Semua individu pasti tahu maksud luka serta asas penjagaannya – iaitu dengan menghentikan pendarahan dan memastikan kawasan di sekitarnya bersih serta menggunakan balutan untuk mengelakkan kotoran.
Namun, masih terdapat banyak mitos dan kepercayaan karut tentang hal ini. Berikut adalah 5 mitos penjagaan luka yang paling popular:
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
5 mitos penjagaan luka yang anda tidak boleh percaya
Mitos 1: Anda perlu biarkan luka itu kering
Ini merupakan mitos yang paling popular. Secara logiknya, memang masuk akal untuk membiarkan kecederaan pada kulit kering kerana ia akan mula pulih apabila keruping muncul.
Namun, tahukah anda bahawa ia akan lebih cepat sembuh dalam persekitaran yang lembap?
Luka yang dibiarkan dalam keadaan lembap cenderung kurang mengalami keradangan, sekali gus akan sembuh lebih cepat berbanding jika ia dibiarkan dalam keadaan kering.
Salah satu cara untuk memastikan ia lembap adalah dengan menyapukan jeli petroleum2.
Ia membantu kecederaan kekal lembap dan dalam masa yang sama, berfungsi sebagai pelindung daripada jangkitan. Ini boleh membantu proses penyembuhan dan mengurangkan parut.
Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan hydrogel. Ia diperbuat daripada bahan sintetik yang akan membantu mengekalkan kelembapan tanpa menjejaskan tisu kulit yang tercedera.9
Pembalut yang lembap secukupnya merangsang pembentukan saluran darah baru di sekeliling luka.
Peningkatan saluran darah baru meningkatkan penghantaran nutrien dan penghasilan kolagen.
Tambahan pula, ia juga membantu membuang sel-sel mati dan serpihan.
Luka yang sembuh dengan baik akan menunjukkan pembersihan pigmentasi daripada sel-sel mati dan kekuatan serta tekstur luka yang lebih baik akibat peningkatan dalam penghasilan kolagen.
Ingatlah bahawa jika luka lambat sembuh atau dijangkiti kuman, jumpa doktor dengan segera.
Mitos 2: Perlu gunakan hidrogen peroksida atau sapuan alkohol
Mitos paling umum tentang penjagaan luka tercucuk, terhiris atau terbuka adalah hidrogen peroksida dan alkohol itu bagus digunakan untuk mencuci kulit yang tercedera.
Realitinya, penggunaan bahan-bahan kimia ini secara berlebihan mungkin mengakibatkan kecederaan lebih lambat pulih.
Walaupun alkohol3 dan hidrogen peroksida4 mampu membunuh bakteria serta mikroorganisme lain, namun kedua-dua bahan ini juga boleh menjejaskan dan melambatkan proses penyembuhan.
Alternatif yang lebih baik adalah dengan menggunakan air bersih dan iodin5.
Kedua-duanya berkesan menyingkirkan kotoran dan memastikan kawasan kulit bersih serta bebas kuman.
Mitos 3: Sapuan ubat gigi pada kecederaan melecur dan terbakar membuatkan ia cepat pulih
Secara logik akal, penggunaan ubat gigi pada kesan kebakaran di kulit mungkin wajar kerana ia mempunyai efek penyejuk.
Namun, sama seperti kaedah-kaedah yang lain, ia juga merupakan satu mitos.
Menggunakan ubat gigi pada kulit sebenarnya bakal memburukkan lagi keadaan, atau menciptakan persekitaran yang sesuai untuk bakteria membiak6.
Alternatifnya, hydrogel mungkin boleh membantu merawat kecederaan atau luka akibat melecur yang ringan kerana selain mempercepatkan penyembuhan, ia juga boleh menyejukkan dan melegakan rasa sakit.9
Namun, jika mengalami kecederaan kulit terbakar atau melecur yang parah, segera dapatkan rawatan daripada doktor.
Mitos 4: Gam kuat boleh menyembuhkan luka
Mitos penggunaan gam kuat untuk menutup dan merawat kecederaan kulit memang sangat luas tersebar.
Anda mungkin pernah terlihat dalam video atau kiriman media sosial yang menganggap ia sebagai pilihan rawatan.
Pun begitu, adalah tindakan yang sangat tidak bijak untuk anda membeli gam kuat di kedai serbaneka bagi merawat kulit yang tercedera.
Ia cuma akan membuat anda mengalami kebakaran kimia7 apabila gam ini terkena kulit, lantas memburukkan lagi keadaan.
Ini kerana gam kuat tidak mengandungi formulasi seperti mana cyanoacrylate untuk perubatan. Jika anda perlukan gam seperti itu, biarkan doktor anda yang membuat keputusan.
Mitos 5: Membalut kecederaan kulit akan membawa kepada jangkitan bakteria
Mitos popular terakhir, ramai percaya anda tidak perlu menggunakan pembalut untuk luka tangan, kaki dan mana-mana bahagian tubuh lain kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria.
Alasan untuk tidak menutup atau membalut kulit yang tercedera adalah, anda perlu membiarkan ia ‘bernafas’.
Pun begitu, cara ini tidak bagus untuk proses penyembuhannya8.
Penggunaan pembalut bersih bukan sahaja berfungsi untuk menutupi kecederaan bagi melindungi ia daripada bakteria dan kotoran, malahan juga mengekalkan kelembapan yang dapat melancarkan lagi proses penyembuhan.
Apakah langkah yang perlu anda pertimbangkan?
Terdapat 3 langkah mudah untuk membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka darah dengan berkesan.
Pertama, anda perlu membasuhnya dengan air bersih, kemudian menyahkuman kawasan kulit sekelilingnya dengan iodin atau apa-apa antiseptik.
Selepas itu, pertimbangkan untuk gunakan jeli petroleum, hydrogel atau ubat sapu antibiotik bagi memastikan ia kekal lembap dan bebas kuman.
Kelembapan itu juga mampu menyokong penyembuhan dan penghidratan.
Akhir sekali, gunakan balutan bagi melindunginya daripada bakteria dan kotoran.
Pastikan anda menukar pembalut sekali sehari dan sapukan semula ubatan bagi menyembuhkan luka.
Selepas ia mula sembuh, anda boleh mengelakkan pembentukan parut dengan menggunakan gel silikon yang mengandungi silikon CPX (cyclopentasiloxane) dan Vitamin C Ester bagi mencerahkan, melembutkan dan meratakan parut.10,11,12
Penafian: Artikel ini tidak bertujuan sebagai nasihat perubatan khusus. Jika anda mempunyai masalah luka dan parut, sila rujuk dengan pakar penjagaan kesihatan anda.
Artikel ini disokong oleh Menarini.
[embed-health-tool-bmi]