Oktober datang lagi! Buat anda yang mungkin masih belum tahu, ini bermaksud bahawa kita semua sudah memasuki Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.
Bulan ini adalah sangat penting bagi merancakkan lagi segala program dan kempen kesedaran mengenai kanser yang sangat berbahaya buat kaum wanita ini.
Antara yang sedang hangat diperkatakan kini adalah #UnPause. Apakah ia? Bagaimana ia akan membantu? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.
Wanita & kanser payudara
Untuk pengetahuan anda, penyakit kanser payudara merupakan jenis barah yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di negara kita.
Ini sekali gus menjadikannya antara penyakit yang sangat berbahaya buat golongan perempuan selain kanser rahim, kanser serviks dan sebagainya.
Statistik terkini mencatatkan 1 daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia manakala di Eropah pula 1 daripada 8 orang wanita berisiko untuk didiagnosis dengan penyakit yang sama.
Jumlah yang memang sangat menakutkan bukan?
Apa simptom yang akan berlaku?
Bagi mengelak dan merawat ia dengan lebih cepat, adalah wajar untuk kita mengenal simptom-simptom kanser payudara ini terlebih dahulu:
- Timbul ketulan/ benjolan pada payudara
- Rasa sakit pada payudara
- Rasa gatal pada payudara
- Bentuk payudara seakan berubah
- Puting payudara seakan berubah
- Kulit sekitar payudara merosot dan berkedut
Usia bukan penentu?
Mungkin masih ramai individu di luar sana yang beranggapan bahawa penyakit ini hanya akan terjadi apabila sudah mencapai usia emas kelak bukan? Anda salah!
Meskipun kebanyakan wanita dikesan menghidap kanser payudara ketika umur mereka sudah menginjak 50 tahun, namun masih ada kemungkinan perempuan yang lebih muda menghidapinya juga.
Ya, usia memang salah satu daripada faktor risiko penyakit kanser payudara namun terdapat pelbagai lagi faktor lain yang akan meningkatkan kemungkinan wanita menghidapinya ketika usia muda.
Lelaki juga boleh kena?
Adakah penyakit ini hanya berbahaya buat kaum wanita sahaja? Bagaimana pula dengan kaum lelaki?
Jangan sangka kalian boleh terlepas daripada kemungkinan terkena kanser payudara jika anda bernama lelaki kerana ia juga mungkin boleh terjadi kepada anda!
Meskipun kemungkinan tersebut adalah kecil, namun tidak seharusnya kalian memandang enteng akan penyakit ini.
Menurut statistik terkini, 1% daripada jumlah penghidap kanser payudara adalah daripada golongan lelaki.
Apa itu kanser payudara metatistik (mBC)?
Mungkin masih ramai yang belum tahu tentang mBC ini bukan? Untuk pengetahuan anda, ia adalah singkatan kanser payudara metatistik.
Pun begitu, tidak pelik jika kalian belum tahu mengenainya kerana kaji selidik menyatakan tiga daripada lima responden tidak tahu langsung mengenainya.
Ia adalah satu tahap kanser payudara yang paling serius kerana sel kanser telah menular dan merebak ke organ lain di dalam tubuh badan pesakit.
Ia juga adalah antara penyakit yang tiada penawar lagi dan merupakan punca kematian kedua tertinggi disebabkan oleh kanser dalam kalangan wanita.
Lebih daripada 30 peratus wanita yang menghidapi kanser payudara tahap awal akan mendapat kanser payudara metastatik walaupun kanser ini berjaya dikesan lebih awal.
“Ini bukanlah perkara yang mudah dihadapi. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan takut, gelisah, dan resah yang dialami seorang pesakit mBC. Tidur mereka akan terganggu dan perasaan panik akan kerap muncul kerana mereka menganggap diagnosis mBC merupakan hukuman mati.
Mereka akan mula risaukan tentang semua tanggungjawab mereka. Namun begitu, mereka harus tahu bahawa hidup mereka tidak berhenti selepas diagnosis mBC dan mereka masih boleh terus hidup dengan sepenuhnya’, memetik ucapan Ranjit Kaur, Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia.
Pandemik COVID-19 memburukkan lagi penyakit ini?
Bukan sahaja penyakit kanser payudara tahap mBC itu sahaja sudah cukup teruk, malahan pandemik COVID-19 yang kita sedang alami kini makin memburukkannya lagi.
Ini kerana kebanyakan pesakit sudah mula berasa takut dan gentar untuk ke hospital dan menjalani rawatan susulan ekoran risau akan dijangkiti wabak ini.
Berdasarkan kaji selidik Cancer Research Malaysia pada April 2020, hampir separuh daripada pesakit risau untuk mengunjungi hospital ketika ini.
Ini adalah satu perkara yang tidak sewajarnya terjadi!
Bulan kesedaran kanser payudara 2020
Sehubungan dengan itu, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) bersama Pfizer Malaysia telah melancarkan kempen #UnPause.
Ia merupakan suatu inisiatif untuk membantu memperkasakan kehidupan pesakit kanser payudara metastatik, meningkatkan kesedaran mBC dalam kalangan warga masyarakat, serta membendung gangguan rawatan disebabkan wabak COVID-19.
3 objektif utama kempen ini adalah:
- Menggunakan langkah digital bersepadu dengan adanya hab maklumat digital untuk pesakit, penjaga, dan juga pakar penjagaan kesihatan bagi menangani masalah tahap kesedaran rendah masyarakat terhadap kanser payudara metastatik
- Mewakili suara pesakit mBC dalam perbualan naratif kanser payudara
- Menggesa pesakit mBC untuk teruskan rawatan mereka semasa wabak COVID-19
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia pada tahun ini, marilah kita bersama-sama memperkasakan kempen #UnPause ini.
Ini bertujuan bagi memberi semangat kepada pesakit kanser payudara untuk terus menjalani rawatan di era pandemik COVID-19 yang sedang berleluasa.