backup og meta

Resit Pembelian Punca Kanser Payudara, Ini Sebabnya Anda Perlu Guna Bahan Bebas BPA

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/05/2022

    Resit Pembelian Punca Kanser Payudara, Ini Sebabnya Anda Perlu Guna Bahan Bebas BPA

    Pada awal tahun 2019, pakar perubatan di United Kingdom (UK) telah memberikan amaran bahawa setinggi 90 peratus (%) kertas resit pembelian mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser.

    Pernyataan tersebut dibuat selepas kajian baharu memaparkan dapatan yang mengejutkan berkaitan dengan penggunaan bahan karsinogen di dalam pembuatan resit.

    Dalam kajian tersebut, penyelidik melihat sama ada bahan kimia yang diberi nama bisphenol A (BPA), boleh didapati di kedai atau lokasi urusniaga lain yang melibatkan penggunaan resit pembelian.

    BPA digunakan secara meluas dalam pembuatan plastik dan resit.

    Ia kini tidak lagi digunakan secara meluas kerana kebimbangan kesihatan berkaitan dengan pendedahan kepada bahan kimia tersebut.

    BPA dikatakan boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan, seperti obesiti, penyakit jantung, kanser prostat dan kanser payudara, berikutan ia boleh mengganggu kesan hormon tertentu.

    Walaupun secara objektifnya masih tiada bukti yang kukuh menunjukkan peranan BPA dalam proses patologi kanser, beberapa persatuan kesihatan di serata dunia telah mengenakan larangan terhadapnya.

    Sebagai contoh, Persatuan Kanser Payudara di UK telah melaungkan bantahan penggunaan BPA sebagai bahan pembuatan bungkusan makanan dan minuman.

    Perkara ini, walaupun tidak mempunyai bukti yang kukuh, masih boleh membuatkan kita berfikir sejenak.

    Adakah penggunaan BPA dalam kertas resit boleh mempengaruhi tahap kesihatan seperti menyebabkan kanser payudara dan sebagainya?

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.  

    Kajian penyelidik buktikan resit pembelian mengandungi bahan kimia BPA

    kanser payudara

    Sekitar Jun 2017 sehingga Ogos 2017, penyelidik dari universiti di Sepanyol, Perancis dan Brazil telah membuat kajian makmal bagi memeriksa kandungan BPA pada resit.

    Ia melibatkan pemeriksaan 112 sampel kertas terma (thermal paper) yang diambil dari negara-negara tersebut.

    Kertas terma yang dijadikan bahan kajian termasuklah resit kad bank, resit kedai makanan, resit restoran, tiket pejabat pos, tiket pengangkutan awam, tiket tempat letak kereta dan resit kedai lain.

    Semua resit tersebut telah diambil secara rawak dan ujian kimia telah digunakan bagi menganalisis kandungan bahan buatannya.

    Mereka juga telah mengambil ekstrak daripada sampel kajian untuk diuji pada sel yang telah dikulturkan di dalam makmal.

    Melalui kaedah tersebut, mereka dapat melihat kesan bahan yang digunakan untuk membuat resit terhadap aktiviti hormon manusia.

    Melalui kajian tersebut, penyelidik mendapati purata 75.9% sampel resit mengandungi BPA.

    Ia merangkumi 51.1% resit yang diambil dari Perancis, 90.9% resit yang diambil dari Brazil dan 95.3% resit yang diambil dari Sepanyol.

    Bagi resit yang diambil dari negara Perancis, kira-kira 21.3% mengandungi bahan pengganti kepada BPA yang dikenali sebagai BPS.

    Anda mungkin berminat:

    Secara umumnya, jumlah kepekatan BPA bagi resit yang diambil dari setiap negara adalah seperti berikut:

    • Resit dari Perancis mengandungi 1.36mg/g BPA
    • Resit dari Sepanyol mengandungi 7.91mg/g BPA
    • Resit dari Brazil mengandungi 8.79mg/g BPA

    Mereka yang terlibat menguruskan resit pembelian seperti pekerja kedai telah didapati mempunyai paras BPA yang tinggi di dalam air kencing.

    Bahan pengganti BPA iaitu BPS juga tidak digalakkan penggunaannya berikutan kebolehan bahan kimia itu untuk mengganggu aktiviti hormon.

    Melalui kajian tersebut, kesemua sampel yang diambil dari negara Brazil dan Sepanyol telah dibuktikan mempunyai kebolehan untuk menganggu aktiviti hormon estrogen. Bagi negara Perancis pula, hanya 74.5% yang menunjukkan kesan perubahan hormon.

    Menurut saintis yang terlibat dengan kajian itu, bagi sampel resit dari Perancis yang tidak menunjukkan kesan perubahan hormon, ia tidak mengandungi sebarang bahan kimia BPA ataupun BPS.

    Perkara ini jelas menunjukkan kesan penggunaan bahan BPA atau BPS terhadap sistem fisiologi manusia.

    Apa yang perlu dilakukan untuk mengelak pendedahan terhadap resit BPA?

    resit pembelian

    Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi memastikan anda terhindar dari kesan perubahan yang boleh disebabkan oleh BPA.

    Antaranya adalah:

    1. Jangan gores kertas terma dan syarat menggunakan duit syiling atau klip kertas.
    2. Jika boleh, jangan ambil resit pembelian.
    3. Gunakan resit online yang boleh diterima melalui emel atau mesej. Kebanyakan kedai di luar negara sudahpun menggunakan kaedah ini.
    4. Jika anda perlu memegang resit, pegang pada permukaan tidak berkilat pada bahagian belakang. Ia mengandungi kepekatan BPA yang rendah.
    5. Simpan resit sebaiknya. Jika ia resit penting, gunakan sampul surat.
    6. Basuh tangan anda selepas menguruskan resit menggunakan air dan sabun.
    7. Jika boleh, pakai sarung tangan getah jika anda bekerja menguruskan resit pembelian.
    8. Jangan gunakan sanitizer selepas menyentuh resit terma. Eksperimen oleh Dr Vom Saal menunjukkan, paras BPA meningkat 185 lebih tinggi sekiranya anda menggunakan produk kulit seperti pelembab, sanitizer dan krim pelindung matahari.

    Konklusi

    Walaupun tidak dibuktikan secara jelas peranan BPA dalam menyebabkan kanser, namun ia tetap boleh membawa kemudaratan berikutan keupayaannya dalam mempengaruhi aktiviti hormon.

    Masalah kesihatan seperti kanser payudara, kanser prostat dan masalah jantung boleh berlaku disebabkan oleh pendedahan kronik terhadap bahan kimia tersebut.

    Oleh itu, jika anda perlu menggunakan bahan yang mengandungi BPA, pastikan anda mengikut tip yang telah kami senaraikan di atas.

    Justeru, rujuk doktor perubatan sekiranya anda bimbang risiko terhadap pendedahan BPA.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan