home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Tabu Dunia Sains Dan Perjuangan Seorang Doktor: Nukilan Sempena Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2019

Tabu Dunia Sains Dan Perjuangan Seorang Doktor: Nukilan Sempena Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2019

Sempena Hari Kebersihan Tangan Sedunia yang jatuh pada tanggal 5 Mei 2019, penulis ingin membawa pembaca untuk menyelami kisah perjuangan seorang doktor yang menentang ‘taboo’ berkaitan kebersihan tangan, yang dahulunya adalah suatu fahaman yang cukup kuat tentangannya daripada komuniti perubatan.

Dr Ignaz Semmelweis

Kisah yang membawa kita kepada konsep kebersihan tangan ini bermula dengan seorang doktor perubatan bidang Obstetrik daripada Hungary, Doktor Ignaz Semmelweis. Beliau merupakan seorang doktor yang ditugaskan untuk menjaga klinik-klinik Obstetrik di Hospital Awam Vienna bermula 1 Julai 1846. Institusi kesihatan ibu mengandung ketika itu disediakan sekitar Eropah bagi menangani masalah pembunuhan anak luar nikah atau tidak sah taraf. Sebagai pertukaran kepada servis percuma yang diberikan (khususnya kepada golongan miskin dan pelacur) oleh institusi ini, ibu-ibu ini perlu membenarkan pelajar, doktor dan bidan untuk berlatih skil penjagaan dan menyambut kelahiran ke atas mereka.

Terdapat dua klinik bawah jagaan beliau namun kedua-dua klinik ini mempunyai kadar mortaliti (kematian) yang berbeza, yang lazimnya akibat jangkitan rahim selepas bersalin – Klinik pertama mempunyai kadar mortaliti yang tinggi sebanyak 10% manakala yang kedua adalah bawah kadar 4%. Semmelweis dan orang awam turut mengetahui hakikat perbezaan kadar kematian antara dua klinik ini. Malahan, beliau pernah melaporkan ibu mengandung yang merayu agar tidak dimasukkan ke klinik pertama, mendorong mereka untuk bersalin di jalanan sahaja, kemudiannya mendakwa bahawa mereka bersalin ketika dalam perjalanan ke hospital. Tindakan ini lazim dilakukan kerana mereka masih boleh mendapat manfaat penjagaan bayi tanpa perlu dimasukkan ke klinik.

Apa yang menarik perhatian beliau adalah insiden jangkitan atau demam selepas bersalin (puerperal fever) bagi golongan yang bersalin di jalanan ini adalah jauh lebih rendah berbanding mereka di klinik. Ini mendorong Semmelweis untuk melakukan siasatan beliau tersendiri dalam mengenal pasti apakah pengaruh endemik kematian di kliniknya. Semmelweish mula menjejak persamaan dan perbezaan kedua-dua klinik dan mencari apakah suspek yang paling munasabah. Dengan teknik dan kemudahan yang sama, beliau sedar bahawa perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua tersebut adalah siapa yang berada di klinik-klinik tersebut. Klinik pertama melibatkan latihan untuk pelajar perubatan manakala klinik kedua telah dipilih untuk latihan khas bidan.

Semmelweis sudah mula mengesyaki sesuatu namun masih tidak dapat membuat kaitan antara kematian akibat demam dan jangkitan lepas bersalin, dengan doktor dan juga pelajar perubatan di klinik tersebut. Namun selepas kematian kawan baiknya pada tahun 1847, akibat dicucuk secara tidak sengaja menggunakan skalpel oleh seorang pelajar perubatan ketika sesi post-mortem, Semmelweis menemui persamaan antara corak dan patologi autopsi ke atas mayat kawannya dan juga dengan wanita-wanita yang mati akibat jangkitan lepas bersalin. Ini mendorong beliau untuk menghasilkan satu hipotesis bahawa berlakunya ‘kontaminasi kadaverik’ melalui penyebaran ‘zarah kadaver yang beracun’. Penyebaran ini berlaku apabila zarah kadaver yang berada pada tangan pelajar perubatan ini dibawa ke klinik bersalin untuk menyambut kelahiran bayi.

Perlu diingati, ketika ini, tidak wujud lagi ‘Germ Theory’ atau teori kuman, berlegar-legar di semua tempat termasuk pada tangan kita. Sehubungan itu, Semmelweis hanya mampu menyalahkan ‘zarah kadaver’ yang tidak diketahui ini sebagai suspek utama. Beliau kemudiannya memastikan semua orang, sebelum mendekati pesakit, perlu mencuci tangan mereka menggunakan solusi Kalsium Hipoklorit, kerana beliau perasan bahawa bau mayat yang busuk dapat dihilangkan dengan cecair ini, bermakna terdapat kemungkinan zarah kadaver juga dapat disingkirkan, menjamin kebersihan tangan. Tekaan beliau tepat sekali dan insiden kematian akibat demam dan jangkitan lepas bersalin turun menjunam sebanyak 90%, dan selepas syarat membasuh tangan sebelum dan selepas prosedur diperkenalkan, kadar mortaliti klinik pertama turun serendah 1.9%.

Namun yang demikian, hipotesis yang mengutamakan kebersihan, khususnya kebersihan tangan sebagai punca penyakit ini adalah sesuatu yang ekstrem ketika itu sehingga beliau bukan sahaja dipulau, bahkan dihina dan dihantar semula oleh Komuniti Perubatan Vienna kembali ke Budapest. Ini kerana fahaman komuniti perubatan ketika itu adalah penyakit-penyakit berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan ‘4 Humor’ yang digunapakai oleh ahli falsafah dan perubatan Greek dan juga Rom, di mana rawatan utama adalah untuk membuang darah bagi mengimbangi semula 4 Humor ini. Teori 4 Humor ini menjadi terlalu kuat dalam pegangan komuniti perubatan di Vienna sehinggakan apa-apa teori lain dilihat sebagai tabu, tidak masuk akal dan boleh ditolak mentah-mentah. Begitulah apa yang berlaku terhadap Semmelweis yang cuba memberi hipotesis baru dalam kejadian penyakit. Ini adalah fenomena yang dipanggil sebagai ‘Belief perseverance’ atau ketabahan kepercayaan, di mana mereka akan menolak apa-apa informasi baru yang bertentangan dengan sudut pandang dan kepercayaan turun-temurun mereka, sehingga mengalami Ketakserasian Kognitif (Cognitive Dissonance). Tambahan lagi, mereka tidak mampu untuk menerima hakikat bahawa ‘tangan-tangan kotor’ mereka telah membunuh ramai orang, maka lebih mudah untuk mereka nafikan sahaja agar hati dan jiwa mereka tenteram.

Semmelweis yang telah dipecat dan dibuang menjadi marah dan mula menulis surat kepada persatuan Obstetrik Eropah, menggelar mereka sebagai pembunuh. Namun nasib tidak menyebelahi beliau apabila lebih banyak herdikan dan serangan dilemparkan kepada beliau. Semua serangan dan penafian ini akhirnya mengganggu kesihatan mental beliau, sehingga beliau dimasukkan ke rumah sakit jiwa 20 tahun kemudian. Beliau meninggal dunia hanya 14 hari selepas dimasukkan akibat jangkitan darah.

Walau bagaimanapun, kehormatan ke atas nama beliau dikembalikan semula selepas itu, apabila Louis Pasteur, seorang ahli biologi Perancis yang terkenal, menyokong teori kuman dalam membawa kepada penyakit dan juga menggunakan teori ini untuk membangunkan kaedah yang sinonim dengan namanya – Pasturisasi. Sedikit demi sedikit, anak murid beliau mula menulis tentang kerja-kerja Semmelweis dan membentangkan syarahan di London, UK dan juga di Perancis.

Kini, Semmelweis dikenang sebagai bapa antiseptik dan kisah perjuangan beliau menentang tabu dalam komuniti perubatan kekal kuat sebagai contoh yang penting dalam ‘Intellectual Humility’. Beliau juga diberikan pelbagai kehormatan lain seperti klinik ibu mengandung di Vienna dan juga hospital di Hungary dinamakan sempena beliau, termasuk beberapa Universiti, filem dan karya ditulis sempena kisah beliau.

Selamat Menyambut Hari Kebersihan Tangan Sedunia dan semoga kita menghayati kemajuan dalam bidang perubatan yang telah kita kecapi.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
Social Medicine [Internet]. [cited 2019 May 6]. Available from: http://socialmedicine.info/index.php/socialmedicine
Ataman AD, Vatanoğlu-Lutz EE, Yıldırım G. Medicine in stamps-Ignaz Semmelweis and Puerperal Fever. J Turk Ger Gynecol Assoc. 2013 Mar 1;14(1):35–9.
Best M, Neuhauser D. Ignaz Semmelweis and the birth of infection control. BMJ Quality & Safety. 2004 Jun 1;13(3):233–4.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab Disemak pada 10/07/2020
Fakta Disemak oleh Dr. Shelby
x