Menurut Dr. Myers daripada Cleaveland Clinic, semua orang berisiko untuk mengalami gatal kulit akibat stres. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja terutamanya wanita yang berada dalam lingkungan usia 30 hingga 50 tahun.
Ruam gatal mungkin akan datang dan pergi

Individu yang mengalami kondisi ini pasti pernah melalui perkara yang sama sebelum ini. Selalunya, ruam gatal akan datang dan pergi tanpa amaran.
Ia juga boleh berlaku secara tiba-tiba dan kemudiannya hilang selama berminggu-minggu sebelum kembali menyerang.
Ruam gatal boleh diubati dengan antihistamin yang boleh didapati secara over-the-counter di farmasi berdekatan. Setelah makan ubat, ruam tersebut selalunya akan hilang dalam masa sehari dua.
Jika boleh, elakkan menggaru kawasan yang gatal. Aktiviti menggaru akan melepaskan sejenis bahan kimia iaitu histamin yang akan menyebabkan kegatalan.
Semakin banyak anda garu, semakin teruklah ruam anda nanti. Sama seperti jerawat, elakkan daripada memicitnya supaya muka anda tidak akan dipenuhi dengan jerawat nanti!
Kegatalan merupakan salah satu simptom yang boleh mengganggu kehidupan seharian sesiapa sahaja.
Walaupun ruam gatal bukanlah satu perkara kecemasan, jangan tangguh untuk berjumpa dengan doktor jika anda alami kegatalan dalam satu jangka masa yang panjang.
Lebih-lebih lagi jika anda alami simptom lain seperti demam, ataupun bengkak pada kawasan bibir atau mulut. Dua simptom ini merupakan tanda reaksi alergi yang serius dan perlu dirawat dengan segera.
Apa yang boleh dilakukan untuk kurangkan ruam gatal?

Mereka yang alami ruam gatal akibat stres mungkin sukar menghalang kondisi ini daripada berlaku. Bukan mudah untuk kekal ‘relaks’ dan ‘bertenang’ untuk elakkan badan anda daripada gatal-gatal.
Namun, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stres dalam kehidupan seharian anda.
Salah satunya adalah dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.
Elakkan minum minuman beralkohol atau mengambil terlalu banyak kafein. Diet yang sihat dan seimbang boleh membantu anda untuk melawan stres dengan berkesan.
Selain itu, berhenti merokok dan tinggalkan produk nikotin.
Mereka yang menggunakan nikotin mungkin mengamalkannya sebagai satu langkah untuk kurangkan stres. Namun, nikotin sebenarnya akan buatkan anda jadi bertambah stres!
Hidup ini dipenuhi dengan pelbagai bentuk tekanan. Tidak kiralah sama ada ia berasal daripada tempat kerja ataupun keluarga, pasti ada cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stres yang dialami.
Antaranya adalah dengan meminta pertolongan orang lain jika perlu.
Selain itu, elakkan daripada melakukan semua perkara sekali gus. Setelah penat bekerja, jangan lupa untuk beri diri anda masa untuk berehat bagi elakkan burn-out.
Jika ruam gatal yang anda alami semakin melarat, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Anda juga boleh simpan ubat antihistamin sebagai bekalan untuk digunakan jika anda sedang tertekan.
Kesimpulan
Ruam gatal yang berlaku akibat stres merupakan sesuatu yang lazim bagi sesetengah individu.
Namun, bagi mereka yang sering diserang rasa gatal, anda mungkin perlu lakukan sesuatu untuk elakkan kegatalan tersebut daripada terus mengganggu kehidupan anda.
Selalunya, ruam gatal akan hilang dalam masa 24 jam. Namun, ruam baru boleh muncul jika anda masih lagi berada di dalam keadaan tertekan.
Jika anda merawat kegatalan anda dengan ubat di farmasi namun tidak dapat melihat sebarang pengurangan, pastikan anda berjumpa doktor dalam masa terdekat.
Mungkin punca sebenar kegatalan tersebut tidak ada kaitan dengan stres yang anda alami sekarang dan berasal daripada sesuatu yang lebih serius serta perlukan perhatian daripada doktor.