backup og meta

Lawan Kanser Serviks, Ini Antara Makanan Yang Boleh Cegah Barah!

Lawan Kanser Serviks, Ini Antara Makanan Yang Boleh Cegah Barah!

Sedang mencari petua hilangkan kanser serviks melalui pemakanan? Tepat sekali pilihan anda untuk membaca artikel ini. Teruskan pembacaan untuk mengetahui petua-petuanya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

Ada ke makanan yang boleh melawan kanser serviks?

Pengambilan pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran boleh membantu melindungi diri daripada menghidap kanser serviks. Ini kerana kebanyakan kes kanser serviks bermula daripada jangkitan human papillomavirus (HPV).

Diet yang tinggi antioksidan, karotenoid, flavonoid dan folat yang terdapat dalam buah-buahan dan sayuran dipercayai boleh membantu tubuh melawan dan mencegah jangkitan HPV daripada mengubah sel-sel serviks menjadi sel kanser.

Kajian diterbitkan dalam jurnal Cancer Research mendapati ujian darah seorang wanita yang menunjukkan tahap tinggi sebatian kimia tertentu – bagi diet kaya buah-buahan dan sayuran – dapat membersihkan jangkitan HPV lebih cepat, sekali gus mengurangkan risiko barah.

Petua hilangkan kanser serviks melalui pemakanan

Untuk mencegah kanser serta bagi menjamin tahap kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan yang baik, pengambilan diet berasaskan tumbuhan yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh amat disarankan.

Ini kerana kumpulan makanan tersebut mengandungi pelbagai kimia berfaedah yang boleh dengan mudah dimasukkan ke dalam makanan harian.

Justeru anda amat disyorkan untuk menambah pelbagai warna dalam diet, termasuklah makanan berkhasiat dengan fungsi melawan kanser serviks dalam ketiga-tiga hidangan utama, contohnya:

  • Sarapan pagi: Jus oren, buah tembikai susu, yogurt dan granola
  • Makan tengah hari: Sandwic bersama keju panggang dan sayuran seperti lada benggala merah, lobak merah, cendawan dan timun
  • Makan malam: Salad romaine bersama limau gedang dan pasta gandum penuh dengan bayam, kacang hitam, ayam dan tomato

Flavonoid, antara petua hilangkan kanser serviks

Flavonoid merupakan sebatian kimia dalam buah-buahan dan sayuran dianggap sebagai sumber makanan elak kanser serviks yang utama.

Berikut adalah beberapa contoh makanan kaya flavonoid boleh dipertimbangkan untuk ditambahkan dalam diet anda:

  • Buah epal
  • Asparagus
  • Kacang hitam
  • Brokoli
  • Kubis Brussels
  • Kubis
  • Kranberi
  • Bawang putih
  • Daun salad
  • Bawang besar
  • Soya 
  • Bayam

petua hilangkan kanser serviks

Petua hilangkan kanser serviks #Folat

Kajian mencadangkan bahawa makanan yang kaya dengan folat (vitamin B larut air) mengurangkan risiko kanser serviks pada penghidap HPV.

Walau bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana sebatian folat bertindak dalam melawan risiko kanser.

Ada kemungkinan folat membantu badan menghentikan jangkitan HPV daripada berulang, sekali gus dapat mengurangkan risiko mendapat kanser.

Makanan yang kaya dengan folat termasuk:

  • Avokado
  • Kacang kuda
  • Bijirin dan roti yang diperkaya
  • Lentil
  • Jus oren
  • Salad romaine
  • Strawberi

Karotenoid

Karotenoid, sumber vitamin A, juga dipercayai merupakan antara salah satu sebatian yang membantu mencegah risiko kanser serviks.

Selain buah-buahan, sayuran dan kekacang yang disenaraikan di atas, anda juga boleh menambah makanan berwarna oren seperti lobak merah, ubi keledek serta labu ke dalam diet harian.

Kaedah lain dalam petua hilangkan kanser serviks

Walaupun diet yang sihat adalah aspek penting dalam keseluruhan pelan pencegahan kanser, namun ia bukan satu-satunya komponen.

Oleh sebab kanser serviks sering dikaitkan dengan faktor gaya hidup, adalah penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga lain juga, seperti:

Vaksin HPV

Selain daripada saringan, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menasihatkan untuk mendapatkan suntikan vaksin HPV. Ia dianggap perkara paling penting yang boleh dilakukan bagi mencegah kanser serviks.

Vaksin HPV melindungi daripada jenis jangkitan HPV yang paling kerap menyebabkan kanser serviks, faraj dan vulva.

Kanak-kanak dalam lingkungan usia 11-12 tahun dan semua individu di bawah usia 26 tahun perlu mendapatkan suntikan vaksin ini. Dos yang diperlukan adalah bergantung pada usia.

Individu berumur 27-45 tahun juga disarankan untuk mendapatkan vaksinasi HPV selepas berunding dengan doktor.

petua hilangkan kanser serviks

Kaedah perlindungan seks, antara petua hilangkan kanser serviks

Jangkitan HPV merebak melalui hubungan seksual. Menggunakan kaedah perlindungan seks seperti kondom atau dental dam boleh membantu melindungi daripada jangkitan ini.

Namun, perkara yang perlu anda ketahui adalah seseorang individu masih boleh mendapat jangkitan HPV pada bahagian yang tidak dilindungi kondom atau dental dam seperti kulit kemaluan atau kawasan sekitar dubur.

Berhenti merokok

Merokok boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser, termasuklah kanser serviks. 

Bahan toksik dalam asap tembakau boleh melemahkan sistem imun, menyebabkan badan lebih sukar membunuh sel kanser. 

Selain itu, racun ini juga boleh merosakkan atau mengubah DNA sel, mengakibatkan perkembangan tumor.

Perokok pasif dan mempunyai pasangan seksual yang merokok juga berisiko untuk kanser serviks. 

Ini kerana nikotin dan bahan lain dalam tembakau boleh masuk ke dalam serviks melalui air mani, seterusnya menjejaskan sistem imun dan keupayaan tubuh untuk mempertahankan diri daripada kanser.

Cara lain untuk melawan risiko kanser serviks:

  • Monogami – risiko HPV meningkat jika mempunyai lebih daripada satu pasangan seks 
  • Jalani ujian saringan kanser serviks (pap smear)
  • Elakkan hubungan seksual dengan individu yang dijangkiti ketuat kelamin atau gejala lain

Langkah-langkah di atas dan pengambilan diet tinggi buah-buahan dan sayuran adalah antara petua hilangkan kanser serviks yang boleh diamalkan.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan atau keraguan, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Do Certain Foods Fight Cervical Cancer? https://moffitt.org/cancers/cervical-cancer/faqs/do-certain-foods-fight-cervical-cancer/,  Accessed on March 27, 2023
  2. Can Cervical Cancer Be Prevented? https://www.cancer.org/cancer/cervical-cancer/causes-risks-prevention/prevention.html, Accessed on March 27, 2023
  3. Cervical Cancer: Screening and Prevention. https://www.cancer.net/cancer-types/cervical-cancer/screening-and-prevention,  Accessed on March 27, 2023
  4. Cancer. https://www.cdc.gov/tobacco/basic_information/health_effects/cancer/, Accessed on March 27, 2023 
  5. Siokos AG, Siokou-Siova O, Tzafetas I. Correlation between cervical carcinogenesis and tobacco use by sexual partners. Hell J Nucl Med. 2019 Sep-Dec;22 Suppl 2:184-190. PMID: 31802062. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31802062/, Accessed on March 27, 2023
  6. Renee Pieroth, Stephanie Paver, Sharon Day, and Carolyn Lammersfeld (2018). Folate and Its Impact on Cancer Risk. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6132377/, Accessed on March 27, 2023
  7. Yuanxing Li, Aimin Yang, Wei Wang, Zhilian Wang, Zhe Wang, Xiaoqiang Su, Lili Zhang, Jing Yang, Weihong Zhao, and M In Hao (2020). Folic Acid Intake and Folate Status and Risk of Cervical Cancer: A Systematic Review and Meta-Analysis from 20 Independent Case-Control Studies and 4 RCTs. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7257315/, Accessed on March 27, 2023 
  8. Ayumi Ono, Masafumi Koshiyama, Miwa Nakagawa, Yumiko Watanabe, Eri Ikuta, Keiko Seki, and Makiko Oowaki (2020). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7698010/, Accessed on March 27, 2023 
  9. Rui Hai Liu. Health-Promoting Components of Fruits and Vegetables in the Diet (2013). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3650511/,  Accessed on March 27, 2023
  10. Preetha Anand, Ajaikumar B. Kunnumakara, Chitra Sundaram, Kuzhuvelil B. Harikumar, Sheeja T. Tharakan, Oiki S. Lai, Bokyung Sung, and Bharat B. Aggarwal. Cancer is a Preventable Disease that Requires Major Lifestyle Changes (2008). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2515569/, Accessed on March 27, 2023 

Versi Terbaru

13/03/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Siti Sofiah


Artikel Berkaitan

Wow! Dengan Hanya Berjalan Kaki, Anda Terhindar Daripada 7 Jenis Kanser Ini!

Wanita Harus Peka Dengan 6 Simptom Kanser Serviks Ini, Perhatikan Perubahan Vagina Anda!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/03/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan