backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Cuaca Tak Menentu Penyebab Selesema? Ikut 4 Tip Ini Elak Satu Keluarga Berjangkit!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 07/12/2023

    Cuaca Tak Menentu Penyebab Selesema? Ikut 4 Tip Ini Elak Satu Keluarga Berjangkit!

    Anda mengalami selesema yang berpanjangan? Tapi, anda sendiri tidak pasti apa penyebab selesema yang anda alami?

    Virus selesema mudah merebak kepada individu lain melalui batuk, bersin dan sentuhan langsung. Fakta tersebut membuatkan ia kelihatan menakutkan.

    Namun, pada tahun 2010, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa H1N1 tidak lagi mengancam nyawa penduduk seperti apa yang kita jangkakan.

    Gejala yang dialami oleh individu yang dijangkiti menyerupai selesema biasa sahaja. 

    Namun, itu tidak bermakna kita boleh goyang kaki dan mengabaikan langkah-langkah untuk mengelakkannya daripada tersebar.

    Artikel ini akan menyenaraikan beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengelakkan diri anda daripada dijangkiti penyebab selesema. Teruskan membaca.

    Jangan gunakan hand sanitiser. Gunakan air suam

    penyebab selesema

    Salah satu etika ketika bersin atau batuk adalah untuk menutup mulut.

    Secara amnya, kebanyakan individu menggunakan tangan bagi menutup mulut. Ini berikutan bukan semua individu mempunyai kain sapu tangan yang tersimpan di dalam kocek.

    Tatkala seseorang itu menutup mulut ketika bersin, virus yang menjadi penyebab selesema seperti Influenza akan terdeposit pada kulit. Jika anda tidak bersentuhan dengan sesiapa dalam tempoh 10 hingga 15 minit, virus tersebut akan mati.

    Namun, jika ia berjaya dipindahkan kepada permukaan barang seperti ketika anda memulas tombol pintu, virus tersebut boleh hidup selama 24 jam.

    Ini bermakna, amat penting untuk seseorang itu membersihkan tangan seusai bersin atau batuk. Sentuhan merupakan salah satu penyebab selesema berjangkit antara satu sama lain.

    Walaupun hand sanitizer kelihatan seperti cecair yang berkesan dalam membunuh kuman selesema, namun pakar menyarankan anda untuk menggunakan air dan sabun.

    Ini disebabkan oleh keberkesanan alkohol yang terkandung dalam hand sanitiser berkurangan kerana lendiran hingus yang turut ada pada permukaan tangan anda.

    Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Hirose et al pada tahun 2019.

    Melalui kajian tersebut, kebarangkalian untuk virus selesema tersebar apabila menggunakan hand sanitiser adalah lebih tinggi berbanding dengan penggunaan air suam dan sabun.

    Jadi, jika anda bersin atau batuk, tutup mulut anda menggunakan tangan. Jangan sentuh sesiapa atau apa-apa di persekitaran dalam tempoh 20 minit.

    Jika anda perlu berbuat demikian, basuh tangan anda menggunakan sabun dan air suam.

    Tidak menjaga jarak penyebab selesema berjangkit

    Menurut seorang Professor daripada Universiti Oxford, anda perlu bergerak sejauh 2 meter daripada individu yang bersin. Ini bertujuan untuk merendahkan risiko jangkitan virus selesema.

    Ingat, partikel virus tersebut boleh hidup di dalam udara (airborne) selama beberapa jam. Semakin rendah suhu persekitaran, semakin lama ia akan kekal berlegar-legar dari satu individu ke individu yang lain.

    Ketika seseorang individu itu bersin, cuba hembus keluar udara menggunakan hidung selama 10 saat. Sambil-sambil itu, kekalkan jarak 2 meter di antara anda dan individu tersebut.

    Jika salah seorang daripada ahli keluarga anda mendapat jangkitan tersebut, galakkan mereka untuk berehat di dalam bilik.

    Situasi sosial perlu dielakkan dalam tempoh 2 ke 3 hari dan mereka hanya dibenarkan untuk keluar dari bilik untuk ke tandas.

    Begitu juga dalam konteks hubungan suami isteri. Jika suami dijangkiti dengan virus selesema, isteri digalakkan untuk tidur di bilik yang berlainan.

    Jika anda tidak mengendahkannya dan tidur bersama dengan mereka yang selesema, kebarangkalian anda untuk dijangkiti tinggi. Bantal, cadar dan tilam kebiasaannya menjadi punca jangkitan virus selesema. 

    Tidur pada awal waktu dan sekurang-kurangnya 7 jam

    penyebab selesema

    Secara amnya, tidur penting bagi mengekalkan kesihatan individu pada tahap optimum. Malahan, ketika anda sedang mengalami jangkitan selesema yang berpanjangan, kebiasaannya anda akan digalakkan untuk tidur. 

    Kajian yang dijalankan oleh Daniel et al pada tahun 2017 menunjukkan bahawa mereka yang mengalami masalah insomnia mempunyai ketahanan imuniti yang rendah berbanding dengan individu yang cukup tidur. 

    Kajian tersebut mempunyai dapatan yang sama dengan kajian pada tahun 2019 berkaitan dengan keberkesanan vaksin selesema dalam kalangan mereka yang cukup tidur.

    Ia memberikan keupayaan dua kali ganda kepada antibodi berbanding dengan mereka yang tidak cukup tidur untuk melawan virus.

    Ini bermakna, bukan sahaja anda boleh cepat sembuh daripada selesema berpanjangan jika anda mendapatkan tidur yang cukup malahan kebarangkalian anda untuk mendapat jangkitan tersebut rendah.

    Elakkan daripada berkongsi peralatan peribadi

    Menurut Professor Openshaw, adalah lebih baik jika anda membawa perkakasan seperti pen, kalkulator dan sebagainya ke tempat kerja. Berkongsi barang boleh menjadi penyebab selesema berjangkit. 

    Gunakan telefon bimbit anda sendiri, pastikan anda membawa lebih daripada satu pen dan elakkan daripada meminjam peralatan mereka yang sedang sakit.

    Seperti yang disebutkan, apabila virus selesema dipindahkan pada permukaan barangan, ia boleh hidup sekurang-kurangnya 24 jam. 

    Ini bermakna peralatan seperti telefon pejabat, mesin air dan tombol pintu boleh menjadi sumber utama dalam proses penyebaran penyakit. Jangan lupa untuk basuh tangan anda secara kerap sebelum makan atau menyentuh muka.

    Dapatkan rawatan di hospital, jangan jadi penyebab selesema pada orang lain

    Jika anda mengalami gejala jangkitan selesema yang berpanjangan, dapatkan rawatan kesihatan daripada klinik atau hospital dan berehatlah di rumah.

    Jika anda khuatir akan impak jangkitan selesema terhadap kualiti hidup anda, dapatkan vaksin influenza daripada klinik swasta berdekatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 07/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan