backup og meta

Waspada, Ini Tanda-Tanda Kanser Dan Komplikasi Yang Boleh Terjadi, Penting Untuk Anda Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/05/2023

    Waspada, Ini Tanda-Tanda Kanser Dan Komplikasi Yang Boleh Terjadi, Penting Untuk Anda Tahu!

    Kanser merupakan salah satu penyakit yang mempunyai kadar kematian yang tertinggi di dunia. Penyakit ini mempunyai tanda tanda kanser yang tersendiri, berbeza mengikut jenis serta tahap kanser yang dialami. Apakah simptom kanser yang boleh berlaku?

    Kebanyakan kanser akan membentuk tumor iaitu sejenis ketulan yang terdiri daripada sel kanser. Sel ini juga boleh merebak ke bahagian badan yang lain dan menjangkiti organ lain (metastasis). 

    Kebanyakan kanser menyerang secara perlahan dan senyap. Namun, ada juga kanser yang menyerang secara agresif.

    Penting untuk anda tahu simptom-simptom lazim yang dialami oleh pesakit kanser. Seperti apa yang ramai sudah sedia maklum,kanser boleh disembuhkan jika dikesan awal.

    Oleh itu, jika anda mengalami simptom seperti berikut, jangan berlengah lagi dan segera berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Tanda tanda kanser 

    Berikut merupakan antara simptom yang kerap berlaku kepada pesakit kanser: 

    tanda tanda kanser

    1. Tanda tanda kanser – Penurunan berat badan yang drastik

    Hampir 40% pesakit kanser mengalami penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan ketika mereka didiagnos dengan kanser.

    Malah, penurunan berat badan ini juga merupakan antara tanda awal kanser yang sering dipandang remeh.

    Tidak normal untuk seseorang mengalami penurunan berat badan yang melebihi 5 kilogram dalam jangka masa yang pendek jika individu tersebut tidak melakukan sebarang diet ataupun mengalami apa-apa perubahan dari segi gaya hidup.

    Walau bagaimanapun, penurunan berat badan secara drastik bukan bererti anda menghidap kanser. Stres juga boleh menyebabkan anda mengalami penurunan berat badan.

    2. Muncul ketulan pada badan

    Kebanyakan kanser boleh dirasa pada kulit. Sebagai contoh, kanser payudara, kanser testis dan limfoma boleh dikesan melalui pembentukan ketulan yang dapat dirasa pada permukaan kulit.

    Selalunya, ketulan yang rasa keras pada kulit dan tidak menyakitkan merupakan salah satu tanda awal kanser. Namun, mustahil untuk anda menentukan sama ada ketulan tersebut bersifat kanser ataupun tidak dengan hanya merasa dengan tangan.

    Oleh itu, jika mempunyai ketulan pada mana-mana bahagian di tubuh badan anda, jangan malu berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. Doktor boleh melakukan diagnosis yang bersesuaian untuk memeriksa sama ada ketulan yang anda alami bersifat benign (bukan kanser) ataupun tidak.

    3. Tanda tanda kanser – Berpeluh pada waktu malam

    Antara simptom yang lazim untuk individu yang menghidap limfoma atau leukemia ialah berpeluh pada waktu malam. Walau bagaimanapun, berpeluh biasa dan berpeluh yang disebabkan oleh penyakit kanser ada bezanya.

    Pesakit yang menghidap kanser akan berpeluh dengan teruk pada waktu malam. Tilam dan baju mereka juga akan basah lencun akibat peluh. 

    31% pesakit leukemia mengalami masalah berpeluh pada waktu malam sebelum mereka didiagnos dengan kanser.

    4. Pendarahan vagina yang tidak normal

    Pendarahan yang tidak normal merupakan salah satu simptom lazim kanser serviks.

    Masalah pendarahan pada kawasan vagina yang bukan disebabkan oleh haid merupakan perkara yang serius dan harus dirujuk kepada doktor secepat mungkin. 

    Antara contoh pendarahan vagina yang tidak normal ialah:

    • Haid yang lebih panjang
    • Pendarahan yang abnormal ketika haid
    • Berdarah selepas melakukan hubungan seksual
    • Pendarahan selepas menopaus
    • Pendarahan selepas melakukan ujian pelvis

    5. Perubahan dalam tabiat membuang air besar

    Sakit perut atau sembelit yang berpanjangan merupakan salah satu gejala kanser kolorektal. Selain itu, jika anda mengalami:

    1. Pendarahan ketika membuang air besar
    2. Ketidakselesaan pada kawasan perut
    3. Perut kejang dan kerap buang angin

    Pastikan anda berjumpa dengan doktor dengan kadar yang segera. 

    Walaupun kanser kolorektal mungkin bermula ketika anda menginjak ke usia 50 tahun, simptom yang anda alami mungkin sebenarnya merupakan tanda anda menghidap penyakit lain yang tidak ada kaitan dengan kanser. 

    6. Batuk yang berpanjangan dan sesak nafas

    Tanda tanda kanser

    Salah satu penyebab batuk yang berpanjangan ataupun kronik adalah disebabkan oleh tabiat merokok. 

    Bahan kimia yang terdapat di dalam rokok boleh mengakibatkan inflamasi pada bahagian paru-paru dan boleh menyebabkan kanser.

    Batuk biasa yang disebabkan oleh demam akan sembuh dalam masa beberapa minggu. Namun, batuk yang berpunca dari kanser pula akan berlarutan selama lebih daripada 8 minggu. 

    Batuk berdarah juga merupakan salah satu tanda kanser paru-paru yang serius. Selalunya, simptom ini berlaku jika kanser paru-paru yang pesakit alami telahpun mencapai tahap yang serius. 

    7. Sakit pada bahagian perut

    Sakit pada bahagian abdomen merupakan salah satu simptom lazim bagi kanser perut. Namun, simptom ini juga boleh berlaku jika anda mengalami ulser ataupun dijangkiti virus pada kawasan perut.

    Sama seperti sakit lain, penting untuk individu yang sering sakit pada bahagian abdomen untuk terus berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan. 

    Sakit pada bahagian perut mungkin merupakan satu tanda penyakit lain. Penyakit ini juga mungkin dapat dipulihkan jika anda mendapat rawatan yang sewajarnya daripada doktor.

    Tanda-tanda kanser yang jarang berlaku

    Tanda-tanda di bawah merupakan antara simptom kanser yang jarang berlaku.

    1. Darah beku

    Pesakit kanser mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat darah beku seperti deep vein thrombosis (DVT). Pakar berpendapat bahawa keadaan ini berlaku mungkin disebabkan reaksi yang dicetuskan oleh luka pada tisu yang telah dijangkiti kanser.

    Pesakit yang mengalami kanser metastasis juga berisiko untuk mendapat darah beku. Hampir 25% pesakit kanser melaporkan akan mengalami masalah darah beku ketika menghidap penyakit ini. 

    Tambah lagi, ada sesetengah kanser seperti kanser paru-paru dan kanser pankreas, serta beberapa jenis rawatan untuk kanser boleh meningkatkan risiko berlakunya darah beku kepada pesakit.

    2. Masalah membuang air kecil

    Masalah ketika membuang air kecil merupakan salah satu simptom kanser prostat. Tumor yang terbentuk akibat kanser boleh menekan saluran urethra yang menyebabkan pesakit mempunyai masalah untuk membuang air kecil.

    Namun, masalah ini juga boleh disebabkan oleh benign prostatic hyperplasia (BPH) yang bukan kanser. Pesakit yang mempunyai tumor boleh menjalani pembedahan untuk membuang tumor tersebut untuk mengurangkan tekanan pada kawasan urethra.

    3. Pedih ulu hati atau masalah penghadaman

    Tanda tanda kanser

    Kebanyakan individu akan mengalami pedih ulu hati terutamanya setelah ambil makanan yang pedas ataupun minuman bergas. Normal untuk anda mengalami masalah pedih ulu hati sekali atau dua kali dalam masa seminggu.

    Namun, jika anda mengalaminya terlalu kerap dalam masa lebih daripada 3 minggu, anda mungkin menghidap kanser esofagus atau kanser perut.

    Masalah penghadaman merupakan salah satu tanda tanda kanser pankreas. Simptom lain termasuklah sakit pada bahagian abdomen, susut berat badan, kulit berwarna kuning akibat jaundis dan perubahan ketika membuang air besar.

    4. Tanda tanda kanser – Mudah mendapat lebam sekitar tubuh badan

    Salah satu tanda tanda kanser ialah muncul lebam pada sekitar tubuh badan pesakit.

    Pesakit leukemia mudah untuk mendapat lebam sekitar tubuh badan. Selalunya, pesakit akan alami lebam pada tempat yang tidak dijangkakan seperti belakang badan, kaki dan tangan.

    Selain itu, pesakit leukemia juga akan mendapat lebam pada badan mereka tanpa sebarang amaran. Mereka juga tidak mengetahui punca sebenar yang mengakibatkan badan mereka dipenuhi dengan lebam-lebam.

    Bila anda perlu berjumpa dengan doktor

    Jika anda mengalami simptom atau tanda-tanda seperti yang dihuraikan di atas, anda perlulah berjumpa dengan doktor secepat mungkin. 

    Kanser sememangnya sejenis penyakit berbahaya yang boleh membawa maut, namun pengesanan dan rawatan awal amat membantu untuk meningkatkan kadar kesembuhan kanser.

    Pastikan anda segera berjumpa doktor jika mengalami tanda tanda kanser seperti berikut:

    • Penat yang amat sangat
    • Masalah membuang air besar ataupun air kecil
    • Turun berat badan secara drastik
    • Batuk yang tidak sembuh
    • Muncul ketulan pada sekitar badan

    Namun, tanda-tanda di atas bukanlah 100% merujuk kepada kanser. Tanda tanda kanser tersebut juga boleh menandakan anda mempunyai penyakit lain yang mungkin tidak seserius kanser dan boleh dirawat dengan segera.

    Selain itu, anda perlu lebih berhati-hati jika mempunyai faktor risiko kanser seperti:

    • Umur yang telah lanjut
    • Ahli keluarga pernah menghidap kanser
    •  Merokok
    • Obes
    • Kerap ambil minuman beralkohol

    Walaupun sesetengah faktor risiko seperti umur dan genetik tidak boleh diubah, namun, perkara lain seperti tabiat merokok dan obesiti masih boleh diperbaiki.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, individu yang mempunyai ciri seperti yang disenaraikan di atas perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin jika mengalami tanda tanda kanser.

    Menghidap kanser bukan bererti anda sudah berada pada penghujung nyawa. Malah, kebanyakan kanser boleh dirawat. Ramai pesakit kanser yang berjaya melawan penyakit ini dan hidup normal seperti orang lain. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan