semasa suntikan epidural. Ia boleh mengakibatkan hematoma atau pembentukan darah beku
- Kerosakan saraf pada tapak suntikan, antara risiko kesan epidural jangka masa panjang
- Hilang kawalan sementara pada pundi kencing dan usus. Anda mungkin memerlukan kateter (tiub kecil) dalam pundi kencing untuk membantu membuang air kecil