backup og meta

Skodeng Orang Mandi Tidak Akan Menyebabkan Ketumbit! Ini Punca Sebenar Ia Berlaku

Skodeng Orang Mandi Tidak Akan Menyebabkan Ketumbit! Ini Punca Sebenar Ia Berlaku

Setiap kali tumbuh ketumbit pada kelopak mata, mesti akan ada kawan yang bergurau dengan menuduh anda ‘skodeng’ orang mandi kan? Haaa, ini adalah satu kepercayaan yang mengarut! Hakikatnya, sudah pasti bukan itu penyebabnya. Jadi, apakah yang menyebabkan ia muncul lalu mengganggu keselesaan anda? Jom ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu ketumbit?

Sebelum pergi lebih lanjut, kita perlu tahu ketumbit adalah benjolan kecil seperti seketul jerawat kecil yang muncul di sekitar kawasan kelopak mata. Pada mulanya, kewujudannya mungkin tidak berapa disedari. Lama kelamaan, ia akan menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak dan berwarna merah, disertai dengan kesakitan dan kegatalan yang agak mengganggu.

Apa punca ia berlaku?

Untuk pengetahuan anda, kondisi mata ini berpunca dari bakteria yang dinamakan sebagai staphylococcus. Ia akan menjangkiti kelenjar minyak di dalam kelopak mata atau folikel rambut bulu mata. Ia boleh datang dari apa-apa sahaja yang menyentuh atau menggosok mata anda seperti tangan atau alat solek.

Ketumbit juga mungkin akan berlaku sekiranya anda mengalami blepharitis, sejenis keradangan yang berlaku pada sekeliling kelopak mata. Ataupun, ia juga mungkin akan terjadi akibat dari reaksi alahan. Jadi, sila dapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor untuk mengetahui punca sebenar ia terjadi kepada anda.

Apa yang penting, ia bukan berpunca dari perbuatan seperti mengintai orang mandi. Namun, perbuatan tidak bermoral seperti ini masih perlu dielakkan. Mungkin mata anda tidak akan mendapat ketumbit, namun risiko untuk anda mendapat mata lebam angkara ditampar adalah lebih tinggi.

Adakah ketumbit akan mengganggu penglihatan?

Tidak, penglihatan anda sama sekali tidak akan terganggu sama ada dari jarak dekat atau jarak jauh. Namun, kelopak mata yang bengkak dan biji mata yang merah mungkin akan membuat mata anda kelihatan agak sepet, atau orang panggil ‘mata stim’. Jika anda masih lagi musykil, sila berhubung dengan doktor ya?

Jenis ketumbit

Untuk pengetahuan anda, ketumbit mempunyai 2 jenis, iaitu:

i) Hordeolum

ketumbit

Hordeolum berlaku disebabkan oleh infeksi kuman pada kawasan folikel bulu mata (hordeolum luaran) atau kelenjar meibomian (hordeolum dalaman). Kebiasaannya, ia akan menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak, mata berwarna merah, sakit, gatal dan mungkin mengeluarkan nanah. Namun, anda tidak perlu risau kerana ia akan pecah dan sembuh dengan sendirinya selepas beberapa hari.

ii) Chalazion

ketumbit

Chalazion berlaku disebabkan oleh kelenjar minyak tersumbat, Berbeza dengan hordeolum, ia tidak menyebabkan rasa sakit atau gatal, namun akan membuat mata terasa seperti melekit. Kebiasaannya, ia terletak jauh daripada pinggir kelopak mata.

Anda juga perlu tahu bahawa kedua-dua jenis ketumbit ini boleh berubah kepada satu sama lain. Maksudnya di sini adalah chalazion boleh berubah menjadi hordeolum sekiranya mata dijangkiti bakteria. Manakala, hordeolum pula boleh beubah menjadi chalazion sekiranya nanah yang terdapat di dalam kelenjar mata tidak dikeluarkan sehingga menyebabkan ia tersumbat.

Dalam erti kata yang lain, kedua-duanya tidak boleh dibiarkan sahaja tanpa mendapatkan rawatan. Jadi, sila bawa diri anda berjumpa doktor segera sekiranya mana-mana kondisi ketumbit ini berlaku pada mata anda, ya?

Komplikasi ketumbit

Kebiasaannya, kondisi ini akan sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan atau ubatan dari doktor dalam masa beberapa hari. Akan tetapi, wujud beberapa kes di mana ia akan merebak dan melarat ke bahagian lain di sekitar kelopak mata dan seterusnya mengakibatkan preseptal cellulitis – kondisi kelopak mata yang bengkak teruk.

Rawatan ketumbit

Buat anda yang belum tahu, kondisi ini akan pulih dengan sendiri. Jadi, usah terlalu gusar terhadapnya. Pun begitu, jika anda masih mahu merawatnya sendiri di rumah, ini apa yang boleh anda lakukan:

  • Tuamkan kawasan terjejas dengan kain yang direndam dalam air panas untuk 10 minit. Ulang proses ini 2 hingga 3 kali sehari.
  • Bersihkan kelopak mata dengan menggunakan putik kapas yang direndam dengan sabun untuk mencuci bulu mata
  • Urutkan kelopak mata secara lembut untuk mengeluarkan lemak atau nanah yang tersumbat di dalamnya

Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk tidak melakukan beberapa perkara, seperti berikut:

#1. Jangan sesekali memecahkannya

Ya, ia mungkin kelihatan seperti jerawat. Namun, jangan sesekali anda memecahkannya. Ini kerana tindakan ini hanya akan menyebabkan jangkitan merebak ke kelopak mata anda. Sebaiknya, anda hanya perlu membiarkannya hilang dengan sendiri. Kebiasannya mengambil masa beberapa hari atau minggu. Jadi, bersabar dan bertabah, ya?

#2. Elak penggunaan alat kosmetik

Ketika dijangkiti ketumbit, jangan sesekali menggunakan sebarang penggunaan alat kosmetik khususnya eyeliner, eyeshadow, maskara, dan lain-lain sehingga ia betul-betul sembuh. Adalah lebih baik untuk anda menggantikannya setiap 6 bulan dan tidak berkongsi dengan orang lain.

#3. Elak pemakaian kanta lekap

Sekiranya anda masih ingin memakainya, pastikan ia benar-benar bersih terlebih dahulu. Dalam pada itu, pastikan anda membasuh tangan dengan teliti setiap kali anda menguruskannya. Namun, pakar menyarankan agar anda tidak memakai kanta lekap sebarang tempoh ketumbit berlaku pada mata anda.

Jika ia menjadi semakin besar dan melarat, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Doktor mungkin akan memberi ubat titis mata atau ubat makan antibiotik untuk membunuh kuman. Jika keadaan semakin teruk, doktor mungkin terpaksa melakukan pembedahan minor untuk mengeluarkan lemak atau nanah yang tersumbat di dalam kelopak mata anda.

Intai orang mandi bukan punca ketumbit!

Kesimpulannya, intai orang mandi sudah tentu bukan punca kondisi ini berlaku. Ia sebenarnya disebabkan oleh infeksi kuman pada kawasan folikel bulu mata atau kelenjar meibomian. Jadi, tidak ada kena mengena langsung tabiat skodeng orang mandi ini dengan biji yang timbul pada mata!

Kemungkinannya, orang kita dulu mungkin menggunakan mitos ini untuk menegah orang lain daripada mengintai orang mandi. Sama seperti mitos yang lain, ia hanya dibuat untuk menakut-nakutkan orang sahaja. Namun, jangan pula anda melakukannya semata kerana ia tidak akan menyebabkan ketumbit pula, ya?

Jadi, jika ada orang mengusik dan bergurau mengatakan anda adalah seorang ‘kaki skodeng’ setiap kali ketumbit muncul pada kelopak mata, minta mereka baca artikel ini. Sudah pasti mereka akan sedar dan insaf untuk berprasangka buruk kepada anda lagi selepas ini.

 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

http://www.myhealth.gov.my/ketumbit/. Accessed on November 13, 2019.

Sty (Stye). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17658-sty-stye. Accessed on Sept 10, 2021

Sty. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/sty/diagnosis-treatment/drc-20378022. Accessed on Sept 10, 2021

Stye. https://www.nhs.uk/conditions/stye/. Accessed on Sept 10, 2021

What Causes a Stye and the Best Ways to Get Rid of One Featuring Singh. https://dukeeyecenter.duke.edu/news-events/what-causes-stye-and-best-ways-get-rid-one-featuring-singh. Accessed on Sept 10, 2021

Versi Terbaru

10/09/2021

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Mata Tiba-tiba Tersembul? Usah Biarkan! Ini Mungkin Petanda Masalah Mata Kronik

Mata Juling VS Mata Malas: Benarkah Hanya Kanak-kanak Yang Berisiko Alaminya?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 10/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan