backup og meta

Ini Apa Anda Perlu Tahu Tentang Jangkitan HPV & Pencegahan Kanser Serviks

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/03/2024

    Ini Apa Anda Perlu Tahu Tentang Jangkitan HPV & Pencegahan Kanser Serviks

    Di Malaysia, kesemua remaja perempuan yang berusia 13 tahun akan diberikan suntikan vaksin HPV secara percuma di sekolah. Anda tahu mengapa anak gadis anda perlu mendapatkan suntikan ini? Ia ada kaitan dengan kanser serviks.

    Suntikan vaksin HPV berfungsi melindungi atau mengurangkan risiko seseorang wanita daripada mendapat kanser serviks, terutamanya selepas mereka berkahwin. Ini kerana human papillomavirus atau HPV ini merupakan penyebab utama kepada pembentukan kanser serviks dalam kalangan wanita.

    Adakah anda tahu, dianggarkan sekitar 1,500 wanita di Malaysia disahkan mempunyai kanser serviks setiap tahun? Ia menyebabkan 6% kadar kematian akibat kanser dalam kalangan wanita. 

    Apa yang saya perlu tahu mengenai jangkitan HPV?

    kanser serviks

    Human papillomavirus atau ringkasnya HPV adalah sejenis jangkitan virus yang boleh berpindah daripada satu individu kepada individu yang lain melalui sentuhan kulit. 

    Untuk pengetahuan semua, terdapat lebih daripada 100 jenis jangkitan HPV. Lebih daripada 40 jangkitan tersebut berpindah melalui hubungan seksual yang boleh menjejaskan kemaluan, mulut dan juga tekak.

    Sesetengah kes jangkitan HPV pada kemaluan mungkin tidak akan menyebabkan sebarang masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah daripada jangkitan tersebut yang boleh menyebabkan pembentukan ketuat kelamin dan juga kanser serviks.

    Jenis strain virus HPV yang menyebabkan ketuat kelamin juga adalah tidak sama dengan strain virus yang menyebabkan kanser. Oleh itu, jika anda mempunyai ketuat kelamin yang disebabkan oleh HPV, ia tidak bermakna bahawa anda juga mempunyai kanser.

    Adakah golongan lelaki juga boleh dijangkiti HPV?

    Walaupun suntikan vaksin HPV ini lebih sinonim dengan perempuan, ini tidak bermakna kaum lelaki tidak berisiko untuk dijangkiti dengan jangkitan HPV. Lelaki juga perlu mengambil suntikan HPV jika dijangkiti. Kaum perempuan lebih dikaitkan dengan HPV kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat kanser serviks akibat daripada jangkitan HPV ini. 

    Kebanyakan lelaki yang dijangkiti HPV biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom. Mungkin ada sesetengah daripada mereka yang mempunyai ketuat kelamin. Selain itu, sesetengah strain virus HPV juga boleh menyebabkan kanser tekak, dubur dan juga zakar pada kaum lelaki.

    Sesetengah lelaki juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser yang berkaitan HPV termasuklah mereka yang melakukan seks anal dan mereka yang mempunyai sistem imun tubuh yang lemah.

    Pemeriksaan kanser serviks masih perlu walaupun telah menerima vaksin HPV

    kanser serviks

    Walaupun seseorang wanita itu pernah mendapat suntikan HPV,  namun ia tidak menjamin sebarang perlindungan penuh untuk seseorang daripada mendapat sebarang risiko kanser serviks. Hal ini terbukti berlaku kepada seorang wanita bernama Jessica Donald dari Birmingham, United Kingdom yang dikesan mempunyai HPV walaupun telah mengambil suntikan HPV ketika berusia 14 tahun di sekolah.

    Jessica mendapat tahu bahawa ujian serviks yang dilakukannya telah menunjukkan hasil keputusan positif HPV. Walaupun ujian lanjutan menunjukkan bahawa sel tersebut tidak menunjukkan sebarang risiko kanser, dia mungkin perlu melakukan ujian pap smear lain dalam tempoh 12 bulan bagi melihat perkembangan sel serviksnya. 

    Suntikan vaksin HPV berkesan kurangkan risiko kanser serviks, tetapi ia tidak melindungi daripada semua jenis strain virus

    Tidak dinafikan, program pelalian atau suntikan vaksin HPV ini merupakan satu program yang berjaya. Ini terbukti apabila jangkitan HPV dalam kalangan remaja perempuan yang berumur antara 16 hingga 25 tahun di England telah menurun sebanyak 86%.

    Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa vaksin HPV ini telah menurunkan kadar penyakit serviks prakanser dalam kalangan remaja perempuan sebanyak 71%. Walaupun ia berjaya menunjukkan keberkesanannya dalam mengurangkan kadar jangkitan berkaitan, ia masih lagi bukan satu perkara yang sempurna. 

    Sehingga tahun 2012, vaksin HPV berperanan melindungi seseorang individu daripada 2 jenis strain virus, yang mana keduanya menyebabkan 80% kes kanser serviks. Manakala pada masa sekarang pula, vaksin HPV yang diberikan dapat melindungi seseorang individu itu daripada 4 jenis strain virus; dua jenis yang menyebabkan kanser manakala dua jenis lagi yang menyebabkan ketuat kelamin.

    Walau bagaimanapun, masih terdapat 11 jenis strain virus HPV penyebab kanser yang masih tidak mampu dihalang atau dihalang sepenuhnya oleh vaksin.

    Menurut Profesor Margaret Stanley, penyelidik HPV di Universiti Cambridge, jenis-jenis strain ini yang kemudiannya menyebabkan antara 15 hingga 20% kes kanser serviks yang biasanya berlaku dalam kalangan wanita yang lebih berusia.

    Ambil langkah pencegahan untuk lindungi diri daripada jangkitan HPV & kanser serviks

    kanser serviks

    Sebagai seorang wanita, jika anda menganggap bahawa anda telah selamat sepenuhnya daripada risiko kanser serviks setelah mendapatkan suntikan vaksin, anda silap!

    Walaupun anda telah mendapat suntikan vaksin HPV ketika berumur belasan tahun di sekolah, anda masih berisiko untuk mendapat jangkitan HPV atau kanser serviks.

    Walau bagaimanapun, vaksin HPV sememangnya membantu mengurangkan kadar jangkitan ke atas diri anda. Jangan sesekali menganggap bahawa vaksin tidak memainkan peranannya dalam mengurangkan risiko jangkitan. 

    Langkah yang perlu anda lakukan seterusnya adalah dengan menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan serviks berkala . Pemeriksaan ini boleh dilakukan bermula usia 20 tahun dan ke atas setiap 3 tahun sekali. 

    Selain itu, amalkan seks selamat untuk melindungi diri anda daripada jangkitan HPV dan juga jangkitan seksual yang lain.

    Jika anda seorang ibu, pastikan anak perempuan anda juga mendapat suntikan HPV. Ingat, mencegah lebih baik daripada mengubati!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/03/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan