backup og meta

Makan Cendawan Seminggu 2x Boleh Cegah Kanser Prostat, Fakta Atau Mitos?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/06/2021

    Makan Cendawan Seminggu 2x Boleh Cegah Kanser Prostat, Fakta Atau Mitos?

    Cendawan bukan sahaja digemari oleh populasi umum sebagai bahan masakan. Ia juga sering dihidangkan sebagai snek bagi mereka yang ingin mengalas perut.

    Sebut sahaja jenisnya, cendawan tiram kelabu, cendawan shitake atau cendawan busut, pasti ada sahaja resipi yang melibatkan penggunaan bahan tersebut.

    Apa yang lebih menarik lagi adalah terdapat kajian saintifik yang menunjukkan potensi cendawan dalam menurunkan risiko kanser prostat.

    Perkara ini telah memberikan inspirasi kepada para pengkaji di seluruh dunia untuk membongkar potensi cendawan terhadap masalah kanser.

    Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Insiden kanser prostat dijangka terus meningkat

    Pada tahun 2018, dianggarkan 1.2 juta kes baharu bagi kanser prostat telah didiagnosis di seluruh dunia.

    Jumlah kematian akibat masalah kesihatan ini juga telah melebihi angka 350,000 merangkumi 3.8% kematian daripada segala punca kanser dalam kalangan lelaki.

    Disangkakan trend insiden ini akan berubah ke arah yang lebih baik hasil daripada kemajuan teknologi perubatan dalam mendiagnosis dan merawat kanser prostat.

    Namun, Agensi Kajian Kanser Antarabangsa (IARC) telah meramal peningkatan insiden kanser prostat setinggi 2.2 juta kes pada tahun 2040.

    Kadar kematian pula berpotensi untuk mengalami peningkatan setinggi 1.05%.

    Ini bukanlah satu berita baik. Jika ada alternatif yang terbukti berkesan untuk mencegah berlakunya kanser, ia perlu diberi perhatian.

    Perkara ini termasuklah dapatan kajian yang menunjukkan pengambilan cendawan boleh menyumbang kepada penurunan risiko kanser prostat.

    Perubahan gaya hidup ke arah yang lebih sedentari menyebabkan kita perlu lebih peka dalam aspek pemakanan dan kekerapan aktiviti fizikal.

    Pengambilan cendawan dianggap mampu memberikan kebaikan berskala kecil kepada mereka yang mengambilnya.

    Namun, jika dilihat dari sudut pandang global, ia mampu mengubah corak insiden berlakunya kanser prostat walau sekecil manapun kebaikan yang bakal dinikmati oleh penggemar cendawan.

    Kajian berkaitan dengan potensi cendawan sebagai makanan pencegah kanser telah diterbitkan di laman Jurnal Kanser Antarabangsa oleh pengkaji dari Jepun.

    Cendawan tiram kelabu, shitake… bagaimana ia boleh cegah kanser prostat? 

    cendawan

    Ini bukan satu-satunya kajian yang telah membuktikan potensi cendawan sebagai bahan makanan yang boleh melawan penyakit.

    Pada tahun 2012, kajian yang dijalankan oleh sebuah Universiti di India telah menunjukkan cendawan mempunyai sifat anti kanser, anti radang dan anti diabetes.

    Kajian terhadap sel yang dikulturkan berserta dengan kajian haiwan telah membongkar keupayaan cendawan dalam menyebabkan kadar tumbesaran tumor menjadi perlahan.

    Menurut pengkaji dari Jepun tersebut, hanya satu kajian pernah dibuat bagi melihat kesan pengambilan cendawan terhadap risiko penyakit prostat. 

    Pemberian ekstrak cendawan butang putih telah menyebabkan antigen khusus prostat (PSA) menurun dan kebolehan sistem imun badan untuk melawan kanser meningkat.

    PSA sering digunakan dalam situasi klinikal untuk mendiagnosis masalah kanser prostat.

    Inspirasi daripada kajian tersebut telah mendorong pengkaji dari Jepun untuk menyiasat dengan lebih lanjut berkenaan dengan potensi cendawan.

    Dapatan menunjukkan berbeza dengan mereka yang makan cendawan kurang daripada sekali seminggu, subjek yang makan cendawan satu atau dua kali seminggu mempunyai 8% risiko lebih rendah untuk mendapat kanser prostat.

    Keputusan ini masih signifikan walaupun pemalar seperti sejarah kanser dalam keluarga, penggunaan produk tembakau, pengambilan kafein dan alkohol telah diambil kira.

    Adakah ini bermakna dengan mengambil cendawan sahaja anda terhindar daripada kanser prostat?

    cendawan

    Jawapan kepada persoalan ini adalah tidak semestinya.

    Walaupun kajian telah membuktikan potensi cendawan dalam merawat masalah kanser, pelbagai faktor boleh mempengaruhi insiden kanser prostat.

    Tambahan pula, perbezaan risiko bagi mereka yang mengambil cendawan paling sedikit dengan yang paling banyak hanyalah 0.31%.

    Kesan baik kepada tabiat pemakanan ini dilihat optimum pada individu berusia 50 tahun dan ke atas.

    Perkara ini mungkin disebabkan oleh orang muda jarang didiagnosis dengan masalah kanser prostat.

    Maklumat berkaitan dengan cendawan yang digunakan juga tidak direkodkan oleh pengkaji.

    Sukar untuk kita rumuskan adakah kesan anti kanser dimiliki oleh semua spesies cendawan atau cendawan tertentu sahaja.

    Perkara penting yang perlu anda fahami adalah langkah pencegahan bagi kanser prostat lebih tertumpu kepada aspek gaya hidup.

    Ini bermakna, perubahan pada satu aspek tidak menjamin kebebasan daripada mana-mana diagnosis kanser.

    Terdapat interaksi di antara faktor genetik dan persekitaran yang boleh mengubah corak haluan individu ke arah diagnosis kanser.

    Maka, wajar untuk kita anggap pengambilan cendawan, jika benar ia mencegah kanser, hanya melibatkan penurunan risiko yang sangat sedikit.

    Konklusi

    Tidak kiralah apa jenis cendawan sekalipun, butang, shitake atau cendawan tiram kelabu, kajian lanjut perlu dilakukan bagi menyiasat potensinya untuk melawan kanser.

    Masalah berkaitan dengan barah prostat perlu dipandang serius berikutan ia boleh mempengaruhi kualiti hidup mereka yang menghidapinya.

    Langkah awal yang boleh diambil oleh para pembaca adalah untuk melihat kembali kepada corak gaya hidup anda.

    Perubahan dalam aspek pemakanan dan aktiviti fizikal mampu memberikan kebaikan kesihatan dalam usaha untuk mencegah kanser prostat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan