
Dalam kebanyakan kes, tiada satu punca khusus yang boleh dikenal pasti menyebabkan kanser tersebut. Kebiasaannya, ia melibatkan gabungan daripada banyak punca dan faktor risiko berbeza.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor risiko yang didapati menyumbang kepada pembentukan sel-sel kanser.
1. Umur
Risiko kanser meningkat apabila semakin berumur. Kebanyakan kes yang dikesan adalah berumur 65 tahun dan ke atas. Namun, ia masih boleh berlaku di semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Malah, ada beberapa kanser yang lebih kerap berlaku pada kanak-kanak seperti leukemia dan kanser buah pinggang (nephroma).
2. Tabiat dan gaya hidup
Sesetengah tabiat dan gaya hidup boleh mendedahkan anda kepada risiko kanser. Antaranya:
- Merokok – lebih 90% daripada kalangan pesakit kanser paru-paru adalah perokok.
- Alkohol – pengambilan alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan kanser hati.
- Terlalu banyak terdedah kepada cahaya matahari – kulit yang terengsa oleh cahaya matahari lebih berisiko mendapat kanser kulit.
- Seks bebas – sesetengah jangkitan kelamin seperti human papilloma virus (HPV) menyebabkan kanser serviks.
- Obesiti – secara amnya, berat badan berlebihan meningkatkan risiko kepada kanser payudara, esofagus dan usus.
3. Sejarah kanser dalam keluarga
Genetik memainkan peranan dalam pembentukan sel kanser. Antara kanser yang mempunyai pengaruh genetik yang kuat adalah kanser payudara. Secara amnya, risiko kanser meningkat jika ada dalam kalangan ahli keluarga yang mengalaminya.
Terdapat juga penyakit tertentu yang diwarisi daripada ibu bapa boleh menyebabkan kanser. Contohnya adalah adenomatous polyposis coli (APC), iaitu sejenis penyakit usus yang mempunyai 100% risiko kanser usus.
4. Keadaan kesihatan
Sesetengah penyakit meningkatkan kebarangkalian mengalami kanser. Contohnya:
- Jangkitan human papilloma virus (HPV) – menyebabkan kanser serviks.
- Ulseratif Kolitis (UC) – penyakit radang usus yang boleh membawa kepada kanser usus.
- Adenomatous polyposis coli (APC) – penyakit usus di mana terdapat lebih 100 polip di dalam usus.
5. Persekitaran
Keadaan di sekeliling anda mungkin boleh mendedahkan anda kepada kanser. Walaupun anda tidak merokok, asap daripada hembusan rokok turut boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru. Selain itu, sesetengah pekerjaan yang terdedah kepada bahan kimia tertentu atau radiasi menjadikan pekerja tersebut lebih cenderung mendapat kanser.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.