
Masalah berkaitan mati pucuk lelaki bukanlah isu baharu dan kami percaya, ramai kaum Adam yang masih mencari rawatan mati pucuk yang sesuai bagi memulihkan keadaan yang dialami.
Jangan risau, kaedah yang kami kongsikan ini bukanlah melalui penggunaan sebarang ubat kuat. Ia juga bukanlah kaedah yang memakan kos yang besar.
Apakah kaedah tersebut? Lihat kepada apa yang kami sediakan di bawah ini.
Senaman boleh jadi rawatan mati pucuk?
Untuk memulihkan masalah mati pucuk lelaki, ia bukanlah semata-mata bergantung kepada penggunaan ubat kuat seperti minyak lintah atau Viagra.
Ada juga pendekatan yang lebih selamat dan tidak berisiko iaitu melalui kaedah senaman. Namun, adakah senaman benar-benar berkesan merawat mati pucuk lelaki?
Satu kajian mendapati, senaman pelvis telah membantu merawat 40% lelaki yang mengalami mati pucuk sebelum ini.
Mereka telah mendapat ereksi yang normal setelah melakukan rutin senaman pelvis ini.
Selain itu, ada juga kajian yang menerangkan senaman pelvis bukan sahaja mampu bertindak sebagai rawatan mati pucuk lelaki, tapi ia juga boleh merawat isu kesihatan berkenaan pelvis manusia.
Apakah jenis senaman pelvis yang dikatakan ini?
Senaman Kegel; senaman kuatkan otot pelvis untuk rawatan mati pucuk
Senaman pelvis yang dimaksudkan sebelum ini ialah senaman Kegel. Senaman Kegel lebih sinonim dalam kalangan kaum wanita berbanding lelaki.
Ini kerana kaum wanita sering mengaplikasikan senaman Kegel ini sebagai satu persediaan untuk melahirkan anak dan juga menguatkan kembali otot pelvis selepas bersalin.
Namun, senaman ini bukan hanya boleh dilakukan oleh wanita sahaja.
Bagi orang lelaki, senaman kegel boleh membantu menguatkan otot bulbocavernosus, yang berperanan penting dalam 3 fungsi berikut, iaitu:
- Membantu membesarkan zakar melalui kemasukan darah semasa ereksi
- Membantu mengepam air mani sewaktu anda mengalami ejakulasi
- Membantu mengosongkan saluran air kencing selepas anda membuang air
Cara melakukan senaman Kegel sebagai rawatan mati pucuk
Sebelum memulakan siri senaman Kegel, anda perlulah mengetahui atau mengesan otot yang berkaitan terlebih dahulu iaitu otot dasar pelvis. Bagaimana untuk lakukannya?
Semasa anda membuang air kecil, cuba untuk hentikan atau tahan pembuangan air kecil itu beberapa kali.
Otot yang bertanggungjawab menghentikan aliran air kencing tersebut adalah otot yang perlu anda beri perhatian sewaktu melakukan senaman Kegel.
Ketika bersenam, cengkam otot tersebut dan tahan sekitar 5 saat. Kemudian lepaskan cengkaman dan rehat sebentar.
Lakukannya sebanyak 10 hingga 20 kali, 2 atau 3 kali sehari.
Anda boleh lakukannya dengan pelbagai posisi seperti baring dengan lutut di bahagian atas, semasa duduk di atas kerusi atau ketika berdiri. Ikuti langkah seperti di bawah ini:
#1. Kegel dengan posisi baring
- Baring dan letakkan lengan anda di bahagian sisi. Luruskan kaki di atas lantai dan buka sedikit kaki anda
- Aktifkan otot-otot dasar pelvis dengan cara menghembuskan nafas dan cengkam otot pelvis tersebut dengan kiraan 1, 2, 3
- Kemudian, tarik nafas dan lepaskan cengkaman tadi dengan kiraan 1, 2, 3
- Pastikan otot perut, punggung, dan kaki tidak menguncup
#2. Kegel dengan posisi duduk
- Duduk dan letakkan lengan anda di bahagian sisi. Luruskan kaki di atas lantai dan buka sedikit kaki anda
- Lakukan langkah yang sama seperti ketika anda baring. Aktifkan otot-otot dasar pelvis dengan cara menghembuskan nafas dan cengkam otot pelvis tersebut dengan kiraan 1, 2, 3
- Kemudian, tarik nafas dan lepaskan cengkaman tadi dengan kiraan 1, 2, 3
- Pastikan otot perut, punggung, dan kaki tidak menguncup
#3. Kegel dengan posisi berdiri
- Berdiri dan letakkan lengan anda di bahagian sisi. Buka sedikit kaki anda
- Lakukan juga langkah yang sama seperti sebelum ini. Aktifkan otot-otot dasar pelvis dengan cara menghembuskan nafas dan cengkam otot pelvis tersebut dengan kiraan 1, 2, 3
- Kemudian, tarik nafas dan lepaskan cengkaman tadi dengan kiraan 1, 2, 3
- Pastikan otot perut, punggung, dan kaki tidak menguncup atau berkontraksi
Ambil masa untuk rasai perbezaan selepas senaman rawatan mati pucuk, tidak lagi terkulai layu
Apabila otot ini lemah, maka ia tidak mampu menghalang darah daripada zakar untuk keluar ketika mengalami ereksi dan menyebabkan zakar anda terkulai layu.
Apabila anda melakukan senaman pelvis, ia akan membantu menguatkan kembali bahagian otot ini.
Namun, kesannya bukanlah boleh dilihat dalam 1 atau 2 hari. Ia biasanya mengambil masa sekitar 4 hingga 6 minggu untuk merasai perubahannya ketika berereksi.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.