backup og meta

Kerap Ejakulasi Boleh Kurangkan Risiko Kanser Prostat? Apa Lagi, Rancakkanlah Malam Jumaat Anda!

Kerap Ejakulasi Boleh Kurangkan Risiko Kanser Prostat? Apa Lagi, Rancakkanlah Malam Jumaat Anda!

Adakah lelaki yang kerap ejakulasi kurang berisiko mengalami penyakit kanser prostat? Jawapannya, mungkin ya! Namun, pakar masih belum pasti akan penyebabnya. Malah, mereka juga tidak pasti sama ada lelaki yang kerap onani mempunyai kelebihan yang sama.

Menurut beberapa kajian, lelaki yang kerap ejakulasi, tidak kisahlah melalui onani ataupun hubungan seks bersama pasangan mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser prostat.

Tetapi, apakah faktor yang menyebabkan mereka lebih sihat? Ada teori yang mengatakan lelaki yang kerap ejakulasi dapat membuang lebih banyak bahan kimia berbahaya yang terkumpul di dalam air mani.

Namun, ada pula teori lain yang mengatakan kaum Adam yang kerap ejakulasi lebih sihat dan bahagia. Gaya hidup sihat merekalah yang sebenarnya telah menurunkan risiko kanser prostat.

Namun, benarkah ada kaitan antara kekerapan ejakulasi dengan risiko kanser prostat? Mari baca kupasan di bawah dengan lebih lanjut.

Apakah kaitan di antara kerap ejakulasi dan kanser prostat?

kerap onani

Kenyataan di atas sebenarnya berasal dari sebuah kajian yang dilakukan di Universiti Harvard. Kajian yang diterbitkan di dalam jurnal JAMA ini telah mengkaji seramai 29,342 lelaki yang berusia 46 hingga 81 tahun selama 8 tahun.

Semua peserta kajian diminta untuk memberikan informasi mengenai kekerapan ejakulasi mereka. Selain itu, peserta juga akan diminta untuk menjawab soal selidik sekali setiap dua tahun.

Pada awalnya, saintis ingin mengkaji sama ada masturbasi yang kerap akan meningkatkan risiko kanser prostat. Namun, dapatan mereka menunjukkan sebaliknya!

Berbanding lelaki yang mengalami ejakulasi 4-7 kali sebulan pada usia 20 tahun, mereka yang mengalami ejakulasi selama 21 kali sebulan didapati mengalami 31% pengurangan risiko untuk menghidap kanser prostat pada masa hadapan!

Dapatan kajian ini juga disokong dengan sebuah lagi kajian berskala kecil yang dijalankan di Australia.

Kajian yang dimuatkan di dalam jurnal BJU International ini dilakukan ke atas 2,000 orang lelaki yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Mereka mendapati lelaki yang mengalami ejakulasi 4.6 hingga 7 kali seminggu mempunyai pengurangan risiko sebanyak 36% untuk menghidap prostat kanser sebelum mencapai usia 70 tahun.

Siapa sangka kerap ejakulasi pun boleh membawa faedah yang tersendiri!

Tetapi, bagaimana pula jika kerap onani?

kerap onani

Walaupun lelaki yang kerap ejakulasi didapati kurang berisiko untuk mengalami kanser prostat, ada pula satu kajian yang menunjukkan kerap onani atau masturbasi mungkin mendatangkan bahaya kepada kaum Adam!

Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2008 tersebut, lelaki yang kerap onani lebih berisiko untuk mengalami kanser prostat berbanding lelaki yang kurang melakukan masturbasi.

Malah, mereka yang melakukan onani sebanyak 7 kali seminggu didapati mempunyai peningkatan sebanyak 79% untuk menghidap kanser! Eh, bahaya ni!

Namun, menurut kajian tersebut, mungkin jumlah onani sebenarnya tidak memainkan sebarang peranan. Tetapi, ada faktor lain sebenarnya yang menjadi penyebab.

Sebagai contoh, lelaki yang kerap onani dan masturbasi mempunyai tahap testosteron yang lebih tinggi. Kadar testosteron yang tinggi sebenarnya boleh menjadi penyebab kanser prostat!

Pasti ramai lelaki yang pernah dengar mengenai bahaya masturbasi. Salah satu bahaya yang menanti lelaki yang kerap onani ialah masalah mati pucuk. Tetapi, benarkah kenyataan ini?

Untuk pengetahuan anda, onani tidak berbahaya dari segi fizikal mahupun mental. 

Tetapi, mereka yang kerap onani sehingga mengganggu kehidupan seharian perlu mendapatkan khidmat pakar.

Adakah anda berisiko untuk mengalami kanser prostat?

kerap onani

Walaupun lelaki yang kerap onani dan masturbasi mungkin mengalami peningkatan risiko penyakit kanser prostat, namun ada beberapa faktor yang pakar tahu mempunyai peranan yang tersendiri.

Sebagai contoh, lelaki yang lebih berusia didapati lebih berisiko untuk mengalami kanser prostat berbanding lelaki yang muda. 

Selain itu, ada juga beberapa faktor lain seperti:

  1. Sejarah keluarga. Lelaki yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser prostat lebih berisiko untuk mengalami kanser ini pada masa hadapan.
  2. Faktor genetik. Gen BRCA yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara juga boleh mempengaruhi risiko kanser prostat.
  3. Pendedahan terhadap bahan kimia. Sebagai contoh, lelaki yang terlibat dengan peperangan dan pernah terdedah kepada Agen Oren, sejenis senjata kimia yang digunakan sewaktu Perang Vietnam lebih berisiko menghidap kanser. 
  4. Pemakanan. Elakkan makan terlalu banyak makanan yang berlemak. Tambah sayur-sayuran dan buah-buahan segar ke dalam diet anda setiap hari untuk mengelakkan kanser prostat.
  5. Tahap aktiviti. Lelaki yang tidak aktif lebih berisiko untuk mengalami kanser prostat berbanding lelaki yang gemar bersenam.

Kesimpulan

Mungkin benar, lelaki yang banyak ejakulasi kurang berisiko untuk mengalami penyakit kanser prostat. Walau bagaimanapun, kenyataan ini mungkin berbeza untuk lelaki yang kerap onani.

Namun, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk mengesahkan kedua-dua dapatan kajian terbabit.

Apa yang pasti, kanser prostat berkait rapat dengan umur dan genetik seseorang. Gaya hidup yang tidak sihat seperti berat badan berlebihan dan gemar mengambil makanan tidak berkhasiat juga dapat meningkatkan risiko kanser prostat.

Oleh sebab itu, pastikan anda kerap bersenam dan makan secara sihat untuk mencegah kanser prostat. Bukan itu sahaja, tinggalkan juga tabiat buruk seperti merokok untuk prostat yang lebih sihat ya!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Sexual activity and prostate cancer risk in men diagnosed at a younger age. BJU International, 103: 178-185. https://doi.org/10.1111/j.1464-410X.2008.08030.x Accessed July 5, 2021.
  2. Sexual factors and prostate cancer. BJU International, 92: 211-216. https://doi.org/10.1046/j.1464-410X.2003.04319.x. Accessed July 5, 2021.
  3. Ejaculation frequency and subsequent risk of prostate cancer. JAMA. 2004 Apr 7;291(13):1578-86. doi: 10.1001/jama.291.13.1578. Accessed July 5, 2021.
  4. Is there a Link between Masturbation and Prostate Cancer? https://www.manual.co/health-centre/masturbation/is-there-a-link-between-masturbation-and-prostate-cancer. Accessed July 5, 2021.
  5. Frequent sex: Does it protect against prostate cancer? https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/prostate-cancer/expert-answers/prostate-cancer/faq-20057800. Accessed July 5, 2021.
  6. Testosterone and prostate cancer: an evidence-based review of pathogenesis and oncologic risk.  https://doi.org/10.1177/1756287215597633. Accessed July 5, 2021.
  7. Does excessive masturbation have health risks? July 1. https://www.plannedparenthood.org/learn/teens/ask-experts/does-excessive-masturbation-have-health-risks. Accessed July 5, 2021.
  8. Does Having More Ejaculations Lessen the Chance of Prostate Cancer? https://www.urologyhealth.org/healthy-living/urologyhealth-extra/magazine-archives/fall-2020/ask-the-experts-does-having-more-ejaculations-lessen-the-chance-of-prostate-cancer. Accessed July 5, 2021.

Versi Terbaru

23/04/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Benarkah Menahan Kencing Boleh Jadi Punca Kanser Prostat? Ini Jawapannya

Ia Mungkin Berlaku Tanpa Diduga! Lelaki, Kena Tahu Tanda Kanser Prostat Dari Awal


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 23/04/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan