Ku Sangka Pekak, Rupanya Telinga Telah Tersumbat! Apa Perlu Buat Jika Alami?

    Ku Sangka Pekak, Rupanya Telinga Telah Tersumbat! Apa Perlu Buat Jika Alami?

    Pernahkah kalian mengalami kondisi di mana termasuk hilang atau kurang pendengaran yang diakibatkan oleh telinga tersumbat?

    Sebenarnya anda semua tidak perlu risau kerana ia bukan bermakna anda pekak, cuma telinga tersumbat tahi telinga terlalu banyak!

    Untuk mengetahui apa yang perlu dibuat jika alami kondisi ini, jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila klik di sini.

    Apa maksud sebenar masalah telinga ini?

    Kondisi ini merupakan satu keadaan kesihatan di mana struktur dalam telinga tersangkut lalu menjejaskan sistem pendengaran.

    Apabila ia berlaku, penderita akan rasa seperti berada di dalam air kerana tidak mampu untuk mendengar sebarang bunyian daripada luar.

    Ia boleh terjadi kepada sebelah atau kedua belah telinga sekali gus lantas membuat anda terfikir bahawa telinga sudah menjadi pekak.

    Keadaan akan menjadi bertambah teruk apabila anda menaiki kenderaan kerana akan berasa seakan kepala mahu pecah akibat pening yang melampau.

    Kondisi ini kebiasaannya disebabkan penyumbatan akibat tahi telinga yang keras dan banyak di dalam telinga anda.

    telinga tersumbat

    Benarkah perkara ini? Atau wujudkah sebarang punca yang lain?

    Apa punca telinga tersumbat?

    Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa punca keadaan kesihatan ini terjadi pada rongga telinga anda termasuklah:

    #1. Tahi telinga mengeras lalu terjejas

    Punca paling utama dan biasa terjadi adalah telinga tersumbat tahi telinga akibat mukus pada rongga ini yang mengeras.

    Sekiranya berlarutan, ia akan menyebabkan kesakitan dan menjejaskan pendengaran lantas mengganggu rutin hidup seharian.

    Ia sering kali disebabkan oleh penggunaan alat korek telinga (q-tip, bobby pins, putik kapas, penghujung napkin bergulung) dengan cara yang salah.

    Selain itu, penggunaan alat bantuan pendengaran earplug dan earphone juga dipercayai mampu mendorong kepada penyumbatan tahi telinga ini.

    telinga tersumbat

    #2. Alahan rhinitis

    Selain itu, keadaan kesihatan ini juga mungkin didalangi oleh masalah alahan rhinitis atau lebih dikenali sebagai selesema.

    Ini kerana masalah ini akan mengakibatkan penghasilan lendir secara berlebihan sekali gus menyumbatkan tiub eustachian.

    Untuk menyelesaikannya, adalah disarankan untuk anda merawat terlebih dahulu penyakit selesema yang dialami tersebut.

    #3. Jangkitan kuman

    Kondisi yang turut dipanggil sebagai ‘otitis media’ ini berpunca daripada jangkitan kuman dan merupakan antara punca yang sangat berbahaya.

    Ia boleh mengakibatkan pekak kekal dan selalu terjadi pada golongan kanak-kanak yang belum pandai menjaga kebersihan telinga.

    Jadi para ibu bapa di luar sana perlu memainkan peranan dengan memastikan kebersihan telinga anak dengan cara yang betul.

    #4. Masalah pada tiub eustachian

    Antara punca kondisi ini yang paling jarang berlaku adalah disebabkan tekanan berbeza di dalam dan luar telinga.

    Ia adalah disebabkan oleh masalah pada tiub eustachian (tiub penghubung hidung dengan telinga) yang telah mengalami sekatan atau sumbatan.

    Ia kemudiannya akan menyebabkan telinga rasa sakit serta pedih berpunca daripada perbezaan tekanan ini dan memerlukan rawatan lanjutan secepatnya.

    Apa saya perlu buat jika alami masalah ini?

    Bergantung kepada punca ia berlaku, cara untuk merawat dan mencegah kondisi ini juga adalah berbeza sama sekali.

    Jika ia adalah disebabkan oleh telinga tersumbat tahi telinga yang mengeras, maka anda perlu mencairkannya kembali.

    telinga tersumbat

    Anda boleh menggunakan bahan-bahan ini atau berjumpa doktor untuk lebih pasti:

    • Minyak mineral
    • Minyak bayi
    • Hidrogen peroksida
    • Carbamide peroksida
    • Gliserin

    Sekiranya anda sendiri belum tahu apa punca sebenar masalah ini terjadi, terdapat beberapa petua orang lama yang mungkin kalian mahu cuba termasuklah:

    • Menelan air liur banyak kali – Terutamanya jika dialami semasa menaiki kenderaan, perbuatan ini mungkin boleh membantu
    • Graviti – Anda boleh cuba berdiri tegak dengan satu kaki dan sengetkan kepala ke arah telinga yang terjejas lalu cuba melompat
    • Wap air panas – Anda boleh cuba menghirup udara bekas air panas untuk mencairkan lendiran yang tersangkut di dalam telinga

    Namun adalah sangat disarankan kalian berjumpa doktor terlebih dahulu untuk diagnosis punca sebenar ia berlaku sebelum memutuskan kaedah rawatan terbaik.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Sumber Rujukan
    1. Plugged ears: What is the remedy?, https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/common-cold/expert-answers/plugged-ears/faq-20058092, Accessed May 20 2021.
    2. Blocked Eustachian Tubes, https://www.uofmhealth.org/health-library/uf9680, Accessed May 20 2021.
    3. How to unclog stuffy ears, https://www.piedmont.org/living-better/how-to-unclog-stuffy-ear, Accessed May 20 2021.
    4. Removing Earwax And Tips For Clearing Blocked Ears, https://envirocare.org/removing-earwax-tips-for-clearing-blocked-ears/, Accessed May 20 2021.
    5. Ear – Congestion, https://www.healthychildren.org/English/tips-tools/symptom-checker/Pages/symptomviewer.aspx?symptom=Ear+-+Congestion, Accessed May 20 2021.
    Gambar penulisbadge
    Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 11/10/2022
    Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman