backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Kanser Payudara Sinonim Dengan Wanita, Tapi Remaja Perempuan Berisiko Juga Ke?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/09/2021

    Kanser Payudara Sinonim Dengan Wanita, Tapi Remaja Perempuan Berisiko Juga Ke?

    Sekiranya anda seorang remaja perempuan, anda mungkin berasa bimbang akan risiko untuk mendapat barah payudara.

    Menghidap barah payudara ketika masih remaja sebenarnya jarang berlaku. Ia juga jarang berlaku pada wanita berusia 20-an dan 30-an.

    Sebilangan besar kanser payudara didiagnosis pada golongan wanita yang berusia lebih daripada 50 tahun.

    Perubahan pada payudara

    Sebenarnya, adalah normal bagi payudara anda untuk berubah ketika memasuki usia remaja, terutamanya setelah akil baligh.

    Selain itu, peningkatan dan penurunan hormon wanita, seperti estrogen dan progesteron, juga boleh menjadikan payudara anda agak sakit.

    Ia juga mampu menyebabkan beberapa benjolan dan lebam di kawasan payudara anda ketika haid anda datang dan boleh berlanjutan setiap bulan.

    Mungkinkah benjolan itu bersifat kanser? Tidak mungkin kerana hampir tidak pernah didengar lagi kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun ke bawah untuk menghidap barah payudara.

    Ketulan pada bahagian payudara

    bagaimana-untuk-berpakaian-cantik-apabila-mempunyai-kanser-payudara

    Kadang-kadang, individu remaja atau pada usia awal dewasa mungkin menemui benjolan-benjolan kecil di tisu payudara.

    Walau bagaimanapun, benjolan ini yang dikenali sebagai fibroadenoma selalunya tidak bersifat kanser (cancerous), dan ia biasanya disebabkan oleh turun naik hormon yang normal.

    Justeru, benjolan yang bukan bersifat kanser terjadi pada individu yang lebih muda sering akan hilang secara sendirinya.

    Walau bagaimanapun, jika ada individu remaja yang mengalami perkara-perkara berikut, dinasihatkan untuk membuat janji temu dengan doktor:

    • Tisu pada bahagian payudara mula berasa sakit dan rasa tersebut bukanlah sakit biasa yang terjadi ketika haid
    • Payudara menjadi bengkak, berwarna kemerahan atau panas ketika disentuh
    • Puting mula mengeluarkan cecair atau darah
    • Benjolan mulai merebak ke bahagian ketiak atau tulang selangka

    Fibroadenoma mampu menyumbang 91% daripada semua jisim payudara remaja perempuan yang berumur 19 tahun ke bawah.

    Selain itu, ketulan payudara yang jarang terjadi pada remaja termasuklah sista, yang merupakan kantung berisi cecair bukan bersifat kanser.

    Ia boleh terjadi dengan perbuatan seperti memukul atau mencederakan tisu payudara, sama ada semasa terjatuh atau ketika bersukan, ini juga boleh menyebabkan berlakunya ketulan.

    Gejala-gejala barah payudara pada remaja

    Tumor kanser payudara boleh terasa berbeza daripada ketulan normal lain yang mungkin anda rasakan di payudara.

    Berikut adalah beberapa perkara yang mungkin menunjukkan benjolan bersifat barah:

    • Rasanya keras
    • Terasa melekat pada dada dan tidak bergerak
    • Ukurannya yang pelbagai daripada ukuran kacang sehingga lebar jari orang dewasa
    • Mungkin boleh jadi menyakitkan

    Penyebab barah payudara pada remaja

    Para doktor tidak sepenuhnya yakin apa yang menyebabkan kanser payudara dalam kalangan remaja kerana statistik kes yang begitu sedikit.

    Secara umum, barah dalam kalangan kanak-kanak berkembang kerana perubahan sel dan DNA yang berlaku pada awal kehidupan.

    Perubahan ini bahkan boleh berlaku semasa masih dalam kandungan.

    Persatuan Kanser Amerika juga menyatakan kanser dalam kalangan kanak-kanak tidak banyak dikaitkan dengan faktor persekitaran dan gaya hidup seperti merokok atau makanan yang tidak sihat.

    Tetapi jika anda mendedahkan tingkah laku tidak sihat ini sejak awal, risiko untuk dapat barah payudara adalah tinggi ketika lebih tua.

    Mendiagnosis kanser payudara pada remaja

    Sekiranya merasakan sesuatu yang aneh pada payudara anda, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat.

    Ketika hendak melakukan pemeriksaan payudara, doktor anda akan bertanya mengenai:

    • Sejarah perubatan keluarga anda
    • Masa anda menemui benjolan itu
    • Sama ada berlaku pengeluaran cecair dari puting
    • Sekiranya benjolan itu menyakitkan

    Sekiranya ada yang kelihatan mencurigakan, doktor akan meminta anda menjalani ujian ultrabunyi.

    Ujian ini menggunakan gelombang bunyi untuk melihat ke dalam payudara anda. Ia dapat membantu menentukan sama ada benjolan itu padat, yang merupakan tanda barah.

    Jika berisi cecair, kemungkinan besar ia menunjukkan sista. Doktor anda juga boleh memasukkan jarum halus ke dalam benjolan untuk mengeluarkan tisu dan mengujinya untuk barah.

    Melakukan pemeriksaan sendiri

    kanser payudara

    Melakukan pemeriksaan payudara sendiri untuk merasa sebarang ketulan dan perubahan lain dapat membantu para wanita mengesan tanda-tanda awal barah payudara.

    Yang lebih penting bagi mencari perubahan pada payudara adalah dengan mengenal pasti dahulu bagaimana keadaan payudara yang normal.

    Selain itu, golongan wanita termasuk para remaja juga harus menjalani pemeriksaan payudara seperti ultrabunyi atau mamogram secara berkala di klinik atau hospital berdekatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan