backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Lagi Masalah Jangkitan Kulat Pada Alat Sulit, Kaum Lelaki Pun Boleh Kena!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/02/2022

    Lagi Masalah Jangkitan Kulat Pada Alat Sulit, Kaum Lelaki Pun Boleh Kena!

    Suatu ketika dahulu, kita beranggapan bahawa hanya wanita yang boleh mendapat jangkitan kulat yis. Kini, kita tahu ia juga boleh menjangkiti lelaki sebagai penyakit kelamin lelaki!

    Walaupun pada kebanyakan masa jangkitan yis tidak menyebabkan simptom yang serius, namun jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah yang lebih teruk seperti kesakitan, rasa tidak selesa, jangkitan dan sebagainya.

    Artikel ini akan mengupas sedikit sebanyak topik berkenaan dengan jangkitan yis yang boleh dialami oleh lelaki. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki sila dapatkannya di sini.

    Apakah simptom jangkitan yis pada lelaki?

    penyakit kelamin lelaki

    Setiap individu boleh mengalami simptom yang berbeza apabila ia berkaitan dengan jangkitan yis.

    Pun begitu, simptom lazim seperti ruam merah/putih dan tompok pada kawasan penis merupakan petanda yang memungkinkan seseorang itu didiagnosis dengan jangkitan yis.

    Simptom lain yang boleh dialami pesakit adalah:

  • Gatal
  • Rasa terbakar pada penis
  • Kulit kemerah-merahan
  • Cecair putih di celah kulup penis atau lipatan kulit berhampiran dengan penis
  • Jika anda mengalami mana-mana simptom di atas, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.

    Perlu diingat, diagnosis kadangkala tidak tetap dan anda tidak semestinya mengalami jangkitan yis berikutan terdapat pelbagai jenis keadaan kesihatan lain yang turut dimanifestasikan dengan simptom yang tertera di atas.

    Antaranya adalah penyakit kelamin lelaki yang boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dirawat.

    Apa punca jangkitan yis pada penis?

    penyakit kelamin lelaki

    Seperti jangkitan yis pada wanita, mikroorganisma yang menyebabkan masalah kesihatan ini adalah sejenis kulat yang dikenali sebagai candida.

    Secara amnya, candida wujud pada permukaan kulit manusia dan ia tidak menyebabkan sebarang jangkitan.

    Walau bagaimanapun, apabila persekitarannya menjadi ideal (lembap), jumlahnya boleh meningkat sehingga menyebabkan jangkitan yis.

    Salah satu daripada punca mengapa lelaki boleh mendapat jangkitan candida adalah hubungan seksual tanpa perlindungan dengan wanita yang turut menghidap jangkitan tersebut.

    Punca lain lebih tertumpu kepada perkara bukan seksual seperti tahap kebersihan diri dan sebagainya.

    Amalan berkhatan sebagai contoh boleh melindungi diri daripada pelbagai jenis masalah jangkitan termasuklah jangkitan yis.

    Kulup penis merupakan kawasan yang sesuai untuk kulat candida membiak.

    Oleh itu, jika anda tidak mencuci kemaluan anda dengan kerap dan teliti, risiko untuk anda mengalami jangkitan yis meningkat.

    Punca lain bagi masalah jangkitan ini adalah seperti berikut:

    • Penggunaan antibiotik dalam satu tempoh masa yang lama
    • Obes
    • Menghidap masalah diabetes
    • Sistem imun lemah berikutan rawatan kanser atau jangkitan kronik (HIV)

     Adakah saya mengalami jangkitan yis?

    Seperti keadaan kesihatan lain, anda seharusnya tidak mendiagnosis diri sendiri walaupun simptom jelas menunjukkan anda mungkin mempunyai jangkitan yis.

    Rujukan dan pemeriksaan oleh doktor boleh membantu mengesahkan diagnosis dan rawatan awal boleh diberikan sebelum anda mengalami komplikasi.

    Salah satu daripada masalah yang bakal dihadapi sekiranya jangkitan yis tidak dirawat adalah balanitis.

    Balanitis adalah keradangan pada kepala penis. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah pelekatan seterusnya menyebabkan anda cenderung berasa sakit atau sukar untuk kencing.

    Balanitis juga boleh menyebabkan masalah kelesuan kronik sehingga mengganggu aktiviti harian anda.

    Oleh sebab itulah anda perlu bergegas ke klinik bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan berkaitan.

    Doktor akan membuat pemeriksaan kemaluan dan mengambil sampel cecair putih (jika ada) daripada penis anda untuk dianalisis. 

    Kultur cecair putih tersebut boleh memberikan pengesahan berkenaan dengan agen yang menjangkiti anda.

    Rawatan menggunakan ubat sapu

    penyakit kelamin lelaki

    Pada kebanyakan kes, penggunaan ubat sapu anti kulat boleh membasmi jangkitan candida.

    Antara kandungan bagi krim yang disarankan oleh doktor termasuklah:

    • Miconazole
    • Imidazole
    • Clotrimazole

    Kebanyakan ubat yang tersenarai boleh dibeli tanpa preskripsi doktor. Namun, jika jangkitan yang dialami lebih serius, anda mungkin memerlukan preskripsi ubat yang lebih kuat.

    Bagi mereka yang sudah mengalami komplikasi balanitis, penggunaan ubat oral fluconazole dan krim hydrocortisone akan diberikan oleh doktor.

    Segelintir individu mengalami jangkitan semula oleh candida. Maka dalam kes tersebut, rawatan mingguan secara berkala untuk beberapa bulan mungkin akan dipreskripsikan.

    Penggunaan krim anti kulat kebiasaannya tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan teruk.

    Walau bagaimanapun, jika anda mengalaminya, rujuk kepada doktor untuk tindakan selanjutnya.

    Konklusi

    Jika anda mengalami simptom berkaitan dengan jangkitan yis, pastikan anda mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

    Untuk mengelakkan penyakit kelamin lelaki daripada berlaku, anda perlu:

    1. Memakai kondom semasa hubungan seks.
    2. Mengamalkan hubungan monogami.
    3. Menjaga kebersihan diri. Pastikan kemaluan anda sentiasa bersih dan kering.
    4. Jika anda tidak berkhatan, basuh kulup anda dengan air dan sabun.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan