backup og meta

Keselamatan Makanan Untuk Kesejahteraan Jangka Panjang Penduduk Dunia

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/07/2020

    Keselamatan Makanan Untuk Kesejahteraan Jangka Panjang Penduduk Dunia

    Sumber makanan yang tercemar disebabkan oleh faktor bakteria, virus, parasit, toksin atau bahan kimia berbahaya telah menyebabkan lebih daripada 600 juta manusia jatuh sakit manakala 420 000 pula maut di seluruh dunia setiap tahun. Penyakit-penyakit yang berpunca daripada makanan tercemar telah membebani sistem penjagaan kesihatan dan memberi kesan buruk terhadap perkembangan ekonomi, perdagangan dan pelancongan sesebuah negara.

    Melihat kepada perkembangan yang kurang positif berkenaan keselamatan sumber makanan, Persidangan Keselamatan Makanan Antarabangsa telah pertama kali diadakan di Addis Ababa, ibu kota Ethiopia pada 12 Februari 2019. Persidangan tersebut diadakan secara bersama oleh African Union (AU), Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), World Health Organization (WHO) dan World Trade Organization (WTO).

    Melalui persidangan ini, pemimpin-pemimpin dunia telah menyatakan bahawa kerjasama yang lebih besar di peringkat antarabangsa amatlah diperlukan untuk memastikan penyakit yang berpunca daripada makanan yang tercemar dapat dihalang dan seterusnya memastikan ianya tidak menghalang matlamat-matlamat Sustainable Development Goals (SDG).

    Wabak bawaan makanan dan penyebabnya

    Patogen wabak bawaan makanan boleh menyebabkan diarrhoea atau cirit-birit yang teruk selain jangkitan lain seperti meningitis. Pencemaran bahan kimia berbahaya pula boleh membawa kepada penyakit jangka masa panjang seperti kanser. Antara contoh makanan yang tidak selamat adalah makanan yang berasaskan haiwan yang tidak dimasak, buahan dan sayuran yang tercemar dengan tinja atau kerang yang dicemari biotoksin marin.

    Bakteria seperti Salmonella, Campylobacter dan Enterohaemorrhagic Escherichia coli adalah patogen yang biasa menjejaskan kesihatan jutaan manusia setiap tahun. Telur, daging dan produk berasaskan haiwan adalah contoh makanan yang sering tercemar dengan bakteria Salmonella. Virus Hepatatis A pula menyebabkan penyakit hati yang berpanjangan dan menyebar melalui makanan laut yang mentah atau tidak dimasak dengan betul. Parasit seperti cacing pita Echinococcus spp atau Taenia solium boleh menjangkiti manusia melalui makanan atau hubungan secara langsung dengan haiwan.

    Bahan kimia berbahaya turut memberi kesan terhadap keselamatan makanan yang dimakan. Toksin yang terhasil secara semulajadi seperti mycotoxins, biotoksin marin dan cyanogenic glycosides biasanya terdapat dalam spesis cendawan beracun. Makanan ruji seperti jagung dan bijirin boleh menghasilkan mycotoxins yang tinggi seperti aflatoxin dan ochratoxin yang terhasil daripada kulat pada bijirin. Pendedahan yang lama terhadap toksin tersebut boleh menjejaskan sistem imun tubuh badan, tumbesaran selain berpotensi menyebabkan kanser. Logam berat seperti kadmium, plumbum dan merkuri boleh menyebabkan kerosakan neurologi dan buah pinggang. Pencemaran logam berat didalam makanan kebiasaannya berpunca daripada pencemaran udara, air dan tanah.

    Keselamatan makanan dan perubahan iklim

    Perubahan iklim adalah sesuatu yang nyata dan ianya telah memberi kesan terhadap kemampanan dan kelangsungan sumber makanan dan sektor agrikultur. Sumber makanan semakin berkurangan akibat daripada masalah-masalah yang berpunca daripada perubahan keadaan alam semulajadi seperti kemarau, penggondolan hutan, kekurangan sumber air, pencemaran, kehilangan biodiversiti, perubahan iklim dan peningkatan penduduk dunia yang semakin mendadak.

    Jangkitan terhadap tumbuhan dan haiwan yang dimakan oleh manusia berpunca daripada beberapa faktor pengaruh secara semulajadi, oleh itu perubahan iklim sememangnya berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan sumber makanan manusia. Sebagai contoh, kelembapan, ketersediaan air dan suhu yang bersesuaian akan memberi kesan terhadap pertumbuhan dan pencemaran kulat terhadap sumber makanan.

    Kadar taburan hujan yang tinggi dan banjir menumbang kepada penyebaran dan pemindahan bakteria dan bahan kimia berbahaya yang berpunca daripada ternakan kepada alam sekitar, manusia, tanaman serta haiwan ternakan yang lain. Secara keseluruhannya berdasarkan cabaran-cabaran berkaitan perubahan iklim tersebut akan menyebabkan kekurangan jumlah sumber makanan yang selamat selain mengakibatkan kelaparan terutamanya bagi lapisan masyarakat yang kurang berkemampuan dan penduduk-penduduk di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

    Pada tahun 2050, dianggarkan permintaan terhadap sumber makanan akan meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding pengeluaran pada tahun 2012 disebabkan oleh peningkatan penduduk dunia. Oleh itu, kesemua pengeluaran agrikultur termasuklah ternakan domestik dan akuakultur akan dipertingkatkan selain mengurangkan kesan negatif persekitaran yang akan memberi kesan terhadap pengeluaran makanan.

    Keselamatan makanan dan aplikasi sains, inovasi dan teknologi

    Pelaksanaan penemuan saintifik baharu, inovasi teknikal dan teknologi digital akan membantu mencapai sistem pengeluaran makanan yang lebih berkesan, bertahan lama dan selamat. Keperluan untuk menghasilkan lebih banyak produk makanan yang lebih selamat atas faktor demografi, perubahan diet pemakanan, perubahan iklim, inovasi seperti kaedah analisis novel, bioteknologi pengeditan genetik dan cara baharu pengeluaran makanan dapat membantu mencapai sistem makanan yang lebih cekap dan berdaya tahan.

    Kemajuan penemuan saintifik seperti Whole Genome Sequencing (WGS) akan dapat mengenalpasti, mencirikan, menentukan dan bertindak balas terhadap segala potensi risiko serta mencegah kemungkinan bahaya yang terdapat dalam rantaian makanan. WGS digunakan untuk mengawasi epidemiologi patogen bawaan makanan, kewujudan dan ketahanan hidup mikroorganisma, pemantauan faktor perangsang dan evolusi patogen, pengesanan rintangan antimikrob dan penyiasatan wabak bawaan makanan.

    Penggunaan teknologi dalam pengeluaran produk makanan tempatan bukan sahaja memudahkan aktiviti pengeluaran, malahan membantu pengeluar untuk memastikan produk makanan sentiasa bersih dan selamat melalui penggunaan alat-alat teknikal yang lebih teratur.

    Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, penyediaan dan pemprosesan makanan menggunakan alatan dan fasiliti yang agak menyedihkan sekaligus menjadikan produk makanan terdedah dengan risiko pencemaran. Banyak peluang yang tersedia bagi inovasi mudah dan bersesuaian untuk pengeluar produk makanan kecil-kecilan yang boleh membantu meningkatkan tahap keselamatan makanan, pengurangan sisa buangan dan pengurangan kesan negatif terhadap alam semulajadi. Inovasi ini termasuklah alat pengering buah-buahan berkuasa solar, kontena yang mengikut spesifikasi khas untuk tujuan pengangkutan dan penghantaran bahan makanan, teknik yang diubahsuai untuk aktiviti pengasapan produk akuakultur yang mesra alam, penggunaan sisa buangan bagi penjanaan tenaga serta proses fermentasi atau penapaian makanan tanpa bahaya akibat daripada patogen.

    Pelaksanaan inovasi pengeluaran makanan memerlukan penyediaan alatan yang mampu dibeli oleh pengeluar dan teknologi mudah yang bersesuaian supaya pengeluar yang terlibat dengan industri pengeluaran produk makanan termotivasi untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam pengeluaran makanan.

    Keselamatan makanan dan wabak bawaan makanan

    Wabak bawaan makanan merupakan satu ancaman jelas terhadap kesihatan manusia dan ekonomi selain menjejaskan pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG) untuk kesejahteraan jangka panjang penduduk dunia. Ancaman wabak bawaan makanan termasuklah pelbagai jenis patogen bakteria, virus, parasit, toksin dan bahan kimia berbahaya.

    World Health Organization (WHO) menganggarkan bahawa hampir setiap 1 daripada 10 orang di dunia jatuh sakit selepas memakan makanan yang tercemar. Pada tahun 2015, anggaran pertama bebanan global bagi wabak bawaan makanan yang dilaporkan oleh WHO menunjukkan bahawa 31 jenis risiko bahaya telah dikenalpasti menyebabkan 600 juta kes wabak bawaan makanan pada tahun 2010.

    Faktor-faktor seperti perdagangan global, perubahan trend pemakanan, amalan pertanian dan perubahan iklim dijangkakan akan meningkatkan bebanan global terhadap wabak bawaan makanan pada masa hadapan. Selain menjejaskan kesihatan global, wabak bawaan makanan turut memberi tamparan yang signifikan terhadap perkembangan ekonomi samada di peringkat individu atau nasional.

    Satu kajian oleh Bank Dunia menyatakan bahawa makanan yang tidak selamat atau tercemar memberi kesan terhadap ekonomi negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana dengan kehilangan produktiviti sebanyak 95.2 bilion Dolar Amerika Syarikat dan perbelanjaan perubatan sebanyak 15 bilion Dolar Amerika Syarikat. Sebenarnya, sebahagian besar daripada kos ini dapat dikurangkan dengan menggunapakai langkah-langkah pencegahan yang memperbaiki bagaimana sumber makanan diuruskan, bermula dari ladang sehinggalah ke meja makan. Kos ekonomi akibat daripada makanan tercemar bergantung kepada tahap pembangunan ekonomi sesebuah negara dan variasi yang membezakannya terdiri daripada faktor-faktor demografi, ekonomi, pemakanan dan keadaan alam semulajadi.

    Di peringkat nasional sesebuah negara, adalah amat penting bagi kerajaan mengenalpasti keperluan terhadap pelaburan yang berkesan, pemahaman yang lebih baik terhadap kos yang perlu dikorbankan terhadap masalah keselamatan makanan dan kesan yang boleh digapai dan realistik berkenaan keselamatan makanan di sesebuah negara tersebut.

    Usaha Malaysia dalam keselamatan makanan di peringkat nasional dan antarabangsa

    Food and Agriculture Organizations of the United Nations (FAO) berperanan membantu Malaysia dalam segala usahanya untuk mempertingkatkan nilai nutrisi makanan dan produk agrikultur, mengurangkan kesusutan sumber makanan pasca tuaian dan membangunkan program kerjasama untuk pengaplikasian kerjasama teknikal di peringkat nasional dan antarabangsa.

    Salah satu contoh adalah kerjasama awam dan swasta untuk kaedah pertanian yang lestari diantara syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Malaysia, OLAM International Ltd dan Kerajaan Gabon. FAO memberi sokongan terhadap kerjasama ini yang bermatlamat untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan, mengurangkan kemiskinan, dan membangunkan generasi baharu komuniti pertanian yang produktif dan lestari dibawah South-South Cooperation (SSC) Framework. Selain itu, melalui South-South Cooperation (SSC) Framework juga, terdapat kerjasama diantara Kementerian Agrikultur dan Perikanan Maldives dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tujuan peningkatan latihan teknikal kakitangan di kementerian tersebut selain membantu Maldives National University melalui pertukaran sumber akademik dan kurikulum.

    Selain daripada itu, kerajaan Malaysia turut berusaha untuk memperkasakan biosekuriti akuakultur dengan memberikan prioriti terhadap sektor akuakultur melalui Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 dan diiktiraf sebagai negara pertama yang menubuhkan Bahagian Biosekuriti yang memberi perhatian terhadap pengurusan kesihatan akuatik, biosekuriti dan isu-isu berkaitan.

    Pada tahun 2015, FAO menyediakan bantuan kepada Malaysia bagi pemerkasaan biosekuriti akuakultur Jabatan Perikanan dibawah Technical Cooperation Programme (TCP). Kerjasama FOA dengan Kerajaan Malaysia melalui Malaysian Agricultural Research and Development Institute atau MARDI turut melibatkan pembangunan rangka kerja (framework) institusi untuk memperkuatkan kapasiti untuk melindungi perkhidmatan ekosistem dan menguruskan pemuliharaan biodiversiti global, pelepasan gas rumah hijau, sumber air dan tanah, menggalakkan ekosistem bersepadu dan perancangan pengunaan tanah.

    Langkah pencegahan wabak penyakit melalui makanan

    Melalui laporan FAO/WHO Expert Meeting on Foodborne Antimicrobial Resistance: Role of Environment, Crops and Biocides yang diadakan pada 11 hingga 15 Jun 2018 di Rome, Itali, terdapat bukti saintifik yang jelas bahawa makanan yang berasal daripada tumbuhan menjadi perantara penularan bakteria yang rintang terhadap antimikrob. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan bermula daripada pengeluaran sehingga ke peringkat penggunaan untuk mengawal penyebarannya:

  • Amalan pengurusan yang baik perlu diaplikasikan bagi penggunaan sisa kumbahan atau biosolid manusia dan tinja haiwan yang dijadikan baja dalam persekitaran pengeluaran makanan di tahap pertama seperti proses penaman dan pembesaran tanaman.
  • Penggunaan kaedah yang telah diperbaharui untuk pencegahan dan pengawalan jangkitan seperti penternakan, biosekuriti, pemvaksinan, diagnosis serta alternatif lain sebagai ganti penggunaan antimikrob yang digunakan dalam sektor akuakultur.
  • Penggunaan biocides perlu digunakan berpandukan nasihat pengeluar.
  • Keselamatan makanan adalah salah satu isu yang masih boleh dikawal dengan baik melalui kerjasama semua pihak samada sebagai pembuat dasar di peringkat kerajaan mahupun pelaksana di peringkat swasta atau individu. Setiap faktor yang menyumbang kepada pencemaran makanan dapat diatasi melalui peranan setiap agensi dalam memastikan keselamatan makanan menjadi salah satu isu yang menyumbang kepada kesejahteraan manusia selain bertujuan mencapai matlamat-matlamat yang telah dirangka melalui Sustainable Development Goals.

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan