Kenapa telinga berdengung atau telinga rasa bergema ketika menaiki lif atau pesawat?
Bukan itu sahaja, tetapi juga ketika sebarang peralihan diri anda dari tempat yang rendah ke tempat yang lebih tinggi. Mengapa hal ini terjadi?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkannya di sini.
Barotrauma, punca telinga berdengung
Barotrauma adalah satu keadaan yang menyebabkan ketidakselesaan pada telinga disebabkan perubahan tekanan.
Dalam setiap telinga, terdapat tiub yang menghubungkan bahagian tengah telinga anda dengan tekak dan hidung.
Ia juga membantu mengawal tekanan telinga. Tiub ini dipanggil tiub eustachian. Apabila tiub ini tersumbat, anda mungkin mengalami barotrauma telinga.
Barotrauma telinga berdesing yang berlaku sekali-sekala adalah perkara biasa. Ia kerap berlaku di persekitaran yang mengalami perubahan altitud.
Walaupun keadaan ini tidak berbahaya bagi sesetengah individu, tapi ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi jika kerap berlaku.
Simptom barotrauma telinga berdengung
Sekiranya anda mengalami telinga berdesing, anda mungkin akan mengalami tekanan yang tidak selesa dalam telinga anda. Gejala biasa yang kerap berlaku termasuklah:
- Pening
- Rasa tidak selesa pada telinga
- Kurang pendengaran atau sukar mendengar
- Telinga rasa tersumbat
Sekiranya ia terjadi dalam tempoh yang lama tanpa rawatan, gejala yang berlaku mungkin akan semakin bertambah. Gejala tambahan yang mungkin berlaku dalam kes ini termasuklah:
- Rasa sakit pada telinga
- Wujud tekanan pada telinga, seolah-olah anda berada di bawah air
- Hidung berdarah
- Kehilangan pendengaran sederhana atau teruk
- Kecederaan pada gegendang telinga
Kesemua gejala ini akan hilang setelah ia dirawat. Kehilangan pendengaran akibat daripada barotrauma telinga hanya bersifat sementara dan boleh dikembalikan.
Punca telinga berdesing yang anda mesti tahu
Penyumbatan tiub Eustachian adalah salah satu penyebab berlakunya masalah telinga berdengung ini.
Tiub eustachian membantu mengembalikan keseimbangan semasa perubahan tekanan. Contohnya, dengan menguap biasanya akan membuka tiub eustachian.
Apabila tiub ini tersumbat, gejala mula timbul kerana tekanan dalam telinga berbeza daripada tekanan di luar gegendang telinga anda.
Perubahan ketinggian adalah penyebab paling umum keadaan ini. Salah satu waktu di mana ramai individu mengalami telinga bergema adalah semasa pendakian atau penurunan pesawat.
Selain itu, ia juga boleh berlaku ketika anda sedang memandu di kawasan berbukit atau kawasan pergunungan.
Faktor risiko barotrauma
Segala punca yang boleh menyekat tiub eustachian akan merisikokan anda untuk mengalami barotrauma.
Individu yang mempunyai alahan, selesema, atau jangkitan aktif mungkin lebih cenderung untuk mengalami barotrauma telinga.
Bayi dan kanak-kanak juga berisiko mengalami keadaan ini. Tiub eustachian kanak-kanak lebih kecil dan kedudukannya berbeza daripada orang dewasa dan mungkin tersekat dengan lebih mudah.
Ketika bayi dan kanak-kanak menangis di atas kapal terbang semasa berlepas atau mendarat, ia mungkin disebabkan oleh barotrauma yang sedang mereka alami.
Diagnosis untuk barotrauma
Walaupun barotrauma telinga berdesing boleh hilang dengan sendirinya, namun anda perlu berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami gejala lain seperti kesakitan dan pendarahan pada telinga.
Pemeriksaan perubatan mungkin diperlukan untuk mengesan kemungkinan jangkitan pada telinga.
Barotrauma telinga dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan dalam telinga dengan menggunakan otoskop sering kali menunjukkan perubahan pada gegendang telinga.
Oleh sebab perubahan tekanan, gegendang telinga anda mungkin ditolak sedikit ke bahagian luar atau dalam daripada kedudukan normalnya.
Doktor juga mungkin akan memasukkan udara ke dalam telinga anda untuk melihat sekiranya terdapat sebarang cairan atau darah di belakang gegendang telinga.
Telan air liur petua hilangkan telinga berdengung?
Biasanya, kes-kes telinga berdesing ini akan kembali normal tanpa sebarang rawatan perubatan. Ini kerana ia berlaku dalam keadaan sementara sahaja.
Bagi mengurangkan kesan perubahan tekanan udara dalam telinga, anda sememangnya boleh mencuba menelan air liur untuk membuka kembali tiub telinga yang tersumbat.
Ia sememangnya berkesan.
Tip
Kesimpulannya, ia mungkin biasa atau bahaya!
Keadaan ini adalah perkara yang biasa berlaku dan bergantung kepada berapa lama telinga berdengung sembuh.
Ia mungkin boleh berlaku dalam tempoh yang pendek dan bersifat sementara.
Namun, jika telinga anda mengalami kesakitan, apatah lagi pendarahan akibat perubahan tekanan dalam telinga, segera berjumpa dengan doktor.
Ini bagi memeriksa sebarang kemungkinan lain yang boleh berlaku terhadap telinga anda.