backup og meta

Bahaya Ke Jika Orang Tiada Diabetes Tercucuk Jarum Cek Kencing Manis?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/06/2022

    Bahaya Ke Jika Orang Tiada Diabetes Tercucuk Jarum Cek Kencing Manis?

    Hanya individu dengan diabetes sahaja yang akan guna jarum cek kencing manis untuk ukur kadar gula dalam darah mereka. Ia juga sudah jadi alat rutin dalam kehidupan.

    Alat ini sangat penting bukan sahaja untuk mengukur malah memantau kadar glukosa dalam tubuh badan. Dengannya, anda akan dapat tahu bila kadar gula darah meninggi dan memuncak.

    Namun, bagaimana pula jika individu tercucuk jarum tapi tiada menghidap diabetes?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.

    Apa itu alat jarum cek kencing manis?

    Untuk pengetahuan anda semua, alat yang juga popular dengan nama glukometer ini mampu untuk mengukur dan memantau kadar gula dalam darah di rumah anda sendiri.

    Pengukuran kepekatan glukosa dengan menggunakan alat berbentuk seperti picagari, pen dan jarum ini dapat memberikan keputusan yang lebih cepat, tepat lagi mudah.

    Ia turut mampu menjadi indikator awal sama ada anda menghidap kondisi diabetes jenis 1, jenis 2 atau pradiabetes. Namun, ujian dan rawatan klinikal masih lagi diperlukan.

    jarum cek kencing manis

    Terdapat banyak model serta jenama glukometer ini di pasaran dengan pelbagai saiz dan fungsi yang mesra pengguna. Jadi, sila beli dan gunakan alat yang ideal ini untuk anda.

    Sebarang kesilapan dalam hal penggunaan jarum cek kencing manis ini pula mungkin boleh membawa kepada diagnosis dan komplikasi yang berbahaya. Jadi, berwaspadalah ketika guna.

    Jangan pula keliru dengan jarum suntik insulin!

    Salah satu daripada cara untuk kawal dan rawat masalah diabetes adalah dengan suntikan insulin menggunakan jarum. Namun, ia tidak sama dengan jarum di atas tadi.

    Hakikatnya, jarum cek kencing manis berfungsi untuk mengukur dan memantau kadar glukosa sementara jarum suntik insulin berfungsi untuk menyuntik hormon insulin.

    Ia penting buat penderita diabetes jenis 1 yang tidak mampu menghasilkan insulin dengan cukup serta diabetes jenis 2 yang tidak mampu menggunakan insulin dengan baik.

    Cara alat ini berfungsi adalah dengan membolehkan tubuh badan menggantikan glukosa yang mungkin terlalu tinggi kepada tenaga. Dengannya, diabetes akan dapat dikawal.

    Sama juga dengan glukometer, alat suntik insulin ini juga perlu digunakan dengan cara dan pada orang yang betul sahaja. Dan jika tidak, maka wujud bahaya yang menanti.

    jarum cek kencing manis

    Senario tercucuk pada orang yang tiada diabetes

    Meskipun kes seperti ini sangat jarang berlaku, namun tidak mustahil juga untuk ia terjadi. Tenang, kami akan rungkai apa kesan jika ia tercucuk pada mereka yang tidak perlu.

    Jika ia jarum cek kencing manis…

    Sekiranya anda yang tiada diabetes namun tercucuk jarum cek kencing manis, ia tidak berbahaya. Ini kerana penyakit kencing manis itu tidak berjangkit melalui suntikan.

    Ketahuilah bahawa kondisi ini hanya akan berlaku kepada mereka yang tinggi faktor risiko seperti genetik serta yang mengamalkan pola makan dan gaya hidup yang tidak sihat atau lain-lain.

    Dalam pada itu, anda juga mungkin tidak sengaja akan dapat tahu tahap gula dalam darah anda pada ketika ini! Ia adalah satu langkah awal dalam membendung diabetes.

    Pun begitu, ada risiko penyakit bawaan virus seperti HIV, HPV, mahupun hepatitis tersebar jika pemilik sebenar jarum cek diabetes tersebut juga ada kondisi-kondisi yang ini.

    Jika ia jarum suntik insulin…

    Sekiranya anda yang tiada diabetes namun tercucuk jarum insulin, maka ia boleh bawa bahaya. Ini kerana anda tidak perlu bantuan atau rawatan daripada hormon insulin.

    Menurut Pakar Endokrinologi, Dr Manjunath Malige, ubat insulin yang diberikan kepada individu yang salah seumpama dadah. Kesannya, ia akan beri efek yang sangat bahaya.

    jarum cek kencing manis

    Apabila terjadi kes yang seperti ini, maka individu tersebut sudah pasti mengalami penurunan kadar glukosa yang sangat drastik (hipoglisemia) dan akan membawa dampak negatif.

    Akibatnya, ada risiko di mana ia akan membawa kepada koma atau dalam kes lebih teruk, maut! Disebabkan itu pula, suntikan insulin sangat perlu mengikut saranan daripada doktor.

    Dapatkan informasi dan nasihat daripada doktor

    Konklusinya, kedua-dua jenis jarum ini sangat penting dalam usaha untuk mengukur, memantau, mengawal, merawat dan mencegah diabetes daripada menjadi lebih teruk lagi.

    Apa yang perlu kita tahu dan faham adalah tatacara penggunaannya dengan betul. Ia penting agar tidak pula berlaku kes seperti tercucuk pada orang atau dos yang salah.

    Dapatkan informasi dan nasihat lebih lanjut daripada doktor sebelum atau semasa menggunakan alat-alat ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan