Telefon punca sukar untuk tidur
Para penyelidik daripada Iowa State University menyatakan, berdasarkan kajian lepas, remaja mengalami kesukaran untuk melelapkan mata apabila mereka bermain dengan telefon sebelum tidur, dan kemungkinan kelakuan tersebut mungkin terus berlaku kepada individu dewasa.
Kajian ini telah membuat penelitian terhadap data daripada sekitar 165,000 individu daripada National Health Interview Survey. Antara tahun 2013 hingga 2017, bilangan individu dewasa yang dilaporkan mengalami kesukaran tidur sekurang-kurangnya satu hari dalam seminggu meningkat kepada 1.43 peratus. Manakala bilangan individu dewasa yang menyatakan mereka sukar untuk tidur lena sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu juga meningkat sebanyak 2.7 peratus.
Menurut pengarang utama kajian terbabit, Garrett Hisler, mereka mengetahui melalui kajian lepas mereka bahawa terdapat korelasi atau perkaitan antara penggunaan telefon pintar dan ketidakcukupan tidur dalam kalangan remaja. Menurut Garrett lagi, sekiranya kita menggunakan telefon sebelum tidur atau menerima sebarang mesej atau pemberitahuan ketika sedang tidur, ia akan menyebabkan kita lebih sukar untuk terlelap atau kekal lena ketika tidur pada waktu malam.
Tempoh dan kualiti tidur adalah sama penting
Menurut Dr. Zlatan Krizan, profesor dalam bidang psikologi di Iowa State University menyatakan, jumlah tempoh tidur adalah penting. Walau bagaimanapun, selena mana kita tidur dan bagaimana kita rasa berkenaan kualiti tidur kita juga adalah penting. Menurut beliau, kesihatan tidur adalah satu fenomena multidimensi, oleh itu dengan melakukan penelitian terhadap kesemua aspek tidur adalah amat penting untuk kajian masa hadapan.
The National Sleep Foundation, Amerika Syarikat mencadangkan kepada individu dewasa untuk mendapatkan antara tujuh hingga sembilan jam waktu tidur setiap malam. Walau bagaimanapun, kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC) pada tahun 2015 menunjukkan, sekitar 50% daripada individu dewasa di Amerika Syarikat tidak mendapat waktu tidur yang mencukupi seperti yang disyorkan.
Bagi individu dewasa terutamanya mereka yang telah bekerja, anda sememangnya disarankan untuk tidur sekurang-kurangnya sebanyak 7 jam setiap hari. Ini bermakna, jika anda perlu bangun pada pukul 6 pagi, anda perlu tidur selewat-lewatnya pada jam 11 malam. Tidur yang tidak mencukupi juga telah menunjukkan peningkatan risiko bagi seseorang individu untuk mendapat obesiti, diabetes, penyakit jantung dan juga kanser. Oleh itu, jom kita tidur lebih lama pada waktu malam. Tidur kan best!