backup og meta

Apa Itu Alergi? Kenali Simptom, Diagnosis, Rawatan Dan Cara Pencegahannya

Apa Itu Alergi? Kenali Simptom, Diagnosis, Rawatan Dan Cara Pencegahannya

Tahukah anda, apa itu alergi dan maksud sebenarnya? Maksud alergi atau alahan ialah satu respons sistem imun badan terhadap sesuatu bahan yang selalunya tidak menimbulkan sebarang bahaya.

Bahan asing ini turut dikenali dengan nama alergen. Jika anda mempunyai alahan, sistem imun badan akan menyerang alergen ini dan cuba menyingkirkannya daripada badan anda.

Selalunya, alergen terdiri daripada bahan-bahan seperti debunga, habuk, dan makanan tertentu seperti susu dan kekacang yang tidak berbahaya kepada orang lain.

Apabila anda tersentuh atau terhidu alergen ini, anda akan mula mendapat tindak balas alahan seperti inflamasi pada kawasan kulit atau saluran pernafasan. Anda akan mula alami simptom seperti bersin, hidung berair ataupun gatal-gatal mata.

Kadangkala, pesakit yang alami alahan tertentu pada waktu kanak-kanak tidak akan mempunyai alahan yang sama apabila mereka sudah menginjak dewasa.

Walau bagaimanapun, ada juga pesakit yang terpaksa hidup dan menyesuaikan diri dengan alahan tersebut sepanjang hayat mereka.

Kini, pasti anda sudah memahami apa itu alergi dan maksud alergi. Selepas ini, kita akan kenali pula apa itu alergen dan bagaimana ia mencetuskan reaksi alergi.

Baca lebih lanjut tentang Alahan di sini.

Apa itu alergi atau alahan?

apa itu alergi

Alahan boleh dicetuskan oleh pelbagai jenis alergen. Antara alergen yang lazim ialah:

  • Hama habuk
  • Debunga
  • Racun serangga
  • Bulu atau kulit haiwan peliharaan
  • Makanan seperti susu, kekacang, makanan laut, gluten dan telur
  • Kulat
  • Getah

Walau bagaimanapun, ada juga orang yang mengalami reaksi alahan terhadap bahan yang spesifik seperti daging merah, sinaran matahari, air mani dan juga cecair pencuci pinggan-mangkuk.

Sebab itulah, mereka yang mempunyai alahan perlu membaca label pada pembungkus sebelum menggunakannya.

Kadangkala, ada individu yang mengalami alahan terhadap ubat-ubatan tertentu. 

Oleh sebab itu, penting untuk anda memberitahu doktor jika mempunyai alahan terhadap sebarang ubat-ubatan sebelum menerima apa-apa rawatan.

Bagaimana reaksi alahan berlaku?

Secara amnya, reaksi alahan bermula pada kawasan kulit atau sistem gastrousus pesakit. 

Selalunya, reaksi alahan akan berlaku secara serta-merta sejurus selepas pesakit tersentuh atau terhidu sebarang alergen. Namun, ada juga yang mula menunjukkan simptom selepas beberapa hari.

Tetapi, bagaimanakah ia berlaku? Untuk pengetahuan anda, alahan boleh terjadi jika:

  1. Anda terhidu alergen tersebut.
  2. Anda terima sebarang suntikan.
  3. Anda tersentuh alergen tersebut.

Simptom lazim reaksi alahan

apa itu alergi

Reaksi alahan selalunya akan berlaku dalam masa beberapa minit selepas sentuhan. Antara simptom lazim alahan adalah:

  1. Bersin.
  2. Hidung berair atau tersumbat.
  3. Mata yang gatal-gatal, merah atau berair.
  4. Selalu batuk-batuk.
  5. Ruam yang merah dan gatal.
  6. Simptom asma atau ekzema yang semakin teruk.

Kebanyakan simptom alahan bersifat sederhana. Walau bagaimanapun, ada beberapa jenis alahan yang boleh mencetuskan tindak balas alergi yang serius. Tindak balas ini turut dikenali dengan nama anafilaksis.

Anafilaksis merupakan satu kecemasan yang boleh membawa maut. Mereka yang mengalami anafilaksis selalunya akan mengalami simptom seperti:

  1. Pengsan.
  2. Tekanan darah menurun.
  3. Sesak nafas.
  4. Naik ruam pada kulit.
  5. Rasa hendak pitam.
  6. Denyutan nadi yang lemah.
  7. Loya dan muntah-muntah.

Pesakit yang mengalami anafilaksis memerlukan perhatian pakar secepat mungkin. Oleh sebab itu, jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami anafilaksis, anda perlulah menelefon 999 secepat mungkin. 

[embed-health-tool-heart-rate]

Diagnosis alahan

Ketika melakukan diagnosis, doktor akan menyemak semula rekod kesihatan pesakit dan keluarga terdekat. 

Doktor juga mungkin akan melakukan ujian fizikal untuk meneliti simptom yang pesakit alami.

Lazimnya, doktor akan melakukan skin prick test dan patch test untuk pesakit yang mempunyai alahan. Ujian ini boleh digunakan untuk mengenal pasti sebanyak 50 jenis alahan sekali gus.

Jika ujian kulit tidak dapat dilakukan, doktor akan melakukan ujian darah untuk mengenal pasti alergen yang menyebabkan simptom yang anda alami.

Untuk pesakit yang mempunyai alahan makanan pula, anda mungkin perlu melakukan elimination diet

Anda akan dinasihatkan untuk mengelak daripada mengambil makanan tertentu bagi melihat sama ada simptom anda hilang atau tidak.

Kemudian, anda mungkin akan diminta untuk makan kembali makanan tersebut dan melihat sama ada simptom muncul semula. Langkah ini penting untuk memastikan makanan tersebut benar-benar punca alahan anda.

Walau bagaimanapun, elimination diet hanya boleh dilakukan di bawah pemantauan doktor. Jangan sesekali lakukannya secara bersendirian. 

Rawatan untuk reaksi alahan

apa itu alahan

Rawatan alergi mungkin bergantung kepada jenis alahan yang pesakit alami. Walau bagaimanapun, ada 4 strategi lazim untuk menangani alergi. Strategi tersebut adalah:

  • Mengelakkan alergen. Pesakit perlu melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup dan diet harian dengan bantuan doktor untuk mengelakkan alergen dalam kehidupan seharian
  • Pengambilan ubat-ubatan. Setelah diagnosis, doktor akan memberikan ubat-ubatan yang sesuai dengan kondisi anda. Contohnya, antihistamin untuk melegakan alahan yang anda alami
  • Immunotherapy. Rawatan ini adalah untuk pesakit yang mempunyai simptom yang teruk. Pesakit yang mempunyai alahan akan didedahkan dengan alergen sedikit demi sedikit hinggalah pesakit dapat membentuk imuniti terhadap alergen tersebut
  • Rawatan first aid. Ketika kecemasan, ubat seperti epinephrine boleh digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami reaksi alahan

Langkah mencegah reaksi alahan

Malangnya, tidak ada cara yang 100% berkesan untuk mengelakkan reaksi alahan.

Walau bagaimanapun, amalan seperti membersihkan rumah secara berkala, menggunakan bahan tertentu untuk mengelakkan alergen dan mengelakkan diri daripada mendekati alergen dapat membantu mengurangkan risiko alahan pada masa akan datang.

Sama jugalah, gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit alahan.

Jika anda tidak pasti makanan apa yang boleh menyebabkan anda mengalami alahan, anda boleh cuba menyimpan diari makanan. Tuliskan apa yang anda makan setiap hari dan bila simptom mulai muncul.

Diari ini dapat membantu doktor mengenal pasti makanan apakah yang boleh mencetuskan alahan anda.

Selain itu, untuk pesakit yang lebih serius, anda mungkin perlu memakai gelang yang menunjukkan anda mempunyai alahan yang teruk terhadap sesuatu bahan.

Dengan cara ini, orang lain dapat mengambil tindakan yang sepatutnya jika anda tidak dapat berkomunikasi ketika mengalami serangan alahan.

Jangan lupa bawa suntikan auto-injectors ketika keluar rumah. 

Beritahu ahli keluarga dan teman yang rapat tentang suntikan tersebut dan cara untuk menggunakannya. Ini mungkin membantu ketika kecemasan.

Bila anda perlu berjumpa doktor?

apa itu alergi

Anda perlu berjumpa doktor jika mengesyaki diri anda mengalami simptom yang disebabkan oleh reaksi alahan. Selain itu, anda juga perlu lakukan perkara yang sama ketika ubat-ubatan over-the-counter tidak berkesan.

Untuk reaksi alahan yang teruk pula (anafilaksis), anda perlu menelefon 999 untuk bantuan kecemasan. Jika anda atau pesakit membawa suntikan epiephrine, pastikan anda memberikan suntikan tersebut secepat mungkin.

Namun, ingat ya, walaupun simptom sudah reda, anda masih perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

Kadangkala, simptom yang anda alami berkurang disebabkan suntikan epinephrine. Ia mungkin akan berulang setelah kesannya hilang.

Kesimpulan

Kami berharap, artikel ini dapat menyimpulkan apa itu alergi serta maksud alergi dengan cara yang mudah difahami.

Secara amnya, alahan merupakan satu kondisi yang mencetuskan tidak balas sistem imun terhadap bahan tertentu. Bukan semua alahan menyebabkan simptom yang ringan atau sederhana.

Ada juga alahan yang memerlukan bantuan kecemasan seperti anafilaksis yang boleh meragut nyawa jika bantuan tidak diterima.

Cara yang terbaik untuk merawat alahan adalah dengan mengelakkannya. Selain itu, pesakit juga perlu konsisten mengambil ubat-ubatan tertentu untuk merawat alahan yang dialami.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. AAAAI. n.d. Allergies. Accessed February 19, 2021. https://www.aaaai.org/conditions-and-treatments/allergies.
  2. Cleaveland Clinic. 2020. Allergy Overview. November 30. Accessed February 19, 2021. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/8610-allergy-overview.
  3. Mayo Clinic. 2020. Allergies. August 4. Accessed February 19, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/allergies/symptoms-causes/syc-20351497.
  4. NHS. 2018. Diagnosis. November 22. Accessed February 19, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/allergies/diagnosis/.

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Pening Kepala Kalau Bau Perfume Kuat Sangat? Mungkin Anda Ada Alahan Minyak Wangi

7 Barang Di Rumah Yang Boleh Jadi Punca Alahan! Jaga-Jaga, Kondom Turut Tersenarai!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan