backup og meta

Anak Sumbing? Ini 5 Komplikasi Yang Perlu Diketahui

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 10/06/2020

    Anak Sumbing? Ini 5 Komplikasi Yang Perlu Diketahui

    Masalah sumbing adalah satu kecacatan melibatkan bahagian bibir atau lelangit seseorang. Ia berlaku kepada bayi sejak dalam kandungan ibu. Tetapi apakah komplikasi yang mungkin dialami?

    Apa itu sumbing?

    Sumbing merupakan rekahan yang terjadi pada bahagian struktur bibir atau lelangit. Dalam sesetengah kes, masalah sumbing boleh berlaku kepada kedua-dua bahagian tersebut. Ia berlaku apabila struktur muka tidak bercantum sepenuhnya ketika dalam proses tumbesaran janin. 

    Sewaktu peringkat awal kehamilan, bahagian muka akan mula terbentuk secara berasingan sebelum bercantum untuk membentuk bahagian lain. Tetapi masalah sumbing terjadi apabila berlakunya kegagalan dalam proses tersebut.

    Biasanya masalah ini berlaku kepada bayi ketika kandungan berusia 5 hingga 9 minggu. Masalah ketidaknormalan ini berlaku pada 1 dalam setiap 700 kelahiran, dan lazimnya terjadi dalam kalanga Asian dan kumpulan tertentu India Amerika berbanding golongan Kaukasian.

    Bayi yang mengalami sumbing pada bahagian bibir akan dapat dikenal pasti ketika sesi imbasan (scan) dilakukan. Manakala sumbing lelangit pula hanya dapat dikesan selepas bayi dilahirkan. 

    Selalunya bayi yang dilahirkan sumbing tidak mengalami sebarang isu kesihatan lain. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, terdapat juga bayi yang dilahirkan sumbing turut berdepan isu kesihatan seperti jantung berlubang dan paru-paru tidak matang. 

    Bagaimana masalah sumbing boleh berlaku?

    Buat masa ini, penyelidik masih tidak dapat menentukan faktor yang boleh menjadi punca utama kepada berlakunya sumbing dalam kalangan bayi. Namun terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada berlakunya sumbing, seperti:

    1. Genetik 

    Ia dianggap sebagai antara faktor utama penyumbang kepada terjadinya sumbing. Sekiranya terdapat ibu, bapa atau ahli keluarga mempunyai masalah sumbing, risiko untuk mendapat anak yang mengalami sumbing adalah tinggi. 

    1. Persekitaran

    Ibu hamil yang mempunyai tabiat merokok, mengambil minuman beralkohol, mengalami masalah obesiti dan juga diabetes turut menyumbang kepada peningkatan risiko sumbing untuk berlaku kepada janin. 

  • Ubatan
  • Wanita mengandung pada trimester pertama dan mengambil ubat sawan atau epilepsi seperti asid valproik turut akan meninggikan risiko untuk bayi mengalami sumbing.

    sumbing
    Sumber Wikimedia Commons

    Komplikasi yang mungkin dialami

    Sumbing bukan sekadar menyebabkan kecacatan pada wajah, namun dalam masa yang sama ia juga boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain. Antaranya: 

    • Masalah penyusuan

    Ia pastinya merupakan satu masalah utama kepada bayi yang mengalami sumbing. Keadaan ini akan menyebabkan bayi sukar untuk menyusu sepenuhnya akibat pembentukan mulut yang tidak sempurna.

    Umumnya, komplikasi berkaitan penyusuan yang berlaku bergantung kepada tahap keterukan sumbing. Ada kalanya bayi mungkin akan menelan udara lebih banyak semasa proses penyusuan. 

    Bayi yang mengalami masalah ini masih boleh diberikan susu ibu. Caranya, ibu perlu memegang si manja dalam posisi menegak supaya susu tidak terkeluar melalui hidung bayi.

    Berikan si manja menyusu sedikit tetapi kerap. Selain itu, ibu juga boleh mendapatkan botol atau puting susu khas untuk masalah bayi sumbing. Paling penting, jangan lupa untuk sendawakan bayi, okay?

    • Masalah pertuturan

    Bayi yang mengalami sumbing lelangit pastinya akan berdepan isu pertuturan. Ini kerana lelangit berfungsi untuk membentuk bunyi sewaktu bercakap, maka sumbing lelangit akan menjejaskan fungsinya.

    Antara masalah yang boleh berlaku seperti kesukaran untuk membentuk perkataan, pertuturan tidak fasih dan masalah sengau atau hypernasal speech. Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan menghadiri sesi terapi. 

  • Masalah telinga
  • Dilahirkan dengan keadaan sumbing akan meningkatkan risiko untuk mengalami jangkitan pada telinga dan boleh menyebabkan masalah pekak. Selain itu, mengalami sumbing juga akan menyebabkan pengumpulan air di bahagian telinga tengah. 

    Bagi mengatasi masalah air yang terkumpul, anda boleh menggunakan teknik ear weaking dan merawat jangkitan dengan betul. Jika anda tidak pasti, tanyakan kepada doktor. 

    • Masalah pertumbuhan gigi

    Komplikasi berkaitan pertumbuhan gigi bukanlah satu perkara yang akan dialami setiap bayi dengan keadaan sumbing. Tetapi ia hanya berlaku jika sumbing itu melibatkan gusi.

    Bayi sumbing dengan kecacatan pada gusi atau lelangit akan mempunyai bentuk gigi yang tidak normal ataupun tidak akan mempunyai gigi. Pastikan anda membawa si manja berjumpa doktor sebelum proses pertumbuhan gigi berlaku. 

    • Masalah psikologi

    Kesemua komplikasi yang berlaku sudah tentu akan menyebabkan wujudnya masalah berkaitan psikologi seseorang. Keadaan yang dialami akan mengakibatkan individu dengan keadaan sumbing kurang keyakinan diri dan berasa malu dengan orang sekeliling.

    Bolehkah sumbing dirawat?

    Sudah tentu masalah sumbing yang dialami boleh dirawat. Malahan rawatan yang sesuai untuk bayi selepas dilahirkan juga ada dan ia disusuli dengan beberapa rawatan tertentu bergantung kepada peringkat usia. 

    Secara keseluruhan, rawatan yang akan dilakukan membabitkan pelbagai bidang kepakaran perubatan dan pergigian. Antara bidang yang terlibat adalah bedah plastik; bedah mulut dan maksilofasial; telinga, hidung dan tekak; ortodontik; pergigian kanak-kanak; psikologi dan terapi pertuturan.

    Selain itu, untuk merawat sumbing juga memerlukan bantuan pakar pediatrik dan pergigian prime. Ia adalah untuk rawatan susulan bersama bagi penjagaan kesihatan jangka masa panjang.

    Umumnya, selepas dilahirkan, bayi yang mengalami sumbing selalunya diberikan alat khas seperti feeding plate untuk membantu menyusu dan makan. Alat seperti nasoalveolar moulding plate atau soft tissue molding akan diberikan untuk membantu membentuk rahang dan bibir bagi memudahkan pembedahan bibir pada usia 3 bulan nanti.

    masalah sumbing
    Sumber Wikimedia Commons

    Akhir kata

    Ibu bapa dengan anak yang mengalami sumbing perlu mempunyai sifat; tabah dan tidak akan mudah berputus asa. Ia mungkin kelihatan rumit, daripada 1 ke 1 proses lain dalam merawat sumbing. 

    Namun, percayalah ia pastinya sangat berbaloi untuk dapat melihat si kecil tersenyum selepas menjalani rawatan. Jangan berputus asa, okay?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 10/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan