backup og meta

9 Perkara Ini PERLU Anda ELAK Ucapkan Pada Pesakit Kanser! Bertimbang Rasa, Please

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/09/2021

    9 Perkara Ini PERLU Anda ELAK Ucapkan Pada Pesakit Kanser! Bertimbang Rasa, Please

    Sama seperti insan lain, individu dengan penyakit barah juga mempunyai hati dan perasaan. Jangan lafazkan 9 perkara ini jika anda menziarahi mereka, okay?

    Menyokong emosi penghidap penyakit barah

    Seandainya salah seorang ahli keluarga mahupun rakan anda menghidap barah atau kanser, anda mungkin tertanya-tanya cara terbaik untuk menyokongnya.

    Adakalanya anda mungkin berasakan mahu memberi sokongan moral atau bantuan, tetapi sukar untuk mengetahui apa yang harus dikatakan atau dilakukan.

    Apatah lagi dalam keadaan mereka terpaksa berdepan penyakit barah, pastinya emosi akan menjadi mudah tersentuh dan sensitif.

    Kadangkala anda mungkin buntu dan tidak tahu apa yang patut diucapkan atau jangan lafazkan kepada mereka. 

    Pastinya anda ingin mengetahui apa yang harus dan perlu dielakkan daripada diucapkan kepada pesakit kanser, bukan?

    Sempena dengan Hari Mawar Sedunia, didedikasikan khas untuk Kebajikan Pesakit Kanser yang disambut setiap 22 September, berikut perkara yang patut diucap dan jangan lafazkan kepada mereka.

    Jangan lafazkan ini kepada individu dengan penyakit barah

    jangan lafazkan

    Kita mulakan dahulu dengan apa yang tidak patut diucapkan kepada mereka, okay?

    Berikut 9 perkara termasuk dalam ‘jangan lafazkan’ kepada pesakit barah, harus anda ketahui, antaranya:

    1. Jangan memperkecilkan perubahan fizikal pesakit dengan melafazkan ungkapan seperti “Sekurang-kurangnya anda dapat menurunkan berat badan“.

    2. Jangan bercakap tentang pesakit lain dengan penyakit barah yang serupa, walaupun mereka bernasib baik – tidak ada keadaan kanser yang serupa.

    Pun begitu, ia tidak menjadi kesalahan jika anda bertanya sama ada pesakit ingin bercakap dengan orang lain yang mengalaminya.

    3. Jangan lafazkan pada pesakit bahawa mereka bernasib baik kerana menghidap sejenis barah daripada yang lain, ia seperti merendahkan apa yang dialami oleh individu tersebut.

    Seperkara yang perlu anda ingat, tidak ada yang bernasib baik kerana menghidap barah walaupun itu adalah barah yang ‘baik’.

    4. Elakkan daripada mengucapkan “Saya tahu bagaimana perasaan anda” sedangkan anda tidak pernah mengalaminya.

    Lebih baik bertanya, “Adakah anda ingin berkongsikan sesuatu tentang pengalaman atau perasaan, bagaimana penyakit barah ini mempengaruhi kehidupan?”

    5. Usah menawarkan sebarang maklumat mengenai rawatan atau rujukan tanpa pengesahan doktor atau pakar serta yang boleh dipertikaikan.

    6. Hindari daripada mengatakan bahawa gaya hidup tertentu individu tersebut yang harus disalahkan sebagai punca kanser, walaupun ia mungkin menjadi penyebabnya.

    Menyalahkan sesuatu tidak akan mengubah apa yang sudah terjadi, ia sememangnya tidak membantu. 

    Banyak faktor mempengaruhi risiko barah; walaupun bagi perokok seumur hidup, menghidap barah boleh dianggap 1 keadaan kurang bernasib baik.

    7. Tidak perlu meminta pesakit kanser untuk kekal positif. Ini kerana ia boleh menimbulkan rasa yang bercampur-baur kepada pesakit jika keadaan tidak berjalan lancar.

    Lebih baik anda katakan, “Saya sentiasa ada di sini untuk anda tidak kira apa yang berlaku,” dan maksudkannya. 

    Jangan pula sekadar menanam tebu di pinggir bibir, ya?

    8. Jangan tanya mengenai prognosis – ramalan, pernyataan doktor tentang kemungkinan sebab-sebab sesuatu penyakit. 

    Sekiranya pesakit memberikan maklumat itu secara sukarela, ia tidak mendatangkan masalah untuk membincangkan lebih jauh mengenai implikasinya.

    Jika tidak, pendam dan tahan sahaja rasa ingin tahu anda yang membuak-buak itu. 

    9. Sememangnya tiada salah untuk mengatakan, “Saya sangat menyesal ini terjadi kepada anda”.

    Tetapi sebaiknya, usah bebankan individu yang menghidap penyakit barah dengan perasaan atau emosi yang anda alami. 

    Sekiranya berasa hiba berinteraksi dengan seseorang yang menghidap barah, lebih baik mengatakan, “Saya tidak tahu apa yang harus dikatakan”.

    Itu adalah lebih baik daripada tidak mengatakan apa-apa atau untuk mengelakkan individu tersebut sepenuhnya.

    Ini kerana mereka mungkin berasa seperti diabaikan atau dipinggirkan dan akan menganggap anda seperti tidak kisah tentang apa yang terjadi.

    Apa yang patut dilakukan kepada pesakit kanser?

    pesakit kanser

    Umumnya, anda boleh memberi respons dengan sesuatu yang ringkas dan ikhlas.

    Ungkapan seperti “Saya sangat menyesal mendengar diagnosis anda. Saya mahu berada di sisi anda. Bagaimana keadaan anda?”

    Selain itu, ada 2 tip disarankan, iaitu:

    # Pinjamkan bahu dan telinga anda

    Cuba yang terbaik untuk mengurangkan tekanan itu dan beritahu bahawa mereka boleh bercakap mengenai apa sahaja yang dilalui.

    Selain daripada bertanya: “Apa khabar?” atau “Bagaimana keadaan anda?”, mungkin anda boleh menjadi lebih spesifik. 

    • “Bagaimana ujian terakhir?”
    • “Bagaimana rawatan terakhir?”
    • “Bagaimana keadaan hari ini?”

    Adakalanya, pesakit mungkin akan bosan bercakap tentang diagnosis mereka. Kenal pasti petunjuk daripada mereka.

    Sekiranya mereka menukar subjek, mungkin anda boleh lebihkan untuk bercakap mengenai kehidupan normal. Kadang-kadang itulah yang mereka perlukan.

    # Menghulurkan bantuan

    Anda mungkin mahu menolong memudahkan kehidupan mereka yang menghidap penyakit barah.

    Tetapi jangan lafazkan bahawa anda boleh menolong apa yang mereka perlukan, jika anda tidak benar-benar memaksudkannya.

    Jadi lebih spesifik dengan tawaran anda untuk membantu, seperti:

    • “Bolehkah saya memotong rumput di laman rumah anda hujung minggu ini?”
    • “Saya ingin membantu untuk menghantar dan mengambil anak-anak anda ke sekolah atau aktiviti luar yang lain.”
    • “Saya boleh menolong untuk menghantar ke temu janji doktor jika anda memerlukannya. Bila tarikh temu janji doktor yang seterusnya?”
    • “Adakah anda memerlukan bantuan untuk membeli barangan runcit atau keperluan harian?”

    pesakit barah

    Kekalkan perhubungan dengan individu menghidap penyakit barah

    Hanya kerana anda tidak tahu apa yang hendak dikatakan tidak bermakna anda harus mengelakkan individu tersebut.

    Jangan berhenti mengajak mereka melakukan sesuatu. Kadangkala, setelah rawatan selesai, keperluan emosi adalah yang paling tinggi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan