backup og meta

Benarkah Menahan Kencing Boleh Jadi Punca Kanser Prostat? Ini Jawapannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh [email protected] · Disemak pada 18/01/2023

    Benarkah Menahan Kencing Boleh Jadi Punca Kanser Prostat? Ini Jawapannya

    Pernah tak anda tertanya-tanya, adakah tahan kencing boleh menyebabkan masalah kanser prostat?

    Walaupun soalan tersebut dengar macam mengarut, ia merupakan sesuatu yang anda perlu tahu.

    Perbuatan tahan kencing bukanlah sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana individu.

    Ini kerana, kadang kala kita terpaksa beratur hendak masuk ke tandas awam atau tiada tandas di kawasan terdekat atau anda sedang sibuk bekerja.

    Jika perbuatan menahan kencing boleh memudaratkan sel prostat sehingga berlakunya kanser, sudah tentulah ia perlu diberi perhatian.

    Jadi, kalau anda ingin tahu berkenaan dengannya, teruskan membaca artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.

    Tahan kencing, adakah ia boleh menyebabkan kanser?

    Hakikat yang anda perlu tahu adalah, perbuatan menahan kencing sememangnya tidak selesa.

    Anda mungkin berisiko untuk mendapat jangkitan saluran kencing namun, ia tidak akan mempengaruhi integriti organ prostat anda.

    Pundi kencing diperbuat daripada otot. Ia mempunyai keupayaan untuk menahan air kencing keluar apabila mengalami kontraksi. Namun, jika anda menahan kencing secara berkala, pundi kencing anda boleh mengembang menjadi besar.

    Keadaan ini boleh mempengaruhi fungsi pembuangan air kencing memandangkan ruang yang ada di dalam pundi kencing semakin berkurangan.

    Kesannya anda akan mudah berasa hendak terkencing. Pun begitu, golongan muda jarang mengalami masalah ini.

    Begitu juga dengan mereka yang mempunyai pundi kencing yang lemah ototnya.

    Kadangkala, deria pada dinding pundi kencing boleh berkurangan menyebabkan anda tidak sedar isipadu air kencing hampir penuh.

    Keadaan ini boleh menyebabkan anda terkencing secara tidak sengaja.

    Apa yang penting, tahan kencing, walaupun boleh menyebabkan masalah berkaitan dengan saluran urin, namun ia tidak memudaratkan organ prostat.

    Kanser prostat merupakan sejenis barah yang berlaku kesan daripada interaksi genetik dan faktor persekitaran menyebabkan pembahagian sel prostat berlaku di luar kawalan.

    Penghidap kanser prostat boleh alami kesukaran menahan kencing

    tahan kencing

    Walaupun perbuatan tahan kencing tidak menjejaskan kesihatan prostat, tapi kanser yang berlaku pada organ tersebut boleh mempengaruhi fungsi perkumuhan melalui saluran kencing.

    Perkara ini boleh disebabkan oleh proses patologi kanser itu sendiri atau kesan sampingan rawatan.

    Pada mulanya, simptom masalah kencing berlaku akibat tumbesaran kanser pada organ prostat yang menghimpit pundi kencing menyebabkan anda sukar menahan kencing.

    Namun, apabila anda sudah mendapatkan rawatan, kecederaan pada otot dan saraf yang mengawal kontraksi pada organ pundi kencing boleh menyebabkan anda hilang kawalan terhadap pembuangan urin.

    Kelenjar prostat mengelilingi uretra maka jika terdapat tumor pada organ tersebut, anda boleh mengalami masalah kencing seperti:

    1. Sukar untuk mula kencing
    2. Sukar untuk mengosongkan pundi kencing
    3. Aliran urin lemah

    Tambahan pula, rawatan kanser prostat seperti pembedahan boleh menyebabkan kecederaan pada saraf atau otot yang mengawal keluar air kencing.

    Menurut Persatuan Kanser Prostat, masalah sukar menahan air kencing (inkontinens) merupakan kesan sampingan lazim selepas pembedahan prostatektomi.

    Setinggi 25% pesakit yang mengalami masalah tersebut perlu memakai pad untuk tempoh 6 bulan selepas menjalani rawatan.

    Rawatan masalah urinari untuk pesakit kanser

    tahan kencing

    Pelbagai jenis rawatan boleh dilakukan bagi membantu pesakit kanser prostat yang mengalami masalah kencing.

    Antaranya adalah: 

    • Senaman kegel bagi menguatkan otot pelvik di samping pesakit mengambil minuman sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
    • Ada juga teknik di mana pesakit digalakkan untuk ke bilik air 3 atau 4 jam sekali walaupun tidak terasa seperti ingin kencing.
    • Bagi pesakit yang mengalami masalah sukar mengeluarkan air kencing sepenuhnya pula, mereka boleh mengamalkan teknik double voiding. Dalam teknik ini, selepas anda kencing, anda perlu berehat seketika dan cuba untuk kencing lagi.
    • Cepat-cepat ke bilik air untuk kencing sekiranya terasa seperti hendak kencing. Anda digalakkan untuk berada di kawasan yang mempunyai akses dengan bilik air.
    • Guna pakaian yang mudah ditanggalkan. Jika anda tidak boleh berjalan atau bangun, pastikan alat penadah air kencing berada dalam capaian anda.
    • Amalkan gaya hidup sihat dan pastikan anda mengawal berat badan.

    Konklusi

    Jika anda masih tertanya-tanya, adakah perbuatan tahan kencing boleh menyebabkan kanser prostat, jawapannya tidak.

    Namun, kanser prostat boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk menahan kencing.

    Perkara tersebut boleh berlaku disebabkan oleh proses patologi kanser itu sendiri ataupun kesan sampingan rawatan seperti pembedahan dan sebagainya.

    Jika anda mengalami simptom urinari seperti sukar menahan kencing dan sebagainya, dapatkan nasihat kesihatan daripada pegawai perubatan bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh [email protected] · Disemak pada 18/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan