backup og meta

Kerajaan Optimis Kuat Kuasa Larangan Jual Rokok Untuk Belia Lahir Tahun 2005 Ke Atas - Khairy Jamaluddin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 04/01/2023

    Kerajaan Optimis Kuat Kuasa Larangan Jual Rokok Untuk Belia Lahir Tahun 2005 Ke Atas - Khairy Jamaluddin

    Kerajaan optimis membanteras masalah rokok dengan penguatkuasaan larangan merokok dan vape yang lebih ketat dalam kalangan belia pada masa hadapan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau menegaskan, selepas ini akan ada penggubalan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok bagi belia yang lahir pada tahun 2005 ke atas, dilarang merokok atau mempunyai sebarang produk tembakau dalam simpanan.

    Banyak pihak menyambut baik usaha yang diketengahkan kerajaan ini. Malah, melalui akta ini, penguatkuasaan yang sewajarnya juga dapat dilakukan untuk membanteras penggunaan rokok pada masa hadapan, secara tidak langsung melahirkan generasi baharu yang bebas rokok.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.

    Tidak ada lagi penjualan rokok untuk mereka yang lahir selepas tahun 2005

    penguatkuasaan larangan merokok

    Menurut Khairy, kerajaan memandang serius dalam usaha mereka membanteras ketagihan rokok pada masa hadapan.

    Beliau berkata, individu yang lahir selepas tahun 2005 tidak lagi dibenarkan membeli sebarang produk tembakau.

    “Tidak dinafikan, penguatkuasaan larangan merokok akan menjadi satu isu besar. Namun, kami akan berusaha keras untuk memastikan penguatkuasaan yang ketat dapat dijalankan bagi mengelak sebarang bentuk penyeludupan atau sindiket.

    “Individu yang lahir selepas tahun ini (2005) tidak lagi boleh membeli atau memiliki apa-apa bentuk barangan tembakau, sama ada rokok mahupun rokok elektronik. Perlaksanaan undang-undang ini merupakan langkah kerajaan untuk menghentikan ketagihan rokok buat selama-lamanya,” katanya ketika menghadiri program ulang tahun ke-10 IMFeD For Growth (IMFeD) di Petaling Jaya, semalam.

    Akta baharu yang bakal diperkenalkan ini melarang aktiviti merokok serta pemilikan sebarang produk tembakau termasuklah vape terhadap generasi yang lahir selepas tahun 2005. Justeru, individu yang lahir selepas tahun ini dilarang merokok atau vape sama sekali!

    Khairy juga akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok terbaharu ini di sidang Parlimen bagi menggantikan undang-undang kawalan tembakau sedia ada di bawah Akta Makanan 1983.

    Baca juga:

    Penguatkuasaan larangan merokok langkah terbaik untuk menghalang NCD

    Merokok merupakan punca utama penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit pernafasan kronik. Hampir 80% daripada 1.1 juta perokok di seluruh dunia adalah penyebab kematian utama di negara-negara membangun.

    Selain itu, merokok juga merupakan salah satu ancaman kesihatan terbesar di dunia, membunuh hampir 6 juta orang setiap tahun. 5 juta daripadanya adalah disebabkan penggunaan rokok secara terus, manakala 600,000 kematian lagi berkait rapat dengan pendedahan terhadap asap rokok sekunder.

    Setiap 6 saat, 1 kematian dicatatkan disebabkan penggunaan rokok. 1 daripada 10 kematian dalam kalangan orang dewasa adalah disebabkan penggunaan produk tembakau. Lelaki pula didapati merokok 5 kali ganda berbanding wanita.

    Tambah Khairy lagi, penguatkuasaan larangan merokok akan memberi impak yang sangat besar terhadap pencegahan penyakit tidak berjangkit. Pengenalan akta ini juga dapat mengurangkan tabiat merokok yang merupakan faktor utama kanser dalam kalangan generasi akan datang.

    Mengapa saya perlu BERHENTI merokok?

    Berhenti merokok merupakan keputusan yang paling bijak untuk meningkatkan tahap kesihatan diri. Malah, penguatkuasaan larangan merokok oleh kerajaan juga merupakan satu langkah bijak untuk menghentikan ketagihan rokok secara total.

    Jika anda ingin berhenti merokok, sekaranglah masa yang terbaik untuk melakukannya.

    penguatkuasaan larangan merokok

    Dengan berhenti merokok, anda dapat:

    1. Memanjangkan jangka hayat hidup.
    2. Mengurangkan risiko penyakit seperti kanser paru-paru, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, disfungsi seksual, penyakit buah pinggang dan banyak lagi kondisi lain.
    3. Mengurangkan risiko penyakit pernafasan dan sebarang komplikasi ketika pembedahan.
    4. Mengurangkan risiko anak-anak jatuh sakit disebabkan ibu bapa yang merokok. Kanak-kanak yang terdedah dengan asap rokok mengalami masalah pernafasan dan jangkitan yang lebih tinggi. Sebab itulah, kita dilarang merokok di hadapan kanak-kanak.
    5. Rasa lebih sihat. Selepas berhenti merokok, anda tidak akan batuk, sakit tekak dan alami masalah hidung tersumbat seperti dahulu. Tahap tenaga juga dapat ditingkatkan. Anda tidak akan rasa terlalu penat selepas melakukan senaman.
    6. Meningkatkan deria rasa dan bau.
    7. Meningkatkan keyakinan diri. Merokok menyebabkan gigi kuning serta muka yang lebih berkedut dan nampak tidak bermaya.
    8. Dapat menjimatkan wang.

    Kesimpulannya, penguatkuasaan larangan merokok dan vape dalam kalangan belia wajar disambut baik oleh ibu bapa khususnya yang mempunyai anak remaja lahir tahun 2005. Semoga usaha kerajaan membentuk belia tanpa rokok berhasil dengan bantuan semua pihak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 04/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan