backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Zakar Rasa Panas Semasa Buang Air Kecil? Ini Mungkin Tanda 7 Penyakit, Hati-Hati!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/10/2022

    Zakar Rasa Panas Semasa Buang Air Kecil? Ini Mungkin Tanda 7 Penyakit, Hati-Hati!

    Sebagai seorang lelaki, anda pasti cemas tatkala alami kemaluan sakit seperti zakar panas.

    Zakar bukan sahaja boleh berasa gatal atau melecet, tetapi adakalanya berasa panas seperti terbakar.

    Mungkin anda tercari-cari, apakah kemungkinan punca yang menyebabkan kemaluan sakit seperti zakar panas ini?

    Jawapannya ada di bawah. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    7 punca kemungkinan sebabkan alat kemaluan sakit iaitu zakar panas

    kemaluan sakit

    Terdapat beberapa kemungkinan yang menyebabkan anda alami zakar panas. Di bawah ini adalah 7 kemungkinan yang boleh terjadi iaitu:

    #1. Gonorea

    Seperti yang diketahui, gonorea adalah sejenis jangkitan kelamin yang berlaku akibat daripada pelakuan seks tidak selamat.

    Salah satu simptom jika anda mengalami gonorea ialah rasa zakar panas.

    Zakar anda akan berasa seperti terbakar saat hendak membuang air kecil.

    Selain itu, antara simptom lain jangkitan gonorea ialah keluarnya cecair seperti nanah daripada zakar, pembengkakan pada zakar, malah ada juga yang tidak mengalami sebarang simptom.

    Biasanya, doktor akan memberikan ubat antibiotik bagi merawat gonorea kerana ia disebabkan oleh jangkitan bakteria. 

    #2. Jangkitan saluran kencing sebabkan kemaluan sakit 

    Jika anda alami jangkitan pada saluran air kencing, anda juga mungkin akan mengalami rasa seperti zakar terbakar.

    Jangkitan ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian saluran kencing termasuklah pundi kencing mahupun buah pinggang.

    Antara simptom biasa jangkitan ini ialah rasa panas pada zakar sewaktu ingin membuang air kecil. Anda juga mungkin lebih kerap ingin membuang air kecil.

    Bagi jangkitan pada saluran kencing, doktor akan memberikan rawatan bergantung kepada tahap keparahan kes tersebut.

    Biasanya, ubat antibiotik akan diberikan bagi merawat jangkitan ini. Anda disarankan untuk meminum lebih banyak air bagi membantu menghilangkan simptom yang dialami.

    #3. Klamidia

    Salah satu jangkitan kelamin yang turut boleh menyebabkan rasa panas pada zakar ialah klamidia. Ia boleh berjangkit melalui hubungan seksual yang tidak selamat.

    Seperti mana gonorea, jangkitan klamidia turut menyebabkan rasa seperti terbakar pada alat kemaluan ketika hendak membuang air kecil.

    Ia juga turut menyebabkan keluarnya cecair berwarna seperti nanah daripada zakar.

    Klamidia akan menyebabkan testis berasa sakit dan membengkak. Bagi merawat klamidia, doktor akan memberikan ubat antibiotik untuk tujuan rawatan. 

    #4. Uretritis

    Uretritis adalah satu keadaan keradangan yang berlaku pada bahagian uretra.

    Uretra pula adalah satu tiub yang bertanggungjawab mengalirkan air kencing daripada pundi kencing ke luar tubuh badan.

    Sekiranya anda mengalami jangkitan ini, anda akan rasa sensasi terbakar pada zakar sewaktu hendak membuang air kecil.

    Selain itu, anda juga akan berasa sakit sewaktu hendak berejakulasi.

    Untuk jangkitan ini, rawatan akan diberikan mengikut kepada punca jangkitan terbabit.

    Bagi jangkitan yang berpunca daripada bakteria, doktor akan memberikan ubat antibiotik sebagai rawatan. 

    #5. Prostatitis

    Prostatitis adalah keadaan keradangan yang berlaku pada kelenjar prostat yang bertanggungjawab menghasilkan air mani.

    Kebanyakan daripada kes prostatitis ini berlaku disebabkan oleh keradangan pada saraf-saraf yang berada di sekitar prostat.

    Namun, ada juga kes prostatitis ini berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria yang menyebabkan kemaluan berasa panas sewaktu membuang air kecil.

    Bagi kes prostatitis yang disebabkan oleh bakteria, ia boleh dirawat melalui pengambilan ubat antibiotik. 

    #6. Batu karang sebabkan kemaluan sakit

    kemaluan sakit

    Batu karang boleh berada di dalam buah pinggang dan boleh juga bergerak ke bahagian tiub uretra yang bertanggungjawab mengalirkan air kencing.

    Ia boleh menyebabkan rasa sakit yang amat sangat bergantung kepada saiz batu karang tersebut.

    Bagi jenis batu karang yang kecil, ia bisanya akan keluar melalui air kencing. Namun bagi batu karang yang lebih besar, anda mungkin memerlukan pembedahan bagi mengeluarkannya.

    Kes batu karang juga boleh menyebabkan rasa sakit atau rasa terbakar pada zakar, terutama sekali sewaktu hendak membuang air kecil. 

    #7. Kanser juga sebabkan kemaluan sakit

    Kes ini jarang berlaku tetapi tidak bermakna ia tidak berisiko untuk berlaku.

    Adakalanya, rasa terbakar yang dialami pada zakar juga boleh berpunca daripada sebab seperti kanser zakar.

    Antara simptom bagi kanser zakar adalah perubahan yang berlaku pada kulit di sekitar alat kemaluan ini selain muncul bengkak.

    Bagi kes kanser zakar, doktor akan memberikan rawatan yang sewajarnya bergantung kepada tahap kanser tersebut.

    Kesimpulan

    7 penyakit ini mungkin menjadi salah satu punca kemaluan sakit iaitu zakar panas pada kaum lelaki.

    Perhatikan juga tanda atau simptom-simptom lain. 

    Berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan kepastian yang lebih terperinci berkenaan keadaan kesihatan zakar yang sedang anda alami. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan