backup og meta

Ini 7 Kesan Stres Terhadap Tahap Kesihatan Kaum Adam, Hati-Hati

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 27/04/2021

    Ini 7 Kesan Stres Terhadap Tahap Kesihatan Kaum Adam, Hati-Hati

    Walaupun wanita dan lelaki stres mempunyai purata paras yang sama, namun kesan perubahan psikologikal dan fizikal berbeza bagi kedua-duanya.

    Sebagai contoh, wanita kebiasaannya mengaktifkan tindak balas ‘tend and befriend’. 

    Lelaki pula lebih cenderung untuk bertindak balas secara agresif apabila mereka stres melalui tindak balas ‘lawan atau lari’.

    Dalam tindak balas lawan atau lari, badan lelaki akan memasuki mod kecemasan dan memfokuskan bekalan tenaga kepada otot.

    Ia tidak mengambil kira keperluan jangka masa panjang badan dan menutup sistem lain seperti sistem imun dan sistem reproduktif.

    Oleh sebab itulah, stres boleh memberikan impak negatif kepada tahap kesihatan lelaki.

    Berikut merupakan antara sebab mengapa lelaki perlu belajar melepaskan tekanan dari sudut kesihatan. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki sila dapatkannya di sini.

    #1 Wajah menjadi kurang menarik dan ia mempunyai kaitan dengan hormon!

    Testosteron lelaki sering dikaitkan dengan sistem imun yang kuat serta rupa paras menarik dalam kalangan kaum Adam.

    Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian yang dibuat di Universiti Aberdeen.

    Wanita perlu menyusun kedudukan 94 subjek lelaki mengikut tahap ketampanan.

    Dapatan menunjukkan lelaki yang mempunyai hormon testosteron tinggi serta kortisol rendah berada pada kedudukan atas.

    Lelaki dengan paras kortisol tinggi dan testosteron rendah pula berada di bawah.

    Kajian tersebut menunjukkan peranan hormon stres, kortisol dalam menghalang tarikan yang berpunca daripada hormon testosteron.

    #2 Lelaki yang sering stres mudah mendapat penyakit jantung

    lelaki stres

    Walaupun stres sekali-sekala itu normal bagi setiap individu, namun jika sudah kronik, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

    Badan manusia mempunyai tindak balas fisiologi semasa sedang stres dan keadaan ini seharusnya melindungi kita daripada bahaya.

    Walau bagaimanapun, apabila berlaku secara berterusan, keadaan tersebut boleh menjejaskan tahap kesihatan lelaki.

    Kajian menunjukkan paras kortisol yang tinggi boleh meningkatkan kolesterol, trigliserida, gula dalam darah dan tekanan darah pesakit.

    Kesemua masalah tersebut merupakan faktor risiko kepada masalah penyakit jantung.

    Stres juga boleh menggalakkan pembentukan plak pada dinding arteri serta menyebabkan aliran darah ke otot jantung menjadi tidak efisien.

    #3 Sperma lelaki yang stres berbeza dengan lelaki lain

    Kajian menggunakan subjek haiwan menunjukkan stres kronik boleh mengubah maklumat genetik pada sperma lelaki.

    Perubahan tersebut boleh menyebabkan keupayaan anak untuk beradaptasi dalam persekitaran stres menjadi kurang efisien.

    Tidak kiralah sama ada si bapa stres kerana perubahan hormon ketika mencapai usia matang atau semasa mereka dewasa, asalkan jika berlaku sebelum hubungan seks, ia boleh menjejaskan kualiti sperma.

    Dapatan kajian ini menunjukkan kesan stres pada bapa dan kaitannya dengan penyakit neuropsikiatri.

    #4 Mudah mendapat masalah kanser prostat

    lelaki stres

    Kanser prostat adalah kanser kedua terlazim didiagnosis dalam kalangan lelaki di seluruh dunia selepas kanser peparu.

    Impaknya kepada kualiti hidup diketahui umum dan saringan awal boleh membantu menghindarkan komplikasi serta menurunkan kadar mortaliti kanser.

    Kajian terhadap tikus makmal menunjukkan stres kronik boleh mempercepatkan proses perkembangan kanser prostat.

    Dapatan ini memberi implikasi bahawa aktiviti yang mengurangkan tekanan penting bagi memastikan kebajikan pesakit kanser terjaga.

    Kajian yang dijalankan di Universiti California pada tahun 2006 menunjukkan pengurusan stres boleh memberikan impak positif terhadap lelaki yang didiagnosis dengan kanser prostat.

    #5 Mati pucuk, masalah lelaki stres

    Segelintir penghidap masalah mati pucuk mempunyai kaitan dengan faktor psikologi seperti stres, keresahan dan kemurungan. 

    Menurut Profesor Neurologi dari Universiti Stanford, Robert M. Sapolsky, rangsangan seksual turut bergantung kepada sistem saraf parasimpatetik.

    Apa yang menjadi isu adalah, semasa kita sedang stres, sistem yang aktif adalah sistem saraf simpatetik yang penting bagi tindak balas lawan atau lari.

    Jika anda tidak berupaya untuk kekal dalam keadaan yang memaksimumkan kesan parasimpatetik, anda akan mempunyai kesukaran untuk mengalami ereksi.

    #6 Bilangan sperma akan menjadi sedikit

    lelaki stres

    Stres merupakan faktor yang penting dalam masalah seksual yang dialami oleh lelaki.

    Terdapat kaitan di antara stres dan keresahan terhadap tahap kesuburan lelaki.

    Menurut kajian yang dijalankan di Itali, lelaki yang stres kebiasaannya mengalami ejakulasi yang sedikit dan mempunyai jumlah kiraan sperma dan kepekatan rendah berbanding dengan mereka yang tidak stres.

    Stres juga boleh meningkatkan risiko kecacatan pada sperma dan masalah sperma tidak boleh bergerak dengan baik.

    #7 Elak aktiviti sosial hanya kerana mereka stres

    Kajian yang dijalankan oleh Universiti California Selatan pada tahun 2010 menunjukkan otak lelaki yang stres mengalami pengurangan kadar aktiviti pada bahagian yang bertugas dalam memahami perasaan individu lain.

    Apabila berhadapan dengan situasi stres, tindak balas otak lelaki terhadap ekspresi wajah tidak begitu aktif jika dibandingkan dengan wanita.

    Melalui kajian ini, jelas menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai tindak balas yang berbeza ketika stres dari konteks sosial.

    Lelaki lebih cenderung untuk menjauhkan diri mereka manakala wanita pula lebih suka untuk mencari sokongan emosi.

    Konklusi

    Stres kronik boleh membawa implikasi negatif terhadap kualiti hidup lelaki dan wanita.

    Jika dilihat pada komplikasi yang boleh dialami dalam jangka masa panjang, penting bagi setiap lelaki untuk menguruskan stres mereka pada tahap yang terkawal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 27/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan