Khasiat akar seruntun yang sebenar
Terdapat beberapa kajian praklinikal yang telah dijalankan bagi melihat keberkesanan herba akar ini terhadap beberapa penyakit.
Antaranya ialah penyakit diabetes, kecacingan dan keradangan.
#1. Khasiat ke atas penyakit diabetes
Bagi penyakit diabetes, beberapa hasil kajian ada menunjukkan bahawa ekstrak akar ini mempunyai potensi dalam merawat diabetes jenis 2 yang telah dijalankan ke atas tikus.
Namun, bagi kajian klinikal yang dijalankan ke atas penghidap diabetes, tidak terdapat sebarang perbezaan yang signifikan terhadap dua kumpulan responden iaitu yang menerima ekstrak herba patawali dan kumpulan plasebo.
Ini bermakna, akar ini tidak memberikan sebarang kesan terhadap penyakit diabetes yang sedang mereka alami.
#2. Merawat keradangan
Bagi penyakit keradangan pula, ekstrak daripada akar pokok ini telah menunjukkan sifat antiradang yang baik.
Selain itu, ekstrak akar ini juga dilihat mempunyai aktiviti anticholinerase, yang mana ia berpotensi sebagai kaedah rawatan bagi penyakit nyanyuk.
Namun kajian ini hanya di peringkat praklinikal sahaja, dan keputusan mungkin akan menunjukkan hasil yang berbeza apabila dijalankan ke atas manusia.
#3. Merawat masalah kecacingan
Antara khasiat akar seruntun yang lain ialah berpotensi merawat masalah kecacingan.
Tumbuhan ini dikatakan berkesan mengubati masalah kecacingan dalam kalangan kanak-kanak.
Caranya adalah dengan merebus batang pokok ini, seterusnya ditapis dan diminum sebanyak satu gelas setiap hari.
Mempunyai kesan toksik jika diambil berlebihan

Tahukah anda, tumbuhan ini juga boleh menyebabkan kesan toksik kepada tubuh badan jika diambil dengan kuantiti yang banyak?
Dos akar seruntun yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kesan toksik kepada hati dan buah pinggang manusia, dan ini sangat membahayakan.
Terdapat satu kajian yang melaporkan mengenai kes keradangan hati dan hepatitis terhadap manusia.
Ini berikutan pesakit tersebut telah mengambil ekstrak tumbuhan patawali ini bagi merawat penyakit malaria yang dialaminya.
Namun, fungsi hati pesakit tersebut telah kembali normal setelah dua bulan menghentikan pengambilan ekstrak akar ini.
Kesimpulan
Banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan potensi herba ini dalam merawat beberapa jenis penyakit.
Namun, kebanyakan daripada kajian ini hanyalah di peringkat praklinikal iaitu kajian makmal yang dijalankan ke atas haiwan.
Walaupun hasil kajian praklinikal dilihat agak baik dan menjanjikan, namun keputusannya mungkin akan berbeza sewaktu kajian lanjutan dijalankan ke atas manusia.
Tambahan pula, kita perlu mengetahui kuantiti dos yang diambil agar ia tidak menyebabkan ketoksikan kepada organ hati.
Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum membuat keputusan untuk mengambil herba ini, lebih-lebih lagi jika anda menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung dan juga diabetes.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen