backup og meta

4 Peringkat Serangan Migrain Anda Mungkin TIDAK Tahu Langsung Wujud

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 14/06/2023

    4 Peringkat Serangan Migrain Anda Mungkin TIDAK Tahu Langsung Wujud

    Tiada sesiapa yang mengalami serangan migrain pernah menyangka mereka akan menderita dek serangan tersebut pada bila-bila masa. Tapi tahukah anda tentang peringkat serangan migrain yang berbeza-beza?

    Bagi mendapatkan rawatan yang efektif, amat penting untuk anda memahami setiap peringkat migrain yang bakal atau tengah dilalui oleh anda.

    Berikut merupakan maklumat 4 peringkat serangan migrain utama yang mungkin anda tidak pernah sedar selama ini.

    peringkat migrain

    1. Peringkat migrain awal – Prodrome

    Prodrome merupakan pra-migrain. Ia biasanya dialami individu yang bakal mendapat serangan migrain. 

    Simptomnya berbeza-beza bagi setiap individu dan ia boleh berlangsung selama beberapa jam atau beberapa hari pada satu masa. 

    Walau bagaimanapun, perlu diingatkan mereka yang mengalami serangan migrain tidak semestinya mendapat pra-migrain.

    Antara simptom yang boleh dialami sepanjang tempoh prodrome adalah:

  • Perubahan mood
  • Kelesuan
  • Sensitif pada cahaya dan bunyi
  • Insomnia (masalah sukar tidur)
  • Loya
  • Sembelit atau cirit-birit
  • Individu yang mengalami peringkat awal ini juga boleh mendapat simptom kekejangan otot, terutamanya pada bahagian leher dan bahu.

    Mereka yang mendapat serangan pra-migrain boleh mengalami perubahan mood yang ketara seperti kemurungan, cepat marah (iritabiliti) dan sukar untuk menumpukan perhatian. 

    Simptom lain yang lebih spesifik pada peringkat migrain prodrome adalah sering mengantuk atau menguap, haus, mengidam, dan kerap kencing.

    2. Peringkat serangan migrain kedua – Aura

    Hampir ⅓ pesakit migrain mengalami peringkat aura sebelum serangan migrain berlaku. Aura merupakan tanda amaran sebelum datangnya serangan migrain.

    Sama seperti peringkat prodrome, hanya segelintir individu akan melalui peringkat ini.

    Simptom aura biasanya akan sembuh selepas 5 minit. Namun bagi segelintir pesakit, ia boleh berlanjutan sehingga 60 minit.

    Manakala bagi 20% individu yang mempunyai masalah migrain pula, mereka mengalami aura lebih lama daripada 60 minit! 

    Sesetengah individu lain mengalami peringkat aura selepas mereka rasa sakit kepala.

    Apa yang anda perlu tahu adalah mereka yang sering mendapat peringkat serangan migrain aura biasanya berkait rapat dengan masalah sistem saraf. 

    Perubahan tahap aktiviti pada kawasan korteks otak yang berlaku pada peringkat aura menyebabkan simptom penglihatan seperti tompok gelap, kerlipan atau garisan zig-zag

    Simptom lain seperti rasa “sesemut” pada jari-jemari, lemah tubuh badan, pening kepala atau vertigo. 

    Pesakit yang mengalami aura migrain juga boleh mengalami masalah berkaitan dengan percakapan, pendengaran, perubahan memori, paranoid dan kekeliruan mental.

    3. Peringkat seterusnya – sakit kepala

    Sakit kepala adalah titik utama bagi simptom masalah migrain.

    Ia boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah kepala. Masalah ini boleh berlarutan sehingga 3 hari dan ia berbeza bagi setiap individu.

    Tahap kesakitan sakit kepala juga berbeza mengikut keadaan. Ada yang mengalami sakit kepala ringan, dan ada juga yang parah.

    Simptom sakit kepala adalah kawasan sakit terasa berdenyut dan berjalan mungkin boleh memburukkan lagi keadaan. 

    Kesakitan juga boleh beralih di antara kedua-dua belah kepala. Namun, sakit kepala bukanlah satu-satunya simptom yang anda boleh alami semasa serangan migrain peringkat ketiga ini.

    Antara simptom lain yang turut dikaitkan dengan serangan migrain adalah:

  • Loya
  • Kesukaran untuk tidur
  • Kegelisahan
  • Sensitif pada cahaya, bunyi dan bau
  • Malah, membuka lampu atau bersenam juga boleh menyebabkan migrain semakin teruk.

    peringkat serangan migrain

    4. Peringkat serangan migrain terakhir – postdrome

    Turut dikenali sebagai fasa “hangover”, postdrome adalah peringkat yang berlaku pada fasa pengakhiran sakit kepala.

    Hampir 80% pesakit migrain mengalami peringkat postdrome berikutan serangan migrain. 

    Durasi bagi peringkat migrain ini berbeza-beza mengikut individu, namun ia kebiasaannya berlaku tidak lebih daripada 24 jam.

    Simptom yang boleh dialami adalah:

  • Kelesuan
  • Sakit badan
  • Sukar untuk menumpukan perhatian
  • Pening kepala
  • Sensitif pada cahaya
  • Apa yang menariknya tentang peringkat ini adalah terdapat individu yang mengalami simptom bercanggah dengan apa yang dialaminya pada peringkat sebelum ini. 

    Fenomena ini dikenali sebagai simptom “cermin”.

    Mereka yang mempunyai masalah kurang selera makan pada peringkat prodrome, boleh mengalami kenaikan selera makan pada peringkat postdrome

    Individu yang kelesuan pada peringkat sebelum ini mungkin mengalami kenaikan tahap tenaga pada peringkat migrain postdrome.

    Kesimpulannya, penting bagi setiap individu yang mengalami masalah migrain untuk memahami setiap peringkat serangan. 

    Perkara ini boleh membantu sedikit sebanyak dalam pelaksanaan rawatan bagi mengawal tahap keterukan sakit kepala yang dialami.

    Pada segelintir kes, ia dapat menghindarkan sebarang serangan migrain daripada berlaku.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 14/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan