backup og meta

6 Cara Berkesan Untuk Mencegah Kanser Prostat, Salah Satunya Kena Aktif 'Bersetubuh'

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/06/2023

    6 Cara Berkesan Untuk Mencegah Kanser Prostat, Salah Satunya Kena Aktif 'Bersetubuh'

    Tiada cara mutlak yang boleh menghalang mana-mana lelaki dari menghidap kanser prostat. Namun terdapat beberapa langkah pencegahan prostat yang boleh menurunkan risiko barah ini. 

    Secara amnya, faktor risiko bagi kanser prostat boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor yang boleh diubah dan tidak boleh diubah.

    Usia, bangsa dan maklumat genetik merupakan contoh kepada faktor yang tidak boleh diubah.

    Faktor yang boleh diubah pula lebih menjurus kepada aspek persekitaran seperti pemakanan, aktiviti fizikal dan sebagainya.

    Artikel ini akan menggariskan beberapa maklumat pencegahan prostat yang penting bagi menghindarkan diri dari kanser ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.

    Pencegahan prostat – Perbaiki diet anda

    Walaupun kaitan di antara pemakanan dan kanser prostat masih lagi tidak jelas, namun risiko tetap boleh diturunkan melalui pengambilan makanan sihat.

    Antaranya adalah:

    1. Makanan berlemak. Bukan semua makanan tinggi lemak tidak baik untuk anda. Jika anda ingin mengambil makanan berlemak, beri fokus kepada lemak yang terkandung di dalam makanan seperti ikan dan kekacang. Elak dari mengambil makanan tinggi lemak trans dan lemak tepu.
    2. Lebihkan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain daripada baik untuk sistem pencernaan, ia juga kaya dengan molekul antioksida seperti likopen. Kajian menunjukkan molekul tersebut berupaya untuk menurunkan kadar pertumbuhan kanser prostat.
    3. Lebihkan pengambilan makanan bersoya dan minuman teh hijau. Kajian klinikal menunjukkan pengambilan kacang soya boleh menurunkan paras PSA. Selain itu, air teh hijau juga mempunyai manfaat tersendiri dan ia mampu menurunkan risiko kanser prostat.
    4. Kurangkan pengambilan daging panggang. Makanan yang dipanggang pada suhu yang tinggi berisiko mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan masalah kanser.

    Pencegahan prostat – Kekalkan berat badan sihat

    Seperti faktor pemakanan, kaitan di antara berat badan dengan kanser prostat masih lagi tidak jelas.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian mendapati bahawa individu obes berisiko untuk didiagnosis dengan kanser prostat.

    Oleh itu, kawalan berat badan merupakan kunci kepada pencegahan barah prostat.

    Pemantauan jisim berat badan (BMI) wajar dilakukan bagi mengetahui risiko individu terhadap penyakit kronik termasuklah kanser.

    Apa yang anda perlu ambil perhatian adalah, nilai BMI bagi orang Asia berbeza dengan orang Eropah.

    Oleh sebab risiko penyakit kronik seperti kencing manis lebih tinggi dalam kalangan orang Asia, parameter obes bagi orang Asia adalah lebih rendah.

    Langkah pencegahan prostat yang boleh diambil untuk mengekalkan berat badan dalam lingkungan nilai normal adalah seperti berikut:

    1. Ambil makanan berkhasiat
    2. Lakukan senaman secara berkala
    3. Elakkan daripada mengambil makanan yang diproses atau makanan ringan
    4. Tidur secukupnya

    Bersenam secara berkala

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan setiap individu untuk melakukan senaman berintensiti sederhana (joging dan berenang) sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

    Bukan sahaja ia boleh membantu merendahkan risiko kanser prostat malah menurunkan  keradangan, meningkatkan fungsi sistem imun dan menghindarkan kesan negatif akibat gaya hidup tidak aktif.

    Oleh sebab obesiti merupakan salah satu faktor risiko berlakunya kanser prostat, jadi kawalan berat badan melalui senaman dapat membantu menurunkan risiko.

    Pencegahan prostat

    Tambahan pula, masalah berat badan berlebihan boleh mempengaruhi ketepatan ujian saringan kanser prostat.

    Ini bermakna kebarangkalian untuk kesilapan dibuat berkaitan dengan diagnosis kanser prostat agak tinggi.

    Jika merancang untuk memulakan senaman, pastikan anda mendapatkan nasihat kesihatan daripada doktor terlebih dahulu

    Bagi menikmati kebaikan senaman yang optimum, pastikan anda memberikan komitmen dalam jangka masa panjang.

    Berhenti merokok dan minuman alkohol

    Tabiat merokok merupakan faktor risiko kepada pelbagai jenis masalah kesihatan termasuklah kanser.

    Jika dilihat pada konteks kanser prostat, walaupun punca utamanya tidak berkait rapat dengan bahan tembakau, namun rokok mengandungi pelbagai jenis karsinogen (kompaun penyebab kanser).

    Terdapat juga kajian yang menunjukkan kaitan di antara tabiat merokok dan peningkatan pada hormon testosteron.

    Perkara ini meningkatkan kecenderungan seseorang itu untuk mendapat kanser prostat memandangkan peningkatan pada paras hormon tersebut boleh menyebabkan tercetusnya perkembangan kanser.

    Oleh itu, tidak hairanlah apabila kajian menunjukkan mereka yang merokok mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah kanser prostat. Begitu juga dengan pengambilan minuman beralkohol. 

    Walaupun terdapat percanggahan dari kajian berkaitan dengan isu ini, beberapa keadaan boleh mencetuskan peningkatan risiko kanser prostat.

    Sebagai contoh pengambilan alkohol dengan ubat bengkak prostat (BPH). Interaksi di antara kedua-duanya boleh menyebabkan kesan positif penurunan risiko kanser hilang serta merta.

    Kawalan terhadap pengambilan minuman beralkohol perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit kanser.

    Anda boleh bertanyakan kepada doktor berkenaan dengan saranan jumlah pengambilan alkohol harian bagi memastikan kesihatan diri berada pada tahap optimum.

    Pencegahan prostat – Tingkatkan pengambilan vitamin D dan E

    Pencegahan prostat

    Vitamin D merupakan vitamin yang boleh dihasilkan oleh badan manusia secara semula jadi melalui pendedahan kulit terhadap sinar ultraungu (UV) cahaya matahari.

    Keadaan ini akan menyebabkan kolesterol yang terdapat pada kulit bertukar menjadi vitamin D3 yang akan diaktifkan kemudiannya di organ buah pinggang.

    Menurut kajian pada 2018 oleh Institut Kanser Inova Schar, vitamin D berupaya untuk merencatkan kadar pertumbuhan kanser prostat melalui pelbagai aturan proses biologi.

    Ia juga mempunyai peranan penting dalam kawalan atur sistem pertahanan badan dan proses keradangan.

    Namun, mekanisme di sebalik bagaimana vitamin D boleh menyebabkan penurunan kanser tersebut masih lagi tidak jelas dan perkara ini sama dengan vitamin E. 

    Namun, terdapat kajian pada tahun 2011 yang menunjukkan pengambilan suplemen vitamin E boleh meningkatkan risiko kanser prostat. Perkara ini mungkin berlaku jika vitamin E diambil melebihi keperluan badan.

    Vitamin E merupakan nutrisi mikro yang penting bagi mengekalkan keseimbangan proses fisiologi badan. Ini bermakna, jika diambil pada kuantiti yang berpatutan ia boleh memberikan kebaikan.

    Dalam kajian pada tahun 2011 itu, kesemua subjek turut mengamalkan gaya pemakanan seimbang.

    Oleh sebab aspek seperti kepekatan vitamin E di dalam darah tidak diukur, tiada penerangan boleh dibuat berkaitan dengan punca peningkatan risiko pada mereka yang mengambil suplemen vitamin E.

    Pastikan anda aktif dalam hubungan seksual

    Suatu ketika dahulu, kekerapan ejakulasi sering dikaitkan dengan peningkatan kepada risiko kanser prostat.

    Logiknya mudah, apabila seseorang itu melakukan hubungan seksual secara kerap, mereka lebih berisiko untuk mendapat masalah kelamin.

    Keadaan ini boleh menyebabkan masalah radang prostat dan akhirnya ia boleh menyebabkan kanser.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian berskala besar tidak menunjukkan keputusan yang menyokong hipotesis tersebut.

    Bahkan, mereka yang kerap mengalami ejakulasi dikaitkan dengan penurunan risiko kanser prostat.

    Berbanding dengan lelaki yang mengalami ejakulasi sebanyak 4 hingga 7 kali sebulan, mereka yang mengalaminya pada kekerapan melebihi 21 kali atau lebih bakal menikmati penurunan risiko setinggi 31%.

    Kajian tersebut telah dijalankan oleh Universiti Harvard dan ia telah menarik perhatian komuniti saintifik.

    Kesan penurunan tersebut adalah lebih ketara sekiranya kekerapan ejakulasi berlaku dalam sekitar usia 20-an.

    Jika telah berkahwin, pastikan anda menjalinkan hubungan intim secara kerap. Ia bukan sahaja boleh menguatkan pertalian hubungan dengan pasangan malah boleh merendahkan risiko kanser.

    Konklusi

    Langkah pencegahan prostat bagi masalah kanser ini lebih tertumpu kepada aspek perubahan gaya hidup.

    Mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat kanser.

    Sekiranya anda mempunyai faktor risiko atau was-was dengan keadaan kesihatan anda, rujuk doktor perubatan bertauliah bagi mendapatkan nasihat kesihatan berkaitan pencegahan prostat ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan