Cuba ingat kembali bila kali terakhir anda tukar cadar tilam, sarung bantal dan selimut di bilik tidur. Jika baru sahaja, bagus! Ini kerana ia boleh menjadi tempat mikrob membiak dan merebak lantas memudaratkan tubuh badan. Persoalannya, berapa kali kena buat?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Habit Sihat, anda juga boleh klik di sini.
Cadar katil, tempat tinggal banyak kuman?
Selalu kita akan baca dan dengar bahawa tempat tidur kita juga merupakan tempat tinggal banyak kuman terutama kutu tilam. Popular dengan nama bed bugs atau dust mites, ia agak bahaya.
Selain menyebabkan kulit menjadi gatal dan merah angkara gigitan makhluk kecil ini, ia juga akan mengakibatkan reaksi alahan terutama jika individu itu ada masalah ekzema dan dermatitis.
Baca lagi artikel berkaitan:
- Badan Gatal-gatal Kena Gigit Pepijat? Ini Cara Atasinya
- Habis Satu Badan Gatal Gara-gara Tilam Penuh PEPIJAT! Apa Perlu Buat?
Dalam pada itu, cadar tilam anda juga mungkin boleh menjadi ‘rumah’ jutaan mikrob seperti yis, kulat, virus, bakteria termasuk Lactobacillus, Staphylococcus, Streptococcus dan E. Coli yang akan menjejaskan aspek kebersihan serta kesihatan individu.
Ditambah pula dengan kotoran bawaan sisa makanan dan minuman, sel kulit mati, peluh, bulu, daki dan bahan kimia lain, ini menunjukkan individu perlu kerap tukar cadar katil di kamar tidur.
Persoalannya, berapa kali anda kena tukar kain cadar di bilik tidur agar ia bebas daripada anasir kotor?
Ramai orang tukar kain cadar sebulan sekali sahaja!
Menurut kajian seliaan Mattress Advisor, kebanyakan individu yang tinggal di negara Uncle Sam hanya akan menukar cadar tilam mereka sekali setiap 24 hari atau lebih kurang sekali sebulan.
Apa yang lebih membimbangkan adalah mereka beranggapan bahawa cadar, sarung atau selimut itu hanya akan benar-benar kotor selepas lebih sebulan ia tidak dibasuh atau diganti yang baru.
“Memandangkan manusia tidak mampu mengesan bau tubuh badan diri sendiri, kita semua mungkin tidak sedar bahawa tempat tidur kita sudah berbau hapak dan busuk akibat kewujudan mikrob dan anasir jahat yang lain,” jelas Pakar Penyakit Berjangkit, Dr. Laura Goodman.
Hakikatnya, individu tidak boleh menunggu sehingga cadar katil anda berbau atau berwarna aneh sebelum ia dibasuh atau diganti yang baru. Ini adalah persepsi yang bakal membawa bahaya.
Antara kesan jangka masa panjang yang boleh terjadi adalah anda boleh mendapat penyakit sama ada pada kulit atau kawasan tubuh badan lain akibat bawaan jutaan mikrob yang ada di katil.
Berapa kali anda kena tukar kain cadar di bilik tidur?
Dalam usaha untuk memastikan aspek kebersihan dan kesihatan kamar tidur anda lebih terjaga, individu perlu lebih kerap tukar cadar tilam mereka kerana sebulan sekali itu tidak memadai.
Kata Goodman, kita semua sangat disarankan untuk membasuh dan mengganti segala yang ada di atas katil termasuk cadar, sarung bantal dan selimut sekurang-kurangnya 1 ke 2 kali setiap minggu.
Ini sangat penting terutama jika anda dan pasangan yang tidur di kamar sama itu tidur tanpa pakaian, selalu buat hubungan intim atau berkongsi katil bersama haiwan peliharaan pada setiap waktu malam.