backup og meta

Hubungan Kelamin Terjejas, Ini 5 Penyakit Kronik Yang Boleh Buat Suami Mati Pucuk

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 01/07/2022

    Hubungan Kelamin Terjejas, Ini 5 Penyakit Kronik Yang Boleh Buat Suami Mati Pucuk

    Mati pucuk bagi lelaki sememangnya masalah yang lazim dialami. Namun oleh sebab ia merupakan satu masalah yang memalukan, hanya segelintir yang bertindak berjumpa dengan doktor.

    Seseorang itu dikatakan mati pucuk apabila mereka tidak berupaya untuk mengalami dan mengekalkan ereksi serta sukar ejakulasi secara kerap.

    Istilah mati pucuk sering digunakan untuk menerangkan keadaan disfungsi ereksi (ED).

    Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku. 

    Kajian yang telah diterbitkan di laman Jurnal Perubatan Amerika (AJM) pada tahun 2007 menunjukkan risiko mati pucuk meningkat apabila usia semakin lanjut.

    Ia lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang didiagnosis dengan satu atau lebih faktor risiko kardiovaskular.

    Jika tidak dirawat, ia boleh mempengaruhi tahap kesihatan anda secara menyeluruh dan boleh menyebabkan masalah seperti kemurungan, stres dan tahap keyakinan diri rendah.

    Berikut merupakan 5 kategori masalah kesihatan kronik yang boleh menyebabkan masalah mati pucuk bagi lelaki. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    #1 Penyakit endokrin punca mati pucuk bagi lelaki

    Sistem endokrin badan boleh menghasilkan hormon penting yang mengawal atur metabolisme, fungsi seksual, mood dan sebagainya.

    Apabila berbicara mengenai penyakit endokrin, diabetes mellitus (kencing manis) adalah contoh terbaik yang diketahui oleh segenap lapisan masyarakat.

    Laporan oleh Pusat Perubatan Universiti Boston menunjukkan, separuh daripada kaum lelaki yang didiagnosis dengan diabetes jenis 2 akan mengalami mati pucuk dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

    Keadaan ini boleh berlaku berikutan kerosakan saraf yang dialami oleh penderita kronik diabetes.

    Ia mempengaruhi deria sensasi pada zakar menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengalami ereksi.

    Selain itu, kencing manis juga boleh mengganggu aliran darah dan memporak-perandakan paras hormon. 

    Kedua-dua faktor ini boleh menyumbang kepada masalah mati pucuk.

    #2 Penyakit saraf dan neurologikal

    mati pucuk bagi lelaki

    Terdapat beberapa keadaan neurologi yang boleh meningkatkan risiko mati pucuk. Antaranya adalah:

    1. Penyakit Alzheimer
    2. Penyakit Parkinson
    3. Ketumbuhan pada otak atau saraf belakang
    4. Sklerosis berbilang (MS)
    5. Strok
    6. Epilepsi lobus temporal

    Apabila sesuatu penyakit itu mempengaruhi sistem saraf, ia boleh mengganggu keupayaan otak untuk berhubung dengan sistem reproduktif.

    Perkara ini boleh menghalang anda daripada mencapai ereksi.

    Selain daripada penyakit yang tersenarai, faktor lain turut boleh mengganggu integriti saraf. 

    Sebagai contoh, jika anda mengalami kecederaan saraf ketika menjalani pembedahan prostat, ia boleh mengakibatkan mati pucuk.

    Penunggang basikal juga boleh mengalami masalah mati pucuk sementara. 

    #3 Ubat rawatan penyakit kronik

    Terdapat sesetengah ubat penyakit kronik yang boleh mempengaruhi aliran darah sehingga menyebabkan masalah mati pucuk bagi lelaki.

    Mungkin ada dalam kalangan kaum lelaki yang panik dan berhenti mengambil ubat tersebut.

    Walau bagaimanapun, anda seharusnya tidak berbuat demikian tanpa kebenaran daripada doktor yang merawat.

    Ubat tersebut boleh mengawal penyakit kronik yang anda alami dan jika pengambilannya dihentikan, implikasinya boleh membawa maut.

    Antara ubat yang boleh menyebabkan masalah mati pucuk bagi lelaki adalah seperti berikut:

    1. Penghalang adrenergik alfa termasuklah ubat prostat tamsulosin (ubat jantung dan tekanan darah tinggi). 
    2. Penghalang beta seperti carvedilol dan metoprolol (ubat jantung dan tekanan darah tinggi). 
    3. Ubat kemoterapi kanser seperti cimetidine. 
    4. Depresan sistem saraf seperti alprazolam, diazepam dan codeine. 
    5. Perangsang sistem saraf seperti cocaine dan amfetamin. 
    6. Diuretik seperti furosemide dan spironolactone (ubat jantung dan tekanan darah tinggi). 
    7. Hormon sintetik termasuklah leuprolide. 

    #4 Penyakit jantung kronik punca mati pucuk bagi lelaki

    mati pucuk bagi lelaki

    Oleh sebab zakar memerlukan aliran darah yang baik untuk mengalami ereksi, penyakit yang berkait dengan jantung boleh menyebabkan masalah mati pucuk.

    Mereka yang didiagnosis dengan faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti tinggi kolesterol dan hipertensi juga boleh mengalami masalah yang sama.

    Tanpa aliran darah yang mencukupi, anda akan menghadapi masalah apabila hendak menjalinkan hubungan intim dengan pasangan.

    Oleh itu, langkah pencegahan penyakit jantung boleh menghindarkan seseorang daripada didiagnosis dengan masalah mati pucuk.

    #5 Masalah berkaitan emosi dan faktor gaya hidup

    Jika anda mempunyai masalah berkaitan dengan emosi, mungkin sukar untuk anda mencapai ereksi.

    Ia berikutan, setiap fasa ereksi kebiasaannya dimulai dengan fasa rangsangan emosi.

    Masalah ini boleh berpunca daripada pelbagai jenis masalah mental seperti kemurungan dan keresahan.

    Seperti yang anda sedia maklum, kemurungan sering disertakan dengan perasaan sedih dan rasa bagai tiada harapan.

    Kelesuan yang turut berpunca daripada masalah yang sama boleh menyebabkan masalah mati pucuk.

    Begitu juga dengan masalah keresahan berkaitan prestasi seksual

    Gangguan mental yang wujud akibat daripada masalah mati pucuk di masa lepas boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk mengalami ereksi di masa hadapan.

    Oleh sebab itulah penting bagi setiap individu yang mengalami masalah berkaitan mental untuk mendapatkan bantuan.

    Konklusi

    Terdapat pelbagai jenis punca yang boleh mendorong seseorang itu untuk mengalami masalah mati pucuk bagi lelaki.

    Jika anda sukar untuk mendapat atau mengekalkan ereksi sewaktu hubungan seks, langkah terbaik adalah untuk mendapatkan bantuan pakar perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 01/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan