Kanser payudara merupakan kanser yang paling lazim dalam kalangan wanita. Oleh itu, penting bagi wanita agar cakna mengenai tanda tanda kanser payudara dan ambil tahu mengenai kanser payudara tahap awal agar rawatan sewajarnya boleh dilakukan sebelum terlambat.
Menurut statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), satu daripada 19 wanita berisiko mengalami kanser payudara.
Malah, jumlah pesakit yang didiagnosis dengan kanser payudara di negara kita juga semakin meningkat tahun demi tahun.
Dalam artikel kali ini, kami akan kupas lebih lanjut mengenai tanda tanda kanser payudara tahap awal yang jarang diketahui umum bagi panduan kaum Hawa.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
7 tanda tanda kanser payudara
Tahukah anda, rawatan bagi kanser yang dikesan pada peringkat awal (contohnya pada tahap 1 atau 2) adalah lebih berkesan?
Malah, menurut KKM, kadar kelangsungan hidup pesakit kanser payudara tahap awal adalah lebih 80 peratus dalam tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, apabila kanser telah merebak ke organ lain (tahap 4), peluang untuk hidup dalam tempoh lima tahun hanyalah sekitar 23.3 peratus.
Fakta kanser payudara:
- Kanser payudara menyebabkan kira-kira 670,000 kematian di seluruh dunia pada tahun 2022.
- Sekitar separuh daripada kes kanser payudara berlaku pada wanita tanpa faktor risiko tertentu selain jantina dan usia.
- Pada tahun 2022, kanser payudara merupakan kanser paling lazim dalam kalangan wanita di 157 daripada 185 negara.
- Kanser payudara berlaku di setiap negara di dunia.
- Kira-kira 0.5% hingga 1% kes kanser payudara berlaku dalam kalangan lelaki.
Sebab itulah, wanita perlu tahu apakah tanda tanda kanser payudara.
Dengan mengetahui punca kanser payudara dan kesan kanser payudara tahap awal, pesakit boleh dapatkan rawatan segera bagi peluang kesembuhan yang lebih tinggi.
Antara simptom kanser yang jarang diketahui umum ialah:
1. Kulit sekitar payudara mula berubah
Benjolan atau ketulan bukanlah satu-satunya petanda kanser payudara. Tidak dinafikan, ramai wanita yang bertindak mengabaikan tanda-tanda lain, salah satunya adalah perubahan pada kawasan kulit sekitar payudara.
Antara tanda tanda kanser payudara tahap awal ialah perubahan dari segi warna dan tekstur kulit payudara. Kulit juga boleh berkedut atau berlubang seakan-akan kulit oren.
Jadi, jangan sesekali anggap perubahan pada kulit adalah perkara biasa atau berlaku disebabkan faktor usia.
Lakukan pemeriksaan lanjut untuk ketahui punca sebenar kulit di kawasan payudara berubah.
2. Payudara rasa ‘panas’
Jika anda sering alami kegatalan atau rasa ‘panas’ pada kawasan payudara, jumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Simptom di atas merupakan antara tanda tanda kanser payudara yang juga dikenali sebagai inflammatory breast cancer (IBC)
Tanda-tanda IBC hampir sama dengan keradangan kulit biasa.
Lakukan pemeriksaan lanjut sekiranya kegatalan pada payudara tidak berkurangan walaupun selepas mengambil ubat-ubatan yang disarakan pakar.
3. Puting berubah bentuk
Antara tanda tanda kanser payudara lain ialah perubahan pada bentuk puting. Pesakit mungkin alami masalah puting termasuk ke dalam atau berubah bentuk.
Sekiranya keluar sebarang cecair daripada puting, lebih-lebih lagi jika anda tidak hamil atau sedang menyusukan anak, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.
4. Rasa tidak selesa di bawah ketiak
Kadangkala, kesakitan pada kawasan dada atau bawah ketiak merupakan petanda kanser payudara tahap awal.
Sesetengah orang mungkin mengalami pembengkakan di bawah ketiak sebelum benjolan atau ketulan payudara dikesan.
[embed-health-tool-ovulation]
5. Perubahan saiz atau bentuk payudara
Ketulan pada payudara yang berlaku disebabkan kanser boleh menekan tisu sehingga berlakunya perubahan saiz.
Sekiranya payudara jadi kendur, berubah saiz atau mempunyai bentuk tidak sekata, jumpa doktor secepat mungkin. Ia boleh menjadi tanda ada kanser payudara.
6. Ada ketulan kecil di sekitar ketiak atau leher
Ada kemungkinan, pesakit akan merasai ketulan atau benjolan di kawasan bawah lengan dan leher terlebih dahulu, kemudiannya barulah merasai ketulan pada payudara.
Jangan lupa, kanser boleh merebak dan menjangkiti organ lain. Jika anda mempunyai benjolan di kawasan bawah lengan, pastikan anda lakukan pemeriksaan secepat mungkin.
Jika pada awalnya ada ketulan pada bawah lengan, kemudian muncul pula ketulan di bawah leher, ia boleh menjadi petanda kanser payudara merebak.
7. Rasa lesu tanda tanda kanser payudara
Bagi sesetengah individu, mereka mungkin akan rasa penat atau lesu yang melampau hingga hilang selera makan.
Selalunya, ini merupakan tanda badan sedang melawan jangkitan yang serius.
Sekiranya simptom ini disertai dengan ketidakselesaan pada kawasan buah dada, lakukan pemeriksaan doktor secepat mungkin.
- Sejarah keluarga & genetik: Mutasi gen seperti BRCA1 dan BRCA2.
- Usia & hormon: Risiko kanser meningkat dengan usia.
- Gaya hidup: Obesiti, kurang aktiviti fizikal dan pengambilan alkohol berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser payudara.
- Sejarah penyakit payudara: Risiko meningkat sekiranya pernah mengalami hiperplasia atau kanser payudara tidak invasif.
Kesimpulan
Semua wanita perlulah peka akan perubahan yang berlaku pada tubuh mereka. Jangan sesekali abaikan tanda tanda kanser payudara, misalnya perubahan pada kawasan kulit, rasa gatal atau sakit di kawasan buah dada.
Dengan cara mengesan kanser payudara dan rawatan awal, ia boleh dirawat dengan lebih berkesan. Ingatlah, kesedaran tentang tanda tanda kanser payudara boleh menyelamatkan nyawa.